top of page

PERJANJIAN DAMAI TUMBANG ANOI 1894


PERJANJIAN DAMAI TUMBANG ANOI 1894


Perang Kayau atau perang perluasan wilayah masyarakat Dayak di Pulau Borneo suatu waktu dahulu merupakan antara salah satu perang yang terkenal dengan sejarahnya lebih-lebih lagi banyak kepala yang dipenggal sehingga ianya menjadi satu igauan ngeri bagi setiap mereka yang tinggal di Borneo. Sekarang ianya sudah tiada lagi dan ketahuilah untuk memberhentikan perang kayau ini bukannya sesuatu yang amat mudah.


Di Sarawak misalnya pemerintahan Brooke juga melarang perang kayau ini dan banyak usaha-usaha dilakukan oleh Brooke untuk menghentikannya. Di dalam sejarah Sarawak juga terbukti adanya Perjanjian Damai Baram 1899 yang menyaksikan perdamaian antara etnik Dayak di wilayah Baram menyebabkan tiada lagi pertelingkahan antara mereka.


Namun begitu jauh sebelum itu sebenarnya ada satu perjanjian damai yang telah diadakan antara seluruh masyarakat Dayak di Pulau Borneo pada masa itu iaitu Perjanjian Tumbang Anoi 1894. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa bermula daripada usaha perdamaian inilah sebenarnya barulah “keamanan” benar-benar dikecapi kerana disinilah bermulanya “turning-point” untuk perjanjian perdamaian yang kecil-kecilan di seluruh Borneo pada waktu itu.


Perjanjian Damai Tumbang Anoi 1894 merupakan satu perjanjian perdamaian yang diadakan di satu lokasi iaitu di sebuah perkampungan yang bernama Kampung Tumbang Anoi yang sekarang berada di Kecamatan Damang Batu, Kabupaten Gunung Mas, Provinsi Kalimantan Tengah, Republik Indonesia. Ianya adalah satu mesyuarat terbesar di Borneo pada waktu itu memandangkan setiap etnik-etnik Dayak di Borneo menghantar wakil-wakilnya untuk menghadiri perjumpaan ini.


Dan ianya bukannya melibatkan satu tempoh yang pendek sebaliknya memakan masa hampir 3 bulan iaitu bermula dari 22/5/1894 sehingga 24/7/1894. Dengan tempoh masa yang panjang seperti ini sudah tentu keperluan logistic untuk mengadakannya melibatkan kos yang amat besar. Untuk itu bagi memastikan kejayaannya maka dikatakan pihak Koloni Belanda dan Brooke bersama-sama berkongsi kos untuk mesyuarat ini dijalankan. Dan Koloni Belanda dijadikan sebagai ketua pemerhati di sepanjang tempoh mesyuarat ini berlangsung.


Seperti kebiasaannya sebelum satu mesyuarat besar ini dijalankan sudah tentu ada jawatankuasa kecil yang memainkan peranan besar di dalam menyelaras mesyuarat ini dan ianya dikenali sebagai Mesyuarat Kepala Adat Dayak Kapuas Hulu. Menurut sejarahnya mesyuarat yang melibatkan 71 orang pemimpin Dayak di Borneo ini berlangsung pada 14hb Jun 1893. Mesyuarat 71 orang pemimpin Dayak inilah sebenarnya yang memilih Kampung Tumbang Anoi sebagai lokasinya serta segala bentuk criteria mesyuarat turut dibincangkan.


Maka bermula dari persetujuan di Mesyuarat Kepala Adat Dayak Kapuas Hulu inilah menampilkan Damang Batu iaitu pemimpin Dayak di Kampung Tumbang Anoi sebagai pengerusinya dan seterusnya menghantar jemputan kepada pemimpin-pemimpin Dayak di Borneo untuk menghadiri mesyuarat tersebut. Kerana jasa Damang Batu inilah menyebabkan namanya masih mekar sehingga ke hari ini sebagai antara pemimpin dayak yang tersohor di Borneo di dalam menyatakan tentang usaha-usaha untuk menghentikan tradisi Hakayau (Saling Mengayau), Habunu (Saling Berbunuh) dan Hatetak (Saling Memotong Kepala Musuh).


Oleh kerana masyarakat Dayak di Borneo walau berada jauh-jauh namun mereka saling mempunyai pertalian antara satu sama lain menyebabkan undangan dari Damang Batu didengar oleh pemimpin-pemimpin Dayak di seluruh Borneo pada waktu itu. Pada tanggal 24 Mei 1994 dikatakan hampir lebih kurang 160 suku-suku masyarakat Dayak dengan rombongan mesyuarat seramai lebih kurang 1000 orang berada di Kampung Tumbang Anoi pada waktu itu. Yang menghadirinya pula terdiri daripada pelbagai lapisan dan masing-masing mempunyai pengaruh di dalam menentukan adat dan peraturan kesukuan Dayak pada masa itu.


Kerana itulah tempoh masa selama 3 bulan itu sememangnya cukup panjang dan setiap hukum adat serta kecelaruan yang dihadapi selama ini lebih-lebih lagi banyak permasalahan antara etnik Dayak itu harus diselesaikan dan dirungkaikan satu-persatu bagi memastikan tiada yang tidak berpuashati. Usai 3 bulan mesyuarat itulah, Perjanjian Damai Tumbang Anoi dipersetujui antara masyarakat Dayak Borneo iaitu untuk menghentikan Perang Kayau antara mereka dengan menggariskan lebih kurang 100 resolusi untuk digunapakai oleh keseluruhan masyarakat Dayak di Borneo pada waktu itu.


Seperti kebiasaannya sudah tentu bukan semua masyarakat Dayak Borneo yang mampu menerima sesuatu yang baru seperti ini memandangkan tradisi perang kayau sudah sebati di dalam masyarakat mereka. Mesti ada perang kayau kecil-kecilan yang berlaku dan menurut sejarahnya perang kayau benar-benar dihentikan di Borneo sekitar tahun 1920an.


Inilah sejarahnya satu perjanjian perdamaian yang terbesar pernah terjadi di Pulau Borneo yang menyaksikan sedikit demi sedikit perang kayau berjaya dihentikan. Jika masyarakat Dayak sendiri tiada kesatuan pada waktu itu sudah tentu banyak lagi malapetaka yang berlaku di Pulau Borneo.


Sekarang kita menikmati penghidupan yang aman dan tidaklah tinggal di dalam ketakutan seperti nenek moyang kita dahulu. Hargailah ia kerana ini merupakan jerih perih orang-orang terdahulu daripada kita bagi memastikan survival anak cucu mereka untuk hidup 1000 tahun lagi.


Fahami sejarah kita kerana disitulah terletaknya jati diri kita sebagai anak Borneo. Peace No War!




Rujukan:


1. Perjanjian Tumbang Anoi : Menelisik Sejarah Perjanjian Sakral Dayak

http://www.travelesia.co/2015/07/perjanjian-tumbang-anoi.html

2. The White Rajah: A History of Sarawak 1841 – 1946 – Steven Runciman

3. Perjanjian Damai Baram 1899 – Borneo Oracle

4. Perang Ngayau (Perang Memenggal Kepala) Masyarakat Dayak Borneo – Borneo Oracle

bottom of page