top of page

TEH "C" PENG SPECIAL


TEH “C” PENG SPECIAL

Teh “C” Peng Special atau Teh 3 Layer Sarawak adalah merujuk kepada satu jenis minuman yang cukup sinonim dengan masyarakat Sarawak. Ianya berlainan dengan Teh Ais yang sering menjadi minuman di seluruh Malaysia walaupun kedua-duanya tetap bermula dengan minuman teh sebagai asasnya.

Menurut ceritanya Teh “C” Peng Special yang orang Sarawak dambakan ini sebenarnya adalah hasil rekacipta pengusaha sebuah gerai minuman yang biasa sahaja yang mana gerai tersebut terletak di Bazaar Batu 7, Kuching. Untuk lebih spesifik alamat gerai minuman itu adalah di Lorong Liu Shan Bang, Kota Sentosa, Kuching.


Dikatakan bagi mencari kelainan pengusaha gerai minuman ini telah mencampurkan minuman teh ais yang biasa dengan gula apong. Jika di Semenanjung Malaysia terkenal dengan gula Melaka yang didapati dari nira pokok kelapa namun untuk gula apong pula ianya didapati dari nira pokok nipah yang banyak di Sarawak.


Inilah perbezaannya antara Teh “C” Peng Special di Sarawak kerana dengan adanya gula apong maka ianya seolah-olah telah menyebabkan teh ais yang diminum mempunyai 3 lapisan iaitu gula apong sebagai pemanisnya di bahagian bawah sekali.

Selain daripada itu jika berbicara tentang keunikan namanya juga mempunyai pengertian yang unik yang mana ianya adalah variasi perkataan yang dipinjamkan daripada dialek Cina Hokkien.


Minuman Teh “C” pula adalah merujuk kepada teh merah yang digunakan sebagai asas minumannya. Manakala “Peng” pula di dalam bahasa Hokkien merujuk kepada ais dan hanya di Sarawak setiap minuman berais dipanggil “Peng” pada penghujungnya. Contohnya Milo ais akan disebut Milo Peng dan begitulah juga Teh “C” Peng yang merujuk kepada Teh “C” Ais.


Inilah ceritanya satu minuman yang begitu popular di Sarawak dan ianya dambaan bagi setiap orang Sarawak tanpa mengira usia, bangsa dan agama. Ianya boleh didapati hampir di setiap gerai dan kopitiam di Sarawak dan harga sememangnya berpatutan.



bottom of page