top of page

FROM PAKAN WITH LOVE


FROM PAKAN WITH LOVE


Pakan merupakan salah satu daerah kecil yang merupakan dibawah jurisdiksi Bahagian Sarikei. Terletak kira-kira 153.8 km dari ibukota Kuching. Di kawasan Pakan ini penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa dengan majoritinya adalah daripada etnik Iban iaitu etnik majoriti terbesar di Sarawak. Selain itu ianya juga turut didiami oleh kaum Melayu serta kaum Cina Sarawak.

Di dalam memperkatakan tentang bagaimana Pakan mendapat nama pula ianya berkisar kepada buah tempatan yang menjadi ikon teaser artikel ini. Menurut apa yang diceritakan oleh masyarakat tempatan di Pakan, nama Pakan itu sendiri merujuk kepada buah pakan atau pakun yang juga merupakan antara jenis buah durian di Sarawak. Bezanya ia lebih bersaiz kecil dan isinya tetap berwarna kuning keemasan Cuma bijinya berwarna hitam.

Diceritakan sejak dulu lagi iaitu di awal pembukaan Pakan, buah ini sudah sinonim menjadi tumbuhan di kawasannya sehingga sesiapa sahaja yang menggemarinya akan mudik ke Pakan untuk mencarinya bagi tujuan hidangan keluarga mahupun untuk dijual di pasar-pasar tamu. Dan kerana itulah daerah kecil ini digelar dengan nama Pakan iaitu mengambil bersempena dengan buah pakan atau pakun.

Pakan merupakan satu daerah kecil namun disebalik wilayahnya yang kecil, Pakan menyimpan seribu satu sejarah yang besar. Di Pakan inilah terletaknya “lumbung” Pahlawan Rentap iaitu seorang pahlawan Iban yang tidak pernah beralah dengan pentadbiran Brooke di Sarawak. Dari segi sejarahnya ada 3 ekspedisi Brooke untuk menghalang penentangan Rentap yang dikenali sebagai Ekspedisi Bukit Sadok 1, 2 dan 3. Ketiga-tiga ekspedisi ini sebenarnya langsung tidak dapat mengalahkan Rentap.


Hakikatnya Rentap berjaya meloloskan diri daripada kepungan dan asakan Brooke yang menggunakan peralatan yang lebih ke hadapan daripada Rentap di Kuta Rentap, Bukit Sadok. Rentap berundur bersama-sama dengan pengikutnya yang setia dari Sungai Skrang iaitu di Bukit Lanjak Entimau, Lemanak dan Engkari.


Kerana adanya tali barut di kalangan etnik Iban yang pro-Brooke, memaksa Rentap kemudian berpindah ke Ulu Entabai iaitu di Kanowit dan juga Julau. Kemudian sekali lagi beliau mendirikan kotanya di Bukit Stulak sehinggalah beliau membawa pengikut-pengikutnya untuk berpindah ke Karangan Panggil, Ulu Wak.


Sekitar tahun 1870, Panglima Rentap yang gagah perkasa ini akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat sakit tua dan bukannya mati ditangan Brooke. Beliau dikebumikan di Bukit Sibau dan sehingga ke hari ini kawasan perkuburan Rentap masih lagi wujud di Nanga Wak dan menjadi saksi kepahlawanan anak watan bernama Rentap “Libau” ini yang menidakkan penguasaan Brooke di tanahairnya.

Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih-sayangnya.


bottom of page