TARIAN BUBU YANG MISTIK
TARIAN BUBU YANG MISTIK
Pulau Borneo sememangnya kaya dengan pelbagai tradisi dan budaya tersendiri yang menjadi tarikan utama bagi pelancong dari dalam mahupun luar negara. Antaranya ialah seni tarian yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Siapa tidak mengenal bubu iaitu sejenis perangkap ikan yang diperbuat dari buluh mahupun rotan. Dan di Sarawak, bubu juga turut menjadi ikon tarian bagi masyarakatnya iaitu Tarian Bubu yang ditarikan oleh masyarakat Melanau.
Tarian Bubu sebenarnya juga boleh didapati di dalam seni tarian di Sarawak, Sabah, Brunei dan juga sesetengah tempat di Indonesia mahupun Semenanjung Malaysia. Namun begitu sejajar dengan perbezaan tempatnya juga menyebabkan Tarian Bubu mempunyai nama-namanya yang tersendiri. Pisak Lukan atau Pisak Bubou itulah namanya di kalangan masyarakat Melanau Mukah. Di Sabah dan Brunei melalui masyarakat Kedayan pula dikenali dengan nama Tarian Alai Bubu atau Tarian Main Lukah.
Di bumi Sambas, Kalimantan Barat dikenali dengan nama Timang Bubu. Dan apabila kita menyeberangi Selat Melaka iaitu di Sumatera Barat melalui masyarakat Minang pula dikenali dengan nama Lukah Gilo. Tanpa menidakkan perkaitan masyarakat di Melayu di Semenanjung Malaysia khususnya di Perak, tarian ini turut ditarikan dengan lebih dikenali sebagai Bubu Menari atau Tarian Lokah.
Yang pasti walau dikenali dengan nama-nama yang berbeza mengikut tempat dan masyarakat yang mentarikannya, tarian bubu sebenarnya adalah satu tarian yang penuh seni serta mistik. Ini kerana setiap gerak tari tarian bubu ini mempunyai kesamaan iaitu berunsurkan makhluk halus dan sebagainya.
Di Sarawak atau untuk lebih mengkhusus di Mukah, tarian Pisak Lukan biasanya dimainkan oleh masyarakat Melanau Likou semasa upacara kematian/ pengebumian. Ia bertujuan untuk memujuk roh mendiang (ada juga yang mengatakan mahluk halus) yang enggan meninggalkan rumah.
Sambil membakar kemenyan, Roh akan dijemput atau dipuja dengan mentera tertentu untuk berhibur dan menari bersama dan merasuki Bubu yang dihiasi dengan pakaian si mati dan aksesori tertentu seperti tempurung kelapa sebagai 'kepala' dan kacip pinang yang diumpamakan sebagai 'nyawa'.
Sebagai langkah berjaga-jaga, sebatang penyapu dan daun Tebawan (Bebuas atau Singkil) akan disediakan sekali untuk menghentikan 'Orang Bubu' yang mulai menari di luar kawalan dan enggan berhenti dengan cara memukul 'kepala'nya dengan batang penyapu sehingga kacip pinang di dalam bubu tersebut jatuh sendiri.
Kerana adanya unsur-unsur mistik inilah dikatakan adakalanya ketika Pisak Lukan sedang ditarikan, sekiranya tetamu yang lemah semangat akan mudah dirasuk roh jahat dan pada waktu inilah daun Tebawan memainkan peranan yang penting iaitu digunakan untuk mengubati mangsa rasukan.
Pemain-pemain akan memegang dan menahan pada bahagian bawah bubu. Bubu tersebut pula akan didirikan dan ditarikan (digoyangkan) di atas mangkuk kemenyan yang sudah dibakar terlebih dahulu sambil mula menyanyikan:
Bubou mengasou
Manila mati
Maisuri naik bulan
Naik ke bilit
Ke rumah Datuk Kuna
Sabi nait pina
Ada juga versi lain;
Bubou mengasou,
mengileing, mengapeing
nait ke bilit,
ke rumah dato' kuna,
Sabi nait pina.
Sekiranya bubu tersebut mulai 'menari dan bergoyang dengan sendiri' kerana dipercayai sudah dirasuk roh si mati, pemain akan berulang-kali menyanyikan lagu ini:
Iya Lukan
Iya Badan Tetak bemban
Nyibong Sari
Iya Lukan pandai nari
Lagu itu pula akan dinyanyikan dalam suasana bersuka-ria dan santai semata-mata untuk menghiburkan 'roh' yang hadir dalam bubu tersebut. Nyanyian bagi setiap daerah mungkin agak berbeza sedikit dengan liriknya (mentera). Semasa persembahan dimainkan, sesiapa saja boleh mengikuti dan memegang pada bahagian bingkai (bawah) bubu.
Adalah ditegah untuk memegang pada bahagian 'kepala' dan sekiranya ada yang berbuat demikian iaitu terpegang kepalanya maka dikatakan Bubu tersebut secara automatik akan berhenti menari atau bergoyang.
Bagi sesiapa yang pernah ada pengalaman bermain Tarian Bubu (Pisak Lukan), mereka pasti menyedari apabila semakin kuat mereka memegangnya, semakin kuat pula bubu itu meronta-ronta atau bergoyang dengan sendiri. Tarian akan diteruskan sehinggalah tiada sesiapa yang sanggup untuk meneruskan atau bubu tersebut dihentikan dengan pukulan batang penyapu atau ia berhenti dengan sendirinya.
Sememangnya tarian bubu ini mempunyai unsur mistik dan tidak boleh ditarikan hanya dengan suka-suka sahaja sekiranya menggunakan lirik atau manteranya yang tersendiri. Tarian bubu Pisak Lukan ini sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri Cuma sayangnya ia juga semakin pupus ditelan dek zaman dan semakin jarang dimainkan oleh generasi baru pada masa kini.
Tidaklah diketahui sampai bila tarian tradisi ini mampu bertahan kerana kekaguman kita pada dunia moden sekarang sebenarnya banyak memamah tradisi dan budaya kita.