LEGENDA BULU TENGON ETNIK KAYAN UMA APAN
LEGENDA BULU TENGON ETNIK KAYAN UMA APAN
MASYARAKAT Kayan Uma Apan adalah salah satu pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak yang ramai mendiami di hilir Bakun, Belaga, Sarawak. Mereka juga menurut sejarahnya adalah antara etnik yang mendiami Usun Apau suatu waktu dahulu dan seterusnya berhijrah ke Sarawak.
Menyelusuri sejarahnya masyarakat Kayan Uma Apan ini tidak boleh menafikan kewujudan mereka dengan sebuah kerajaan kuno yang dikenali sebagai Kerajaan Bulungan yang terletak di Kalimantan Timur suatu waktu dahulu iaitu sebelum ianya menjadi Kerajaan Kesultanan Bulungan yang gah namanya di Borneo.
Mengikut ceritera sejarahnya dikatakan bahawa Kuwanyi adalah seorang pemimpin bagi suku dayak Kayan Uma Apan yang tinggal di tepi Sungai Payang, cabang Sungai Pujungan. Setelah beberapa waktu tinggal di Sungai Payang didapati bahawa penghidupan mereka amat sukar kerana kurangnya penjana ekonomi di kawasan sekitarnya.
Bertitik tolak daripada itu, Kuwanyi telah membawa kesemua anak-anak buahnya untuk berpindah ke hilir Sungai Kayan. Sebenarnya nama Bulungan itu sendiri adalah mendapat nama daripada seberkah buluh atau di dalam bahasa Bulungan dipanggil “Bulu Tengon”.
Dikatakan juga kerana adanya dialek antara masyarakat Dayak dan bahasa Melayu akhirnya ia menjadi “Bulungan” dan dari sehari-hari ianya dipertuturkan sehingga kekal sehingga sekarang.
Dan terdapat cerita legenda atau mitos di dalam memperkatakan mengapa kerajaan dayak ini pada awalnya didirikan dan ianya adalah satu cerita oral yang diperturunkan dari generasi ke generasi di dalam masyarakat Dayak Uma Apan di Bulungan.
Al-sahibul hikayat diceritakan bahawa pada satu hari seorang pemimpin Dayak Kayan Uma Apan yang tinggal di hilir Sungai Kayan bernama Kuwanyi telah pergi berburu kerana mengidam untuk memakan rusa panggang. Maka dengan kelengkapan pemburuannya akhirnya Kuwanyi pun pergi berburu di hutan.
Namun sesuatu yang pelik berlaku kerana kebiasaannya apabila Kuwanyi berburu di hutan mesti akan kedengaran bunyi burung berkicau-kicauan namun pada hari itu, hutan terasa begitu sepi sekali. Tanpa mempedulikan apa yang berlaku, Kuwanyi terus melangkah menerusi denai-denai di dalam hutan namun beliau tidak menemui walau seekor binatang untuk diburu. Akhirnya beliau menjumpai seberkas buluh besar yang biasanya dipanggil buluh betung.
Di sebelah buluh betung itu ada tunggul kayu dan diatas tunggul kayu itu terdapat sebiji telur yang amat luar biasa rupabentuknya. Oleh kerana sifat ingin tahu Kuwanyi yang begitu menebal, akhirnya diambil telur dan buluh betong tersebut dan dibawanya pulang.
Sampai sahaja di rumah, Kuwanyi telah mengarahkan isterinya untuk menjaga kedua-dua benda ajaib ini seelok-eloknya. Isterinya akur dengan arahan suaminya lalu meletakkan buluh betong dan sebiji telur itu di bahagian dapur rumah mereka.
Apabila menjelang tengah malam, alangkah terkejutnya Kuwanyi dan isterinya apabila mendengar bunyi seakan-akan bayi menangis. Apabila diselidiki, rupa-rupanya buluh betung tersebut telah melahirkan seorang bayi lelaki manakala sebiji telur itu pula telah menetaskan seorang bayi perempuan.
Alangkah gembiranya Kuwanyi dan isterinya kerana hakikatnya mereka sudah lama berkahwin namun belum lagi dikurniakan cahaya mata. Lalu kedua-dua bayi ajaib ini diambil mereka menjadi anak mereka dan ditatang bagaikan minyak yang penuh. Yang lelaki dinamakan Jauwiru dan yang perempuan dinamakan Lemlai Suri.
Jauwiru dikhabarkan dibesarkan dengan penuh keperkasaan seorang Dayak Kayan Uma Apan manakala Lemlai Suri pula menjadi wanita Dayak Kayan Uma Apan yang cantik dan menjadi dambaan jejaka seluruh Bulungan suatu ketika dahulu. Dikhabarkan semenjak mempunyai cahayamata kembar, perkampungan Dayak Kayan Uma Apan yang hanya mempunyai komuniti yang kecil pada mulanya di hilir Sungai Kayan akhirnya bertambah makmur dan kuat.
Maka disinilah bermulanya Dayak Bulungan sebagai yang amat digeruni pada ketika itu kerana Kuwanyi, pemimpin masyarakat Bulungan sememangnya antara yang amat digeruni di dalam Perang Kayau atau Perang perluasan wilayah dengan memenggal kepala musuh.
Apabila Kuwanyi meninggal dunia, kepimpinan suku Dayak Kayan Uma Apan di Bulungan telah diwarisi oleh anaknya iaitu Jauwiru yang juga mewarisi kepimpinan dan keperkasaan ayahnya. Perkahwinan Jauwiru dengan seorang anak gadis Kayan dikurniakan dengan seorang anak lelaki yang dinamakan Paran Anyi. Dan setelah dewasa, Paran Anyi pun berumahtangga namun begitu beliau hanya dikurniakan dengan seorang anak perempuan.
Mengikut hukum adat Dayak Kayan Uma Apan hanya waris lelaki yang boleh menjadi pemimpin dan akhirnya atas permuafakatan anak perempuan tunggal Paran Anyi yang dinamakan Lahai Bara telah disatukan dengan cicit kepada nenek saudaranya iaitu Lemlai Suri. Pemuda yang gagah dan tampan itu bernama Wan Paren dan Wan Paren mewarisi kepimpinan Kerajaan Dayak Bulungan selepas pemergian ayah mertuanya.
Hasil perkahwinan Wan Paren dan Lahai Bara pula telah dikurniakan dengan 2 orang cahaya mata. Anak yang lelaki sulung dinamakan si Sadang manakala anak yang perempuan bongsu dinamakan Asung Luwan.
Apabila meningkat dewasa Asung Luwan membesar sebagai seorang yang cantik yang akhirnya diperisterikan oleh Datuk Mencang, iaitu seorang putera dari Kerabat Diraja Brunei. Ini kerana si Sadang dikatakan telah terkorban ketika mengetuai satu ekspedisi kayau sehingga kepalanya bercerai daripada badan oleh pihak musuh.
Dan perkahwinan Asung Luwan dengan Datuk Mencang inilah yang membenarkan Datuk Mencang menjadi penerus legasi Kerajaan Dayak Bulungan ini yang pada berlandaskan hukum adat suku Kayan bertukar menjadi sebuah kesultanan Islam yang dikenali sebagai Kerajaan Kesultanan Bulungan.
Cerita legenda di dalam masyarakat di Borneo sememangnya sesuatu yang indah untuk diperhalusi dan sudah tentu ianya juga dikaitkan dengan sejarah tentang peradaban mereka yang ramai tidak mengetahui kewujudannya. Siapa sangka satu etnik minoriti seperti Kayan Uma Apan juga kaya dengan sastera rakyatnya yang indah dan menarik.