MENGIMBAU SEJARAH INDIA STREET DAN JALAN GAMBIER
MENGIMBAU SEJARAH INDIA STREET DAN JALAN GAMBIER YANG KITA KENALI
INDIA Street atau Lebuh India dan Jalan Gambier sudah tentu bagi warga Kuching dan sekitarnya lebih-lebih lagi bila berkata tentang perayaan hariraya yang akan disambut tidak lama lagi. Sejajar dengan waktu, India Street dan Jalan Gambier sekarang sudah berubah wajah dengan pembangunan yang telah mengubah wajahnya namun begitu ianya tetap popular di kalangan rakyat Sarawak untuk membeli-belah.
Jika India Street terkenal dengan deretan kedai-kedai yang menjual barangan bagi persediaan menyambut hariraya untuk Jalan Gambier pula lebih terkenal sebagai pusat untuk membeli rempah ratus bagi penyediaan juadah tradisi sewaktu hariraya seperti rendang, kari dan banyak lagi. Ironinya kedua-dua tempat ini hanya bersebelahan malah dihubungkan dengan satu lorong sempit yang melalui Masjid India, juga salah satu mercu tanda yang sinonim bagi kawasan ini.
Apabila kita mengimbau cerita silam mengenai kedua-dua tempat ini sesungguhnya mempunyai banyak kenangan manis lebih-lebih lagi di ketika suatu waktu dahulu hanya pengangkutan air yang menjadi penghubung utama Kuching dengan kawasan pendalamannya. Di ketika itu ketika musim perayaan inilah masyarakat Melayu dari Kabong, Pusa, Simunjan, Samarahan dan Santubong akan beramai-ramai menambat perahu mereka di kawasan jeti di Pasar Cekor untuk membeli belah.
Menyelusuri sejarah kedua-dua ikon ini dapat dijejaki ketika pemerintahan lebih 100 tahun Brooke memerintah Sarawak. Sekitar tahun 1911, Sarawak telah menerima kedatangan daripada masyarakat India Muslim secara beramai-ramai. Pada ketika itu Rajah Charles Brooke sedang galak menjadikan Sarawak sebagai sebuah hub untuk perniagaan di rantau Borneo.
Pada ketika inilah Sarawak menerima peniaga-peniaga India beragama Islam yang membuka kedai-kedai tekstil dan juga rempah ratus. Kawasan yang menjadi tumpuan adalah Kuching iaitu sekarang yang dinamakan Jalan Gambier dan Lebuh India Kuching. Namun pada masa itu ianya tidak dikenali dengan nama sedemikian sebaliknya dipanggil Jalan Keling.
Penukaran namanya dari Jalan Keling ke India Street hanyalah berlaku pada tahun 1928, yang mana pada ketika itu Rajah Charles Brooke menerima saranan daripada peniaga-peniaga berketurunan India pada ketika itu. Ini kerana “Keling” itu menurut dialek Cina Hakka merujuk kepada masyarakat India namun jika ditempat lain pula bermaksud hamba abdi yang diikat rantai besi pada kakinya. Ini menimbulkan rasa tidak enak kepada kaum India pada masa itu.
Pada awalnya nama yang dicadangkan adalah Jalan Chulan iaitu yang merujuk kepada satu empayar besar yang bernama Chulan di India. Namun Rajah Brooke pula tidak berkenan kerana seharusnya nama itu hendaklah merujuk kepada Sarawak itu sendiri. Akhirnya seorang doktor perubatan pakar yang berkhidmat dengan Brooke pada masa itu yang bernama Dr Krishna mencadangkan untuk memberikan nama India Street. Dan seterusnya nama itu digunapakai sehinggalah sekarang.
Untuk Jalan Gambier yang terkenal dengan deretan kedai-kedai India Muslim yang menjual rempah ratus pula mempunyai ceritera sejarahnya tersendiri. Suatu waktu dahulu dikatakan disinilah sebenarnya banyak pohon-pohon renek tumbuh meliar di tepi Sungai Sarawak yang dikenali sebagai pokok Gambier. Dan suatu waktu dahulu, masyarakat Kuching dikatakan cukup mudah untuk mengambil daun pokok gambir sebagai salah satu mata pencarian mereka.
Ini kerana penghasilan daripada pengekstrakan daun pokok gambir ini boleh digunakan untuk pencelupan dan penyamakan kulit binatang untuk lebih bertahan lama. Di zaman Brooke, ekstrak ini merupakan eksport utama Negara Sarawak pada tahun 1890an. Disinilah munculnya kulit pokok gambir atau yang lebih dikenali sebagai Gambir Sarawak yang terkenal untuk pencegahan sakit gigi dan gusi.
Dan di dalam sejarah Sarawak juga kita menyaksikan bahawa Jalan Gambier ini pernah suatu ketika diancam hakisan yang boleh menyebabkan ianya mungkin menjadi sebahagian daripada Sungai Sarawak. Namun tindakan pantas Penguasa JKR Sarawak pada tahun 1907 iaitu HD Ellis yang memberikan idea bernas untuk membina benteng di sepanjang Jalan Gambier telah mampu menyelamatkan keadaaan.
Begitulah kisahnya dua tempat yang dikenali sebagai India Street dan Jalan Gambier yang terletak di tengah bandaraya Kuching sekarang. Kedua-duanya begitu dekat di hati masyarakat Sarawak lebih-lebih lagi warga Kuching dan sekitarnya. Dan ianya dari dahulu sehingga sekarang tetap menjadi tempat “Wajib Pergi” apabila berkata tentang perayaan Hariraya di Sarawak.