top of page

ETNIK TABUN, SARAWAK, BORNEO


ETNIK TABUN, SARAWAK, BORNEO


ETNIK Tabun.. sudah tentu ramai yang tidak mengetahui kewujudan mereka di Sarawak kerana amat jarang mendengar informasi mengenai mereka. Dan jika yang mengetahui pula sering tersalah anggap bahawa etnik ini merupakan etnik Iban berdasarkan kepada penempatan mereka serta bahasa mereka. Hakikatnya etnik minoriti ini merupakan sub-etnik kepada etnik Kelabit iaitu salah satu pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak.


Inilah antara keunikan etnik Tabun yang sebenarnya mempunyai seribu satu sejarah unik mengapa mereka sebenarnya mempunyai sejarah yang sama dengan etnik Kelabit yang ramai terdapat di Bario manakala etnik Tabun pula populasinya adalah di utara Sarawak iaitu di Limbang atau secara spesifik di Kuala Mendalam, Limbang.


Menurut cerita sejarah asal muasal etnik Tabun ini mempunyai ras yang sama dengan etnik Kelabit yang kita kenali sekarang di Sarawak. Kedua-duanya berasal dari tempat yang sama iaitu namun mempunyai sejarah penghijrahan yang berbeza sehingga membenarkan masyarakat Tabun menggelar diri mereka Tabun dan masyarakat Kelabit menggelar diri mereka Kelabit.


Sejarah penghijrahan ini bermula suatu waktu dahulu apabila dikatakan apabila ada sekelompok orang Kelabit telah memulakan penghijrahan mereka ke Pa’ Adang dan Long Semadoh serta ke Sungai Limbang. Manakala sekelompok lagi orang Kelabit ini telah melakukan penghijrahan lebih daripada itu iaitu ke kawasan yang dinamakan Pa’ Tabun kira-kira satu hari perjalanan menggunakan pengangkutan air dari Pa’ Madiit.


Mereka sebenarnya telah berpecah menjadi dua kerana masih lagi di dalam pencarian mencari bumi yang aman serta subur. Penghijrahan ke Pa’ Adang dan Long Semadoh masih tidak memuashatikan mereka kerana disitu juga masih lagi tidak aman dengan banyaknya perang kayau yang berlaku. Dan kerana itulah penghijrahan mereka terus dilakukan sehingga ke kawasan yang lebih dalam.


Akhirnya mereka menemui Kuala Mendalam yang terletak di Limbang yang mana ianya dirasakan adalah tempat yang terbaik untuk mula bercucuk tanam serta hidup di dalam keadaan yang aman dan sentosa. Mereka mula menerokai kawasan yang Pa’ Tabun dan seterusnya menuju ke Kuala Mendala. Sejak itu mereka tidak mahu menggelar diri mereka sebagai Kelabit sebaliknya sebagai Tabun iaitu mengambil bersempena daripada kawasan yang mula-mula mereka terokai.


Jika kita berkata mengenai bahasa pula, rumpun bahasa etnik Tabun diklasifikasikan di bawah rumpun bahasa Austronesia, Malayo-Polinesia, North Borneo, North Sarawakan, Dayic, Kelabitic. Dan didalam rumpun ini dipecahkan pula kepada dialek-dialek iaitu Pa’ Umor (dipertuturkan di Bario), Pa’ Dalih, Long Peluan, Long Lellang, Brung, Libbung, Lepu Potong dan akhirnya dialek Tabun yang dipertuturkan di Limbang.


Namun begitu dialek Tabun ini dikatakan antara bahasa yang dikategorikan sebagai bahasa yang akan pupus di Sarawak memandangkan hanya beberapa kerat sahaja etnik Tabun yang mampu menguasai bahasanya. Ini kerana etnik Tabun lebih memilih untuk berbahasa Iban malah mereka juga tinggal di rumah panjang Iban.

Sebenarnya ada perkaitan sejarah mengapa ini terjadi kerana menurut sejarah lampau iaitu ketika penghijrahan pertama mereka ke Kuala Mendalam lagi, etnik Tabun telah lama hidup di kalangan etnik Iban yang terlebih dahulu menjelajah bumi Limbang. Dan demi survival serta menjaga kerukunan antara etnik pada ketika itu maka tradisi perkahwinan campur diantara Tabun dan Iban. Mereka juga mengasimilasikan diri dengan sistem penempatan Iban agar penghidupan mereka lebih aman daripada diserang oleh perang kayau iaitu perang perluasan kuasa suatu waktu dahulu.


Berbahasa Iban dan tinggal di rumah panjang Iban bukan bermakna etnik Tabun melupakan adat istiadat dan tradisi mereka sebagai orang Tabun. Sebaliknya ini hanyalah sebagai satu bentuk penyamaran malah sehingga sekarang orang Tabun tetap melestarikan budaya dan warisan nenek moyang mereka seperti di dalam acara perkahwinan, kematian serta banyak lagi. Malah stratifikasi sosial etnik Tabun juga sebenarnya masih sama seperti Kaum Orang Ulu iaitu dimulakan dengan Hipun, Panyen dan Dipan.


Jika dahulunya etnik Tabun juga mengamalkan agama pagan atau animesme di dalam pegangan penghidupan mereka namun setelah kedatangan agama, etnik Tabun juga telah memeluk agama Kristian. Namun begitu ada sesetengah ritual yang masih lagi dilakukan tetapi tidak bertentangan dengan agama kristianiti yang mereka anuti sekarang.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page