MELIHAT ANAK BULAN
MELIHAT ANAK BULAN BAGI PENENTUAN PUASA, HARIRAYA AIDILFITRI DAN HARIRAYA HAJI
HARI ini 4hb Julai telah ditetapkan di seluruh Negara Malaysia adalah hari untuk melihat anak bulan Syawal bagi penentuan jatuhnya 1 Syawal, hari untuk kita merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1437 Hijrah. Terdapat 26 lokasi telah ditentukan oleh Kerajaan Malaysia melalui penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-raja Malaysia dan untuk di Sarawak pula juga tidak terkecuali dengan 3 lokasi menjadi perhatian iaitu di Teluk Bandung, Kuching, Tanjung Lubang, Miri dan Tanjung Batu, Bintulu.
Apa yang dimaksudkan mencerap anak bulan ini mengikut terminologi astronomi adalah anak bulan atau di dalam bahasa Arabnya “hilal” iaitu bulan sabit pertama yang kelihatan, iaitu selepas persilangan dengan matahari. Ini lazimnya mengambil tempat di ufuk barat dalam waktu yang sekejap antara waktu terbenamnya matahari dan terbenamnya bulan, lalu masa dan tarikh kemunculan anak bulan ini akan dipengaruhi oleh kedudukan geografi pencerap.
Di Malaysia kaedah untuk mencerap anak bulan seperti yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab. Dan perlulah diketahui bahawa bukan semua Negara Islam mempunyai cara yang sama sehingga ada sesetengah Negara tidak merayakan tarikh berhariraya yang sama. Perbezaan penentuan tarikh hari raya di antara negara-negara Islam berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan). Ia juga bergantung pada penentuan pihak berkuasa agama di negara masing-masing sama ada menggunakan kaedah rukyah sahaja, hisab sahaja atau rukyah dan hisab.
Menyelusuri sejarah amalan penentuan awal Ramadhan dan Syawal suatu masa dahulu di Malaysia sering berubah dari segi kaedah. Dikatakan sebelum tahun 1970an, melihat anak bulan dilakukan dengan mata kasar sahaja atau dengan bantuan alat bantuan yang terhad seperti ‘sextant’ dan ‘rubu mujayyab’. Pada masa itu dikatakan ramai alim ulama akan pergi ke satu tempat beramai-ramai dan mula mencongak pengiraannya dan dikatakan nelayan-nelayan di laut juga turut memainkan peranan memerhati anak bulan dari laut luas.
Sejajar dengan waktu iaitu pada tahun 1982, persetujuan telah diambil dengan hanya menggunakan dasar rukyah dan hisab. Ini bermakna ianya melibatkan penggunaan alat cerapan yang tepat berserta dengan pengiraan juga diambilkira. Kini, kaedah cerapan anak bulan telah melalui fasa-fasa yang moden dengan dilengkapi peralatan seperti “teodolit” manakala ahli-ahli rukyah pula turut dibekalkan dengan data rukyah yang mengandungi jadual pergerakan bulan dan matahari pada hari rukyah.
Kemudahan sebegini sudah cukup baik untuk tujuan merukyah anak bulan dengan kedudukan anak bulan ditentukan pada setiap minit dan ahli-ahli rukyah bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk melihat anak bulan sahaja tetapi turut juga meneliti bentuk bulan sekiranya kelihatan.
Jadi sama-samalah kita tunggu apakah pengumuman rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-raja Malaysia pada malam ini walaupun hakikatnya di dalam takwim mahupun almanac moden telah menyatakan dengan jelas 1 Syawal 1437H jatuhnya pada 6hb Julai 2016. Yang peliknya walau mengetahuinya kita tetap teruja dan sentiasa berada di hadapan skrin tv mahupun corong-corong radio tepat pada waktu. Itulah keindahannya yang sukar untuk diucap dengan kata-kata.