KISAH ABANG PATA YANG GAGAH PERKASA
KISAH ABANG PATA YANG GAGAH PERKASA
GOLONGAN Melayu Datu-datu atau Melayu Perabangan bukanlah asing bagi orang Sarawak malah dari legasi mereka inilah nama-nama besar seperti Datu Patinggi Ali, Datu Bandar Abang Haji Bolhassan, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah serta banyak lagi sememangnya mewarnai kepimpinan masyarakat di Sarawak suatu waktu dahulu.
Ketokohan mereka tercatit di dalam sejarah baik di ketika Sarawak menjadi tanah kuripan Kerajaan Brunei mahupun di ketika Sarawak dibawah Brooke sehinggalah Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British. Semangat anti-penyerahan Sarawak 1946 dahulu juga adalah diketuai oleh pemimpin dari kalangan Melayu Datu-datu seperti Datu Abang Abdillah yang menyediakan rumahnya Darul Kurnia sebagai markas untuk Gerakan Anti-Cessionist suatu waktu dahulu.
Disebalik ketokohan nama-nama yang disebutkan ini terdapat satu cerita menarik mengenai legasi keturunan Melayu Perabangan ini iaitu seorang yang dikenali sebagai Abang Pata atau dengan nama sebenarnya Abang Abdul Pata bin Datu Temenggong Abang Mersal. Yang menariknya mengenai Abang Pata ini adalah beliau dikatakan antara individu Melayu yang paling mahir dengan dunia lautan.
Abang Pata ini gah namanya di perairan Santubong hingga ke Tanjung Datu yang sememangnya diketahui antara kawasan laut di Sarawak yang mempunyai pulau-pulau yang indah. Jangan ada sesiapa yang berani membuat onar di kawasan ini kerana sesiapa sahaja harus berhadapan dengan Abang Pata. Kerana mempunyai ilmu laut yang tiada tolok banding inilah dikatakan lanun-lanun “berdendam” dengan beliau.
Menurut ceritanya Abang Pata ini menetap di Santubong atau dengan nama lamanya Pasir Kuning suatu waktu dahulu. Beliau dikatakan sering belayar di pulau-pulau di perairan Sarawak iaitu yang berada di sekeliling perairan Tanjung Datu sehinggalah ke Pulau Serasan iaitu antara gugusan Kepulauan Natuna yang sekarang adalah wilayah Riau, Republik Indonesia.
Dikatakan juga Abang Pata ini mempunyai keluarga di Pulau Serasan iaitu hasil perkahwinannya dengan wanita tempatan yang bernama Masmutu. Hasil perkahwinan mereka ini dikurniakan dengan seorang anak lelaki bernama Abang Abdul Rahman. Bagi memastikan beliau sentiasa dekat dengan keluarganya maka Abang Pata telah membawa kaum keluarganya dari Pulau Serasan untuk tinggal di Santubong.
Jadi apabila ada perkaitan ini maka tidak menghairankan wujudnya Kampung Terengganu di Santubong yang juga sebenarnya adalah penduduk daripada Kepulauan Natuna yang bertutur dengan loghat Terengganu yang kemudiannya berhijrah ke Sarawak suatu waktu dahulu lalu membentuk apa yang dipanggil sebagai Melayu Natuna yang ramai di kawasan Lundu dan Santubong sekarang.
Oleh kerana kepakaran Abang Pata ini maka beliau merupakan antara individu yang dihormati di Santubong dan kawasan sekitarnya malah juga dikatakan mempunyai pengikut-pengikutnya yang tersendiri. Dengan pengikut-pengikutnya inilah Abang Pata sering belayar diantara pulau-pulau di perairan Sarawak yang bertujuan untuk menjaga keselamatan penduduk-penduduk di kawasan sekitarnya.
Tidak dinafikan suatu waktu dahulu aktiviti perlanunan memang sering terjadi di perairan Sarawak dan mana-mana lanun yang membuat onar akan diperangi oleh Abang Pata berhabis-habisan. Sekitar tahun 1811 menurut sebuah buku karangan Bov Reece yang bertajuk “The White Rajahs Of Sarawak: A Borneo Dynasty terbitan Archipelago Press 2004 ada menyatakan bagaimana sebuah kapal British telah dirompak oleh lanun di perairan Tanjung Datu iaitu berhampiran dengan Pulau Satang Besar.
Di dalam buku itu ada menyatakan bagaimana seorang anak dari keturunan Melayu Datu telah membantu pelayar British daripada diterus ditawan oleh lanun. Mereka telah memberi perlindungan kepada pelayar British. Diperkirakan apa yang dirujuk oleh Bob Recee itu adalah Abang Pata. Anak Melayu Datu-datu ini amat dikenali oleh pedagang-pedagang British dan juga Belanda yang sering melalui perairan tersebut untuk berdagang kerana sering memberikan bantuan keselamatan kepada mereka.
Oleh kerana itulah menurut sejarahnya dikatakan Abang Pata amat dimusuhi oleh lanun-lanun di perairan Sarawak sehingga mereka bersatu hati bertekad untuk membunuh Abang Pata. Mereka mengetahui bahawa Abang Pata mempunyai kebun-kebun kelapa di Pulau Satang dan Pulau Talang-talang yang diusahakan oleh 2 orang anaknya iaitu Abang Osman dan Abang Abdul Rahman dengan dibantu oleh masyarakat Bidayuh di Sematan dan Lundu. Oleh kerana itu mereka memasang strategi untuk menyerang dan membunuh Abang Pata sewaktu beliau berada di pulau-pulau tersebut.
Tiba pada hari yang ditunggukan, apabila Abang Pata berada di pulau tersebut sekumpulan lanun-lanun telah menunggu Abang Pata di pulau tersebut namun apabila menjejakkan kaki di pantai pulau dikatakan Abang Pata tidak kelihatan sehingga menjadi satu tanda tanya di kalangan pengikut-pengikutnya. Tanpa mereka sedari sebenarnya Abang Pata telahpun mampu meloloskan diri tanpa kelihatan oleh rombongan pengikutnya mahupun lanun-lanun tersebut.
Rupa-rupanya Abang Pata telah bersemuka dengan ketua lanun di satu kawasan tidak jauh daripada pantai tersebut. Diingatkan satu pertempuran yang berlaku sebaliknya satu perdamaian pula yang muncul. Inilah hasil sikap toleransi dan komunikasi yang baik Abang Pata sehingga berjaya mengelak daripada berlakunya pertumpahan darah.
Inilah Kisah Abang Pata yang amat dikagumi kerana beliau boleh menjadikan musuh menjadi kawan akhirnya. Sejak daripada itulah dikatakan bahawa kegiatan lanun di perairan antara Tanjung Datu sehingga ke Santubong tiada lagi lebih-lebih lagi di kawasan yang mana Abang Pata mempunyai kepentingan.
Selain daripada itu, kisah Abang Pata ini juga menurut cerita oral dikatakan adalah orang Sarawak yang pertama membantu James Brooke iaitu ketika beliau mengunjungi Sarawak untuk bertemu dengan Pengiran Bendahara Muda Hashim pada 1hb Ogos 1839. Pada ketika itu dikatakan pelayaran James Brooke tidak begitu terarah kerana kompas dan carta pelayarannya tidak berfungsi.
Dikatakan dengan bantuan Abang Pata yang menemui kapal James Brooke tersadai di Tanjung Datu telah membawa mereka ke Pulau Talang-Talang. Disitulah Abang Pata membantu James Brooke dan seterusnya membawa beliau ke Santubong dan akhirnya ke Kuching menemui Pengiran Bendahara Muda Hashim.
Sejak daripada itu juga dikatakan hubungan antara James Brooke dan Abang Pata semakin akrab malah segala kepentingan Abang Pata sewaktu James Brooke memerintah juga turut dijaga dan ini termasuklah Pulau Talang-talang dan Pulau Satang suatu waktu dahulu.
Nota: Terima kasih diucapkan kepada pelukis karikatur anak Sarawak iaitu Kartunis Durianz Sarawak atas kesudian menyumbangkan karikatur khas untuk menjadi penghias artikel ini.
Rujukan:
1. Kisah Datuk Pata; Author: Abdul Razak bin Abang Medaan; Publisher: Biro Kesusasteraan Borneo, 1976.