top of page

LEGENDA BATU MILI


LEGENDA BATU MILI

KEINDAHAN dan keunikan masyarakat Dayak di Borneo bukan hanya terletak di adat warisan, tradisi dan budayanya sahaja sebaliknya juga mencakupi sastera rakyat yang diperturunkan secara oral dari satu generasi ke generasi yang lain. Bila berbicara mengenai sastera rakyat ini seringkali yang ditampilkan adalah susuk-susuk seperti naga dan ular bersaiz gergasi yang dikenali sebagai nabau di kalangan masyarakat di Borneo.

Namun ada satu cerita legenda yang boleh dikatakan begitu unik kerana sepanjang Borneo Oracle mengangkat genre cerita legenda, inilah pertama kalinya menampilkan susuk-susuk seperti seekor binatang bernama serigala sebagai watak legendanya. Serigala di Borneo sememangnya sesuatu yang agak asing kerana umum mengetahui bahawa serigala hanya banyak menghiasi cerita legenda masyarakat di benua Eropah sahaja.

Batu mili adalah satu kawasan berbukit yang terletak di tepi Sungai Mahakam dan kewujudannya seringkali dikaitkan sebagai satu kawasan yang penuh dengan cerita mistik sehingga sekarang. Malah ada sesetengah penduduk tempatan yang mendiami sekitar Sungai Mahakam sehingga sekarang tetap memulihara kawasan batu mili ini daripada anasir-anasir yang tidak sihat bagi menjaga kesuciannya.

Al-sahibul hikayat dikatakan beratus-ratus tahun dahulu kawasan batu mili ini bukanlah satu kawasan yang berbatu-batuan sebaliknya adalah kawasan hutan yang penuh dengan tumbuhan hutannya di tepian sungai. Dan disinilah lokasinya sebatang pohon yang besar yang dinamakan pohon mili. Dikatakan pohon mili ini menjulang tersangat tinggi sehingga dahannya mampu mengapai awan. Dan menurut ceritanya pohon mili inilah sebenarnya laluan kepada makhluk-makhluk di dunia kayangan turun ke bumi.

Oleh kerana ianya adalah laluan makhluk-makhluk dari dunia kayangan maka diceritakan seringkali masyarakat Kayan mahupun Kenyah yang mendiami sekitar Sungai Mahakam seringkali diganggu oleh susuk-susuk binatang ganas iaitu serigala. Keganasan sang serigala ini sering berlaku apabila tibanya bulan mengambang penuh yang menyebabkan masyarakat Kayan mahupun Kenyah sering tidak dapat hidup tenteram pada waktu itu.

Kemuncak kepada kesabaran masyarakat Kayan mahupun Kenyah di Sungai Mahakam itu mula bergejolak apabila sang serigala bukan sahaja mencuri makanan mereka tetapi sudah berani menjadikan manusia sebagai habuan mereka. Mahu tidak mahu, masyarakat Kayan dan Kenyah pada masa itu akhirnya melupakan seketika perang kayau mereka sebaliknya mencari kata sepakat bagaimana untuk memastikan serigala-serigala ini tidak lagi bertandang ke kawasan penempatan mereka.

Hendak dijadikan cerita setelah pelbagai cadangan diutarakan di dalam satu mesyuarat penduduk antara kampung di Sungai Mahakam, akhirnya satu kata sepakat telah diambil iaitu pohon mili ini akan ditebang. Dan untuk menebang pohon ini pula bukan sesuatu yang mudah kerana dengan saiz pohon yang besar, tinggi sehingga menjulang mengapai awan ini memerlukan teknik-teknik menebang yang cukup berkesan. Dan kerana itulah masyarakat Kayan dan Kenyah sepakat untuk menebang pohon ini bersama-sama dengan teknik menebang tersendiri.

Maka bermulalah episode masyarakat Kayan dan Kenyah mula membuat persediaan untuk menebang. Oleh kerana pohon ini tinggi maka cara menebang pula bermula dari bahagian atas sekali iaitu pemotongan diadakan peringkat demi peringkat. Kerana jika ianya dilakukan daripada bahagian banir maka sudah tentu banyak kemusnahan berlaku apabila ianya tumbang kelak. Inilah yang cuba dielakkan oleh masyarakat Kayan dan Kenyah yang mendiami Sungai Mahakam pada masa itu.

Dikala inilah kedua-dua etnik ini mula menyediakan kayu-kayu untuk dijadikan para-para (tempat untuk berpijak) kelak. Dikatakan orang Kayan dan Kenyah menggunakan kayu-kayan yang berbeza. Orang Kayan menyediakan para-para dengan menyusun kayu-kayu mereka tanpa mengupas dahulu kulit-kulitnya. Manakala orang Kenyah pula menyediakan para-para dengan menyusun kayu-kayu mereka dengan mengupas dahulu kulit-kulit kayu tersebut sebelum diikat dengan tali. Dan kedua-dua para-para ini dinaikkan di sebelah menyebelah pohon. Selesai tugasan menaikkan para-para tersebut maka pemuda-pemuda di kalangan Kayan dan Kenyah mula memanjat pohon tersebut sehinggalah ke peringkat pohon yang paling tinggi sekali. Dikatakan proses menebang pohon mili ini mengambil masa selama 7 hari 7 malam tanpa henti dengan setiap satu seisi penebangan menyaksikan keajaiban yang berlaku.

Keajaibannya adalah pada setiap dahan-dahan yang jatuh sewaktu ditebang ini dikatakan akan bertukar menjadi batu-batu apabila menyentuh tanah. Dan dari sinilah dikatakan bermulanya satu kawasan hutan bertukar menjadi mukabumi berbatu-batuan sehingga Sungai Mahakam juga turut terlibat sama kerana dahan-dahannya turut jatuh di sungai. Oleh kerana itulah sehingga sekarang Sungai Mahakam juga mempunyai ciri-ciri mukabumi bongkah batu seperti yang kita kenali sekarang.

Dan cerita legenda pohon mili ini juga dikatakan asal bermulanya mengapa ada perbezaan antara warna-warna kulit masyarakat Kayan dan Kenyah. Dahulu dikatakan kedua-duanya mempunyai warna kulit yang sama iaitu sawo matang namun setelah berlaku peristiwa penebangan pohon mili inilah orang Kayan dikatakan kulitnya agak gelap sedikit daripada orang Kenyah.

Puncanya adalah teknik membuat para-para daripada kayu-kayu. Dengan orang Kayan tidak mengupas kulit kayu untuk membuat para-para maka mereka tidak terdedah dengan getah kayu tetapi tidak pada orang Kenyah. Dikatakan akibat terkena getah kulit kayu inilah, kulit orang Kenyah bertukar menjadi cerah atau putih melepak serta halus seperti yang kita lihat sekarang.

Akhirnya setelah selesai proses penerbangan pohon mili ini maka tiadalah lagi gangguan daripada sang serigala pada setiap bulan mengambang penuh. Kesemua terjadi kerana tiada lagi laluan untuk mereka telah tiada iaitu laluan pohon mili dari kayangan ke bumi. Inilah cerita legenda pohon mili yang menjadi antara sastera rakyat unik di kalangan masyarakat Kayan dan Kenyah yang mendiami Sungai Mahakam. Sudah tentu versi ceritanya dan apa yang ditampilkan disini hanyalaha salah satu daripadanya.

Sesungguhnya sastera rakyat di Borneo tidak pernah kurang malah terlalu unik Cuma kurang diwar-warkan untuk pengetahuan generasi kita semua.

‪#‎KamekSayangSarawakBah‬!

bottom of page