top of page

TRAGEDI MH17 DALAM KENANGAN


TRAGEDI MH17 DALAM KENANGAN

“17 July 2014, starting our new hijrah. Alhamdulillah..<3 <3 <3 ”…Itulah status terakhir daripada Allahyarham Ariza Ghazalee, seorang anak Sarawak yang berasal dari Kuching, Sarawak. Sudah tentu ramai antara kita mengingati betapa pilunya kita menerima perkhabaran bagaimana mereka 6 sekeluarga turut terkorban di dalam tragedi hitam penerbangan Malaysia MH17. Melihat satu persatu jenazah diusung keluar daripada pesawat yang membawa mereka dari Kuala Lumpur ke Kuching membuat kita sebak di dada.

Sudah 2 tahun berlalu namun kejadian ini tetap mekar diingatan kita kerana tragedi ini sehingga sekarang masih lagi terkapai-kapai tanpa pembelaan. Kesemua penumpang dan anak kapal ini tidak berdosa malah mereka tidak pernah bersangkutan dengan apa-apa perang yang berlaku di daratan pada masa itu. Namun inilah hitam putih penghidupan manusia sejagat yang terus berperang sehingga kiamat hanya kerana ingin berkuasa.

Mengimbau kembali tragedi yang berlaku pada tanggal 17 Julai 2014 ini mempunyai jalan ceritanya tersendiri. Pesawat Boeing 777 ini di dalam perjalanan daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa seramai 284 penumpang dan 15 anak kapal Sistem Penerbangan Malaysia. Dan penerbangan Malaysia MH17 ini dikatakan hilang dari radar kira-kira 50 km daripada sempadan Ukraine-Rusia. Dan akhirnya melalui laporan-laporan dikatakan terhempas di kawasan Torez, Donetsk Oblast, Ukraine.

Sungguh memilukan apabila mengetahui bahawa penumpang-penumpang dan anak kapal MH17 ini terkorban kesemuanya dan puncanya adalah kerana sebuah penerbangan awam telah ditembak jatuh. Maka bermulalah episode menuding jari antara Rusia dan Militia memandangkan kawasan kejadian adalah kawasan peperangan yang aktif.

Pada ketika itu seluruh dunia mengutuk apa yang telah berlaku dan satu kerajaan kerdil yang bernama Kerajaan Malaysia telah membuat sebaik mungkin dengan budi bicaranya untuk mendapatkan kotak hitam yang boleh menjadi saksi kepada apa yang berlaku. Selain daripada itu tindakan segera juga diambil oleh pihak Militia apabila mereka turun membantu menyimpan mayat-mayat penumpang yang bergelimpangan di kawasan mereka untuk tindakan dunia.

Dunia menyaksikan bagaimana Kerajaan Belanda telah memberikan penghormatan Negara kepada kesemua jenazah-jenazah sewaktu tiba di Belanda. Dibawa ke Belanda pada ketika itu untuk tujuan pengesahan DNA sebelum dihantar pulang ke Negara masing-masing. Pengecaman DNA itu sahaja sudah cukup memakan masa kerana ada sesetengah mayat tidak sempurna dan sebagainya.

Tanggal 22 Ogos 2014 pula menyaksikan seluruh Malaysia berkabung serentak kerana pada hari itulah 20 jenazah yang pertama sampai ke pangkuan Negara mereka. Tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama, rakyat Malaysia bertafakur seketika di saat keranda-keranda dikeluarkan daripada pesawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Tiada kata yang mampu diucapkan pada masa itu kerana kita tahu ianya adalah ekspresi kesedihan untuk sesiapa sahaja yang menggelar dirinya seorang manusia. Usah diperkata kaum keluarga dan sahabat handai yang terkorban kerana hanya iringan airmata yang menyambut orang yang tersayang sehingga ke liang lahad.

Permainan tarik tali kuasa besar menjadi penentu segalanya apabila Kerajaan Malaysia tidak pernah berpeluk tubuh membiarkan tragedi hitam ini tidak diadili sewajarnya. Malaysia membawa hal ini ke PBB untuk diadakan Tribunal Antarabangsa. Cadangan Malaysia diusulkan ke Majlis Keselamatan PBB dengan 11 Negara menyokong manakala 3 lagi berkecuali. Namun Rusia telah menggeluarkan tongkat sakti mereka dengan menggunakan kuasa veto mereka untuk membatalkan segala usaha ini.

Inilah jalan ceritanya Tragedi MH17 yang meninggalkan 1001 perasaan kepada kita. Allahyarham Tambi Jiee, Allahyarhamah Ariza Ghazalee dan anak-anak mereka iaitu Allahyarham Mohd Afif Tambi, Allah Mohd Afzal Tambi, Allahyarham Marsha Azmeena dan Allahyarham Mohd Afruz Tambi serta Mendiang Meling anak Mula adalah anak Sarawak yang terkorban di dalam Tragedi MH17 ini. Bersama-sama dengan mereka juga ada 277 orang lagi penumpang dari pelbagai Negara dan 15 anak kapal yang turut menjadi mangsa sikap rakus dan tamak kuasa besar dunia.

2 tahun berlalu, ianya tetap menjadi kenangan pahit untuk kita lebih-lebih lagi bagi keluarga yang terkorban. Mungkin lukanya sudah sembuh tetapi parutnya tetap ada dan akan terus diingati sepanjang hayat.

Hanya mampu menadah tangan memohon Tuhan Yang Esa menempatkan roh-roh mereka yang terkorban di kalangan mereka yang beriman dan para syuhada serta memastikan sesiapa yang menjadi petualang kepada tragedi ini mendapat hukuman yang setimpal.

Al-Fatihah. Amin. Rest In Peace. Ameen

‪#‎TragediMH17DalamKenangan‬

bottom of page