top of page

STATUS SARAWAK DALAM GAGASAN MALAYSIA: 1/3 ATAU 1/13?


STATUS SARAWAK DALAM GAGASAN MALAYSIA: 1/3 ATAU 1/13?


STATUS Sarawak samada sebuah entiti bergelar negara atau negeri sering menghiasi media massa. Sesuatu yang seharusnya patut kita fikirkan secara lebih serius memandangkan kedudukan ini menentukan apakah yang sebenarnya berlaku tanpa kita sedari sepanjang 53 tahun Gagasan Malaysia ditubuhkan.


Dahulu dikala kita belum mengetahui sejarah sebenar Penubuhan Malaysia ataupun ada yang memperkatakan sejarah yang disembunyikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan sudah tentu ianya tidak menjadi persoalan penting. Lebih-lebih lagi sepanjang setengah abad itulah yang ditanamkan di dalam minda generasi baru rakyat Malaysia.


Antara faktor yang memacukan sentimen anti-persekutuan di kalangan rakyat Sarawak mahupun Sabah adalah kekeliruan tentang status Sarawak di dalam Gagasan Malaysia. Jika kita menyelusuri sejarah pembentukan Malaysia itu sendiri sudah sahih sebenarnya Sarawak mempunyai status yang “istimewa”.


Sejarah membuktikan bahawa Sarawak adalah satu entity yang merdeka awal sebelum pembentukan Malaysia. Ini kerana Sarawak itu merdeka pada tanggal 22 Julai 1963 malah sudah ditadbir sendiri oleh anak watannya. Dan kemudian timbul pula persoalan bahawa Sarawak “dimerdekakan” untuk menyertai Malaysia.


Peliknya gazet menyatakan Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dari cengkaman penjajajahan Koloni British. 54 hari selepas itu Sarawak membentuk Gagasan Malaysia dan kita hanya merdeka 54 hari dengan masih “bertuankan” Gabenor British pada masa itu iaitu Sir Alexander Weddel yang hanya keluar dari Sarawak pada tanggal 16 September 1963.


Sarawak yang baru merdeka dengan Sarawak dibawah Koloni British cukup lama, jadi mungkin ada hukum logic kenapa Sir Alexander Weddel masih menjadi Gabenor Sarawak pada masa itu walaupun 54 hari sahaja. Ini kerana Sarawak yang baru merdeka adalah umpama bayi yang baru dilahirkan dan sudah tentu banyak penyerahan tugas yang hendak dilaksana. Dahulu tiadanya kemudahan internet atau sebagainya dan sudah tentu memerlukan jangkamasa yang agak panjang. Jadi apakah Sarawak tidak merdeka pada ketika itu???


Berbalik kepada sejarah mengenai cadangan penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 lagi telah membuktikan bahawa Gagasan Malaysia itu seharusnya dibentuk oleh 5 entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, North Borneo (Sabah), Sarawak dan Brunei. Namun 11 jam selepas cadangan itu diusulkan kepada Brunei, Kerajaan Brunei telah menolak untuk menganggotainya dan mereka hanya merdeka pada tahun 1984 oleh Koloni British.


Kemudian, bermulalah cerita mengenai 4 entiti yang tinggal iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, North Borneo (Sabah) dan Sarawak. Setelah perbincangan demi perbincangan dan akhirnya dicatatkan Sarawak dan Sabah mahukan “keistimewaan” bagi menjaga kepentingan rakyat Sarawak dan Sabah maka barulah Gagasan Malaysia ditubuhkan yang sepatutnya diwar-warkan pada 31 Ogos 1963 namun atas kelewatan dokumen PBB pada masa itu ianya ditubuhkan pada 16 September 1963.


Sekitar tahun 1965 pula menyaksikan Singapura pula menarik diri daripada Gagasan Malaysia. Dan muncul pula suara-suara menyatakan bahawa Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada tahun 1963 adalah “void”. Ini kerana dikatakan bahawa Singapura menarik diri hanya dengan persetujuan Perdana Menteri Malaysia pada masa itu tanpa merujuk kepada persetujuan 2 entiti pembentuk iaitu Sabah dan Sarawak. Ini juga menjadi satu persoalan besar kerana jika ianya benar-benar “void” maka Gagasan Malaysia selama ini adalah satu gagasan yang “haram”.


Yang tinggal sekarang setelah 53 tahun pembentukan Gagasan Malaysia adalah 3 entitinya iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Dan permintaan dan aspirasi rakyat Sarawak semakin kedengaran tanpa takut-takut lagi mengintai di sebalik tabir kerana Kerajaan Sarawak melalui kepimpinan Datuk Adenan di dalam proses memperjuangkan hak autonomi Sarawak seperti yang tercatit di dalam Perjanjian Malaysia 1963.


Dan mana mungkin kita boleh melupakan status Sarawak itu sendiri apabila berbicara tentang autonomi kerana kita tidak boleh menolak pada asas perjanjian yang ditandangani 53 tahun lalu. Cuma bezanya pada awalnya tercatit Sarawak 1/3 daripada pembentuk gagasan Malaysia tetapi alih-alih pada tahun 1970an menjadi sebaliknya.

*** Dengan izin di dalam Bahasa Inggeris***


The status of Sarawak and Sabah was reflected in the first draft of the Constitution when the Federation of Malaysia was established.

Article 1: The Federation shall be known, in Malay and English, by the name of Malaysia.


Article 2: The State of the Federation shall be:-


(a) The States of Malaya, namely Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor and Trengganu.


(b) The Borneo States, namely, Sabah and Sarawak; and


(c) The State of Singapore.


In the 1970s, the Constitution was subsequently amended to:

Article 1: The Federation shall be known, in Malay and English, by the name Malaysia.


Article 2: The States of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Trengganu.


Berdasarkan kepada perubahan ini sememangnya begitu jelas Sarawak telah dituruntaraf pada tahun 1970an. Dan perlulah diingatkan bahawa mengikut amalan perundangan bukan sewenang-wenangnya boleh membuat perubahan pada satu perjanjian. Jadi disini ramai yang mengatakan mengapa ahli parlimen dari Sarawak menyetujui perubahan ini.


Tetapi janganlah kita lupa pada suatu waktu dahulu, suara kita di parlimen hanya berapa kerat sahaja dan ianya didominasi oleh pihak Persekutuan Tanah Melayu. Namun perlulah diingat dari awal-awal lagi di dalam perjanjian penubuhan Malaysia telah tertera bahawa sebarang perubahan harus dirujuk kepada entity pembentuk serta yang mengawal iaitu Kerajaan British sendiri.


Dan jika kita mengimbau kenyataan daripada Datuk Adenan sendiri baru-baru ini apabila berkata tentang Territorial Act, bagaimana banyak akta-akta lama dipinda TANPA merujuk kepada persetujuan Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa kepada Parlimen Malaysia jadi jika itu salah satunya sudah tentu banyak lagi yang kita tidak ketahui termasuklah Perjanjian Malaysia 1963 itu sendiri.

Jadi, apakah yang berlaku pada tahun 1970an itu harus digodek dan diperincikan. Kerana ianya begitu mengundang 1001 tandatanya pada kotak fikiran kita sebagai yang empunya hak. Sebagai rakyat Sarawak sudah tentu kita menuntut Jawatankuasa Autonomi Sarawak akan memperincikan persoalan ini. Jangan hanya bertitik tolak kepada perkara-perkara autonomi yang sememangnya diketahui umum tetapi status Sarawak ini juga harus diambil perhatian kerana bidang perundangan yang menjadi mainannya.


Ini kerana ada bezanya status Sarawak sebagai 1/3 entiti pembentuk Malaysia dengan 1/13 negeri di dalam Malaysia.


Negara atau Negeri? Tepuk dada tanya otak.




DISCLAIMER: Entry ini hanya merupakan pandangan peribadi daripada penulis berdasarkan kepada situasi semasa sekarang dan ianya tiada niat untuk unsur-unsur hasutan dan sebagainya. Sebaliknya ianya adalah untuk tujuan perbincangan agar rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya boleh saling bertukar fikiran mengenai hal yang berlaku sekarang.

bottom of page