HARI SARAWAK, 22 JULAI
HARI SARAWAK, 22 JULAI
53 tahun menunggu akhirnya rakyat Sarawak berjaya merayakan tarikh paling keramat dengan cara terbuka dan tanpa berselindung dari segalanya. 22 Julai 2016 iaitu hari ini adalah cuti umum dan sambutan kemerdekaannya diadakan secara rasmi mengikut protokol Kerajaan Negeri Sarawak.
Apa yang berlaku ini adalah bertitik tolak daripada aspirasi rakyat Sarawak yang tanpa berpenat lelah biar diwarnai dengan tohmahan dan kata nista dari sesetengah pihak namun tidak pernah goyah bagi memastikan ianya dihormati seadanya.
Ianya adalah satu penghormatan paling besar di dalam kita mengenang tarikh 22 Julai ini biarpun ada yang masih teraba-raba di dalam terang mengenai signifikasi tarikh ini. Usah dipersalahkan mereka ini kerana ianya adalah hasil daripada setengah abad minda “dijajah” oleh orang yang berkepentingan bagi memastikan Sarawak menjadi “buta sejarah” selama-lamanya.
Umpama bidalan lama “sebusuk-busuk bangkai, pasti tercium juga” begitulah juga ceritera bagaimana rakyat Sarawak membongkar sejarah sebenar kita kerana sejarah sebenar itu tidak mampu diubah walau dengan tinta darah sekalipun.
Menyelusuri sejarahnya, 22 Julai 1963 yang lalu iaitu pada tarikh inilah Sarawak dibebaskan daripada cengkaman penjajah Koloni British. Pada ketika itulah Sarawak didokongi oleh sepasukan anak Sarawak yang diketuai oleh Ketua Menterinya yang pertama iaitu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan menentukan halatuju pentadbiran Sarawak.
Mana mungkin kita melupakan detik-detik keramat bagaimana bendera Koloni British diturunkan dan dinaikkan pula bendera Sarawak tersendiri iaitu bendera yang digunapakai sewaktu pemerintahan terakhir Rajah Charles Vyner Brooke memerintah.
Dan ianya disaksikan oleh Gabenor Koloni British Sarawak pada masa itu iaitu Sir Alexander Weddel sendiri berserta ribuan rakyat Sarawak dari pelbagai lapisan dan bangsa. Hampir 10 tahun ianya masih berkibar megah di Sarawak sehinggalah ianya ditukar kepada bendera Trisakti.
Dan kerana itulah jika ramai anak muda yang mengangkat bendera lama itu BUKANNYA mereka mengagung-agungkan bendera Brooke tetapi itulah bendera yang sebenar merupakan bendera “suci” jauh daripada pengaruh jajahan minda yang kita ketahui sekarang.
Itulah cara anak muda sekarang menyatakan kehendak mereka tetapi di dalam pada masa yang sama perlulah diingatkan jangan sama sekali kita melupakan untuk mengangkat bendera Sarawak yang ada sekarang kerana itulah juga lambang kedaulatan dan jati diri kita sebagai rakyat Sarawak.
Dalam pada itu makna 22 Julai bukan hanya harus disoroti dengan bendera itu ini sahaja sebaliknya resapkan di dalam roh dan minda bahawa kemerdekaan kita ini adalah kerana jerit perih orang kita yang terdahulu.
Tanpa pengorbanan pahlawan-pahlawan anak Sarawak yang berjuang sehingga ke titisan darah yang akhir mereka siapalah kita sekarang. Julanglah ikon-ikon negarawan Sarawak seperti Allahyarham Rosli Dhoby, Allahyarham Datu Patinggi Ali, Mendiang Rentap serta banyak lagi nama-nama yang mengabadikan diri mereka untuk kesinambungan kita sekarang.
Dan apalah makna 22 Julai, Hari Sarawak jika kita tidak memperjelaskannya kepada anak-anak kita mengenai sejarah sebenar kemerdekaan kita. Ini kerana yang menjadi sajian ilmu mereka di dalam sistem pembelajaran di sekolah-sekolah sekarang umpama langit dan bumi perbezaannya.
Sekarang biarlah orang Sarawak sendiri yang menjadi “guru tidak bertauliah” kerana tiada siapa yang boleh kita harapkan untuk memperbetulkannya jika tidak kita sendiri sebagai anak Sarawak.
Cukup-cukuplah sudah kita dimomokkan dengan tarikh kemerdekaan yang salah selama hampir setengah abad. Perjelaskan bahawa 16 September 1963 adalah Hari Malaysia kerana pada hari itulah dilahirkan satu gagasan yang digelar Gagasan Malaysia. 31 Ogos 1957 pula adalah hari kemerdekaan untuk Persekutuan Tanah Melayu dan 31 Ogos 1963 adalah hari kemerdekaan untuk jiran sejajar kita iaitu Sabah. 22 Julai 1963 adalah hari kemerdekaan Sarawak, tanahair kita yang tercinta
Selamat Menyambut Hari Sarawak yang ke 53 tahun kepada seluruh anak Sarawak walau dimana sahaja anda berada. Raikan tarikh ini dengan penuh rasa bangga dan julanglah bendera Sarawak tinggi-tinggi di udara biar seluruh dunia tahu bahawa 22 Julai 1963 adalah hari kemerdekaan sebenar Sarawak.
Dari Team Admin Borneo Oracle