CERITA DI SEBALIK WARNA BENDERA SARAWAK
CERITA DI SEBALIK WARNA BENDERA SARAWAK
BERBICARA soal bendera sememangnya sesuatu yang perlu kita lihat dari pelbagai aspek kerana bendera itu adalah jati diri kita sebagai rakyat sesuatu Negara/negeri. Benderalah yang akan kita julang tinggi-tinggi bagi menunjukkan kepada dunia siapa kita sebenarnya.
Menyingkap ceritera dari mana asal-usul warna bendera Sarawak juga mempunyai ceritanya yang tersendiri dan unik. Sekarang warna bendera Sarawak adalah warna merah, kuning dan kuning disamping bintang pecah Sembilan yang mempunyai maknanya yang penuh simbolik.
Untuk bendera Sarawak sekarang simbolik kepada warna-warnanya adalah:
1. Warna Merah - Simbol kepada keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat di dalam usaha yang berterusan bagi mengejar dan mempertahan kemajuan dan ketinggian maruah di dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh di dalam Malaysia.
2. Warna Kuning - Simbol kepada keagungan dan kedaulatan perundangan dan peraturan (order) serta perpaduan yang stabil di dalam masyarakat Sarawak yang berbilang kaum.
3. Warna Hitam - Simbol kepada kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak dan gas, perhutanan seperti balak dan sumber-sumber yang lain yang juga merupakan landasan bagi memajukan rakyat Sarawak.
4. Bintang pecah Sembilan berwarna kuning - Bintang kuning melambangkan cita-cita tinggi rakyat dan hasrat rakyat Sarawak untuk meninggikan mutu penghidupan mereka. Pecah Sembilan pula bermaksud 9 bahagian (12 bahagian sekarang) yang membentuk apa yang digelar Sarawak Bumi Kenyalang itu.
Itu ceritanya bendera Sarawak yang berkibar megah dari tahun 1988 sehingga sekarang yang sudah tentu pada ketika itu mantan Ketua Menteri Sarawak yang sekarang Gabenor Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud sebagai individu yang memainkan peranan yang besar di dalam pemilihan dan rekabentuknya.
Jauh sebelum itu, kita menyaksikan bendera Sarawak yang dinamakan “Trisakti” dikibar megah di Sarawak iaitu dari tahun 1973 hingga 1988. Ianya mempunyai signifikasi warna yang berlainan iaitu seakan-akan bendera Republic Czeck iaitu berwarna Merah, Biru dan Putih.
Ianya adalah identiti Sarawak tersendiri iaitu sebagai 1/3 entiti pembentuk Gagasan Malaysia kerana sebelumnya hampir 10 tahun Sarawak masih lagi menggunapakai bendera Sarawak sewaktu pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke iaitu Rajah yang terakhir dari Dinasti Brooke yang memerintah.
Dan disebalik warna inilah kita menyaksikan mengapa warna bendera yang digunapakai Sarawak sekarang masih lagi mengekalkan warna yang sama seperti warna bendera lama zaman Brooke. Walau tiada dokumentasi rasmi yang menceritakan sebabnya dan hanya bersandarkan cerita orang lama-lama ada beberapa sebab mengapa warna merah, kuning dan hitam itu dipilih oleh Rajah Charles Brooke yang menggunapakai warna sedemikian dari tahun 1870 sehingga 1941.
Al-sahibul hikayat dikatakan bahawa suatu waktu dahulu Rajah Charles Brooke di dalam proses untuk membuat bendera Sarawak yang tersendiri. Di hari pertabalan beliau sebagai Rajah Kedua Sarawak dikatakan beliau menerima banyak hadiah dan cenderamata daripada rakyat dan pemimpin-pemimpin masyarakat Sarawak pada waktu itu.
Satu signifikasi yang menarik minat beliau adalah cara pembungkusan hadiah mahupun cenderamata daripada masyarakat Sarawak yang berbilang kaum pada masa itu.
Menurut ceritanya setiap daripada pemimpin masyarakat Dayak Sarawak telah membungkus cenderamata untuk beliau di dalam kain yang beralaskan warna hitam. Ini kerana warna hitam itu adalah warna kehormat bagi masyarakat Dayak baik di dalam pemakaian busana mereka dan banyak lagi.
Bagi masyarakat Cina Sarawak pula menghantar cenderamata kepada beliau di dalam bungkusan kain yang berwarna merah. Dan sudah tentu merah itu bermaksud “Ong” atau “Tuah” di dalam tradisi masyarakat Cina berkurun lamanya.
Untuk masyarakat Melayu Sarawak pula lain pula ceritanya kerana setiap cenderahati yang dihadiahkan kepada beliau menggunakan bungkusan kain berwarna kuning. Kuning mengikut tradisi masyarakat Melayu adalah warna kehormat untuk pemimpin tertinggi seperti raja ataupun Sultan. Dan pada masa itu pertabalan Rajah Charles Brooke juga menandakan penghormatan mereka kepada rajah sebagai pemimpin Sarawak pada masa itu.
Kerana merasa bahawa signifikasi warna-warna istimewa hadiah daripada rakyat Sarawak inilah dikatakan bahawa Rajah Charles Brooke mahu ianya diterjemahkan menjadi bendera Sarawak suatu waktu dahulu iaitu sebagai satu simbol kemuafakatan dan perpaduan rakyat Sarawak yang berbilang kaum iaitu daripada 3 dominasi masyarakatnya yang menjadi tulang belakang kepada Sarawak dahulu iaitu etnik Dayak, Melayu dan Cina.
Jadi, mungkin juga inilah ceritanya mengapa ada pemilihan warna yang istimewa untuk bendera Sarawak sekarang walaupun mempunyai makna yang berbeza namun tetap menggunakan warna bendera yang sama sewaktu zaman Brooke dahulu. Hakikatnya, bendera Sarawak sekaranglah adalah identiti dan jatidiri kita sebagai anak Sarawak.
Usah sama sekali kita perlekehkan ia, menghina ia kerana ianya adalah salah satu simbol kedaulatan kita. Hormatilah ia dan jangan biarkan ia koyak rabak, kusam tidak berganti apabila berkibar terdedah oleh panas dan mentari. Jaga tertibnya sewaktu ia dikibarkan dan jangan mengambil sikap enteng apabila ia tidak dikibar mahupun digantung dengan cara yang betul kerana ia boleh membawa maksud yang berbeza-beza.
Julanglah tinggi-tinggi bendera kita dengan semangat bangga sebagai seorang anak Sarawak di dalam apa jua acara di dunia ini.
#KamekSayangSarawakBah!