RAZIMAN SARBINI - Anak Limbang, Sarawak
RAZIMAN SARBINI
– Penari Ballet Anak Sarawak Yang Berbakat Besar
SUDAH tentu ramai yang tidak mengenali siapakah individu di sebalik yang bernama Raziman Sarbini ini kerana namanya tidak sebaris dan gah di dalam dunia massa atau untuk lebih spesifik dunia seni dan hiburan tanahair. Nama-nama besar seperti Zee Avi, Dayang Nurfaizah, Hafiz Suib serta ramai lagi sudah tentu menjadi sebutan anak-anak muda zaman sekarang. Dan kita sebenarnya terlupa atau tidak mengetahui bahawa ada seorang anak Sarawak yang mempunyai bakat besar dan mengukir namanya tersendiri di pentas dunia seni antarabangsa.
Raziman Sarbini, itulah nama seorang anak Sarawak yang dilahirkan dan dibesarkan di Limbang, Sarawak. Berasal dari keluarga yang bukannya mewah dan hanya bergantung dengan pendapatan sebagai penoreh getah dan menebang kayu untuk mencari rezeki yang halal. Cerita penghidupan keluarganya tidak pernah membuatkan beliau malu mengenai mereka sebaliknya kecekalan orang tuanya membesarkan mereka 8 beradik itulah yang menjadi sumber kekuatan baginya.
Dan kemiskinan bukan satu faktor untuk seseorang itu tidak mampu mengejar impiannya dan begitulah juga Raziman Sarbini apabila beliaulah satu-satunya di dalam adik beradik beliau yang mampu menjejak kaki ke menara gading. Berbekal tekad dan usaha serta doa daripada keluarga beliau di Limbang, beliau melangkah Laut China Selatan meneruskan pengajian ke ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) yang akhirnya menganugerahkan beliau dengan 2nd Class Upper Bachelor of Dance (Performance) Honours serta turut dinobatkan sebagai Best Dance Graduate 2015.
Bila berbicara dunia ballet sememangnya ramai yang tahu bahawa untuk menjadi penari ballet memerlukan pembelajaran yang bermula daripada kanak-kanak lagi. Dan yang menariknya seorang penari ballet berasal dan dibesarkan dari Sarawak juga sesuatu yang memusykilkan bagi kita sebagai rakyat Malaysia. Tetapi jika sudah namanya bakat itu kurniaan Allah ianya bukan mustahil bagi Raziman Sarbini apabila detik-detik pengenalannya di dalam dunia tari ballet hanya bermula ketika usianya 19 tahun.
Dan mungkin ramai yang tidak mengetahui yang Raziman Sarbini ini juga antara penari ballet berkelas dunia. Pencapaiannya yang tidak didendangkan buat pengetahuan kita semua kerana beliaulah antara individu anak Malaysia yang berjaya merangkul 5 pingat emas di dalam satu kejohanan besar iaitu di World Championship Of Performing Arts 2012. Selain itu beliau juga dinobatkan Naib Johan di TDS Solo Classical Ballet Competition yang mana membariskan penari-penari ballet di seluruh dunia pada masa itu.
Itu hanya sedikit daripada pencapaiannya di dalam arena kejohanan tari di pentas dunia dan nama Raziman Sarbini juga turut gah di persada produksi pentas persembahan apabila beliau merupakan antara pemegang watak utama di dalam produksi-produksi keluaran dalam Negara mahupun luar Negara. Antaranya adalah produksi dari Jepun melalui Un Yamada Dance Company’s One Piece, Joseph’s Gonzales Becoming King: The Pakyung Revisited serta World Dance Movement, Itali yang menyaksikan beliau berdiri megah bersama-sama dengan penari-penari ballet professional seluruh dunia.
Dan sekarang umpama kata bidalan menuntut ilmu itu sehingga ke Negara China dan begitulah keinginan anak jati Sarawak yang berbakat besar ini. Beliau masih lagi mengalun impian untuk menjadi yang terbaik dengan menuntut ilmu itu sebagai jalan yang utama di dalam memartabatkan bakat yang telah diberikan kepadanya. Baru-baru ini, Raziman Sarbini telah ditawarkan untuk mengikuti peringkat Master’s di The New York University Tisch School of the Arts atau lebih dikenali dengan panggilan TISCH atau TSOA. Satu universiti yang gah di mata dunia mengeluarkan pelajar-pelajar bertaraf antarabangsa di dalam industri seni dan hiburan. Nama-nama besar seperti Mavin Khoo Bu-Aun, seorang legenda penari klasik India juga David Lee seorang artis merupakan antara bekas-bekas pelajar di TISCH.
Mendapat tawaran ini sahaja sesungguhnya sesuatu yang diluar jangkauan Raziman Sarbini malah sesuatu yang membanggakan. Dan dengan prestij TISCH itu sendiri, kita sudah boleh menjangkakan kos pembelajarannya yang bukan sedikit ditambahlagi dengan kos sarahidup di kota besar, New York, USA. Untuk menghabiskan kuliah Master’s ini Raziman memerlukan kira-kira RM620,000 atau (US$150,000). Satu jumlah yang besar bagi seorang anak penoreh getah dari Limbang.
Buat masa sekarang, Raziman sudahpun mendapat berita gembira apabila TISCH sendiri menawarkan biasiswa yang berjumlah US$15,000 untuk beliau memulakan langkah ke Amerika Syarikat pada tanggal 6 September 2016 nanti. Apa yang diperlukan oleh beliau sekarang adalah sokongan daripada individu, pihak korporat mahupun Kerajaan Negeri sendiri jika mampu memberikan beliau sedikit dana meneruskan penghidupan beliau di luar Negara. Sesungguhnya demi mengejar impian, anak Sarawak ini tidak kekok untuk bersusah payah di luar Negara bagi menamatkan kuliahnya.
Yang pasti, impian anak Sarawak ini harus disokong dan dibantu kerana ianya seumpama membawa impian seluruh anak Sarawak yang ingin menyaksikan ada lagi anak Sarawak yang membawa nama Sarawak ke pentas dunia. Raziman Sarbini, seorang anak Sarawak yang berbakat besar dan kita jangan sesekali membiarkan beliau terumbang-ambing keseorangan. Jika bukan kita siapalah lagi yang akan tampil menghulurkan bantuan biarpun di dalam jumlah yang minima atau setidak-tidakpun memviralkan artikel ini agar lebih ramai yang membacanya dan membuat apa yang sepatutnya.
Nota: Sebarang pertanyaan mengenai Raziman Sarbini samada tabung dana dan sebagainya bolehlah menghubungi Taufiq Nazarudin pada nombor +6012 7900 799 atau terus berinteraksi di laman facebook Raziman Sarbini.