top of page

PENGAMAL PERUBATAN TRADISIONAL MASYARAKAT SALAKO


PENGAMAL PERUBATAN TRADISIONAL MASYARAKAT SALAKO


MASYARAKAT Salako merupakan salah satu sub-etnik kepada etnik kedua terbesar di Sarawak iaitu etnik Bidayuh. Walaupun begitu, masyarakat Salako mempunyai beberapa perbezaan dari segi bahasa mahupun adat dan tradisinya dengan sub-etnik Bidayuh yang lain. Walaupun rata-rata masyarakat Salako sudah mempunyai panduan agama sejak dahulu lagi tetapi ada sesetengah ritual masih lagi dipegang erat bagi mempertahan tradisi yang telah diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain.


Sudah menjadi lumrah sejak dari zaman dahulu lagi, etnik-etnik di Borneo khususnya dan Sarawak amnya masih lagi mempercayai perubatan tradisional di dalam cara hidup mereka untuk sesetengah penyakit yang tidak boleh diusahakan oleh pakar perubatan moden. Masyakarat Salako juga tidak ketinggalan dan mereka juga mempunyai “Pakar Perubatan Tradisional yang tersendiri.


'Pengamal Perubatan' ini biasanya terdiri dari golongan kaum lelaki namun adakalanya ia juga dipilih di kalangan kaum wanita namun hal ini jarang-jarang berlaku. Kebolehan dan tanggungjawab mereka ialah tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit tanpa mengira tahapnya, dari seringan-ringan demam selsema sehinggalah tahap penyakit serius yang disebabkan makhluk halus atau terkena buatan orang.


Apa yang menarik adalah tentang kaedah mereka mengenalpasti penyakit iaitu hampir semuanya dikaitkan dan berpunca dari angkara roh-roh jahat atau mahluk halus melalui tilikan dan ramalan mereka. Istilah yang biasa digunakan dalam amalan perubatan mereka ialah "Takana Jukut" dimana "Takana" membawa maksud 'terkena atau berpunca dari atau disebabkan oleh'. "Jukut" pula lebih kurang bermaksud 'benda’ atau ‘barang’ yang sering dikaitkan dengan benda ghaib atau sukar dilihat oleh mata kasar.


Pada zaman sekarang, golongan "pakar perubatan" sebegini semakin berkurangan dan hampir 'kehilangan kerja' kerana faktor perubahan zaman, lebih-lebih lagi penduduk pada zaman sekarang juga kebanyakannya lebih bergantung dan percaya pada kepakaran doktor yang dilengkapi alat perubatan yang canggih serta moden.


Ada juga 'pakar perubatan tradisional' yang sudah terlalu tua dan tidak larat untuk bergerak dan lebih menyedihkan lagi apabila generasi muda pula tidak berminat untuk mewarisi kepakaran apatah lagi untuk belajar ilmu perubatan tradisional mereka. "Pakar Perubatan" Salako ini boleh dikenali dengan pelbagai nama berdasarkan tahap kebolehan dan kemahiran mereka.


Ianya adalah seperti berikut:


1. PA' TENTENG


Rawatan Pa' Tenteng atau Tukang Tenteng biasanya lebih tertumpu pada penyakit-penyakit yang jauh lebih ringan contohnya demam selsema, sakit perut atau pening-pening sakit kepala. Segala persiapan untuk upacara perubatannya pula tidaklah terlalu rumit memandangkan penyakit yang dirawati kebanyakannya ringan dan tidak memudaratkan.


Biasanya, hanya saudara-mara terdekat dan sahabat rapat yang datang menyaksikan upacara perubatan tersebut. Upacara perubatan yang dilakukan oleh Pa’ Tenteng dikenali dengan nama Upacara Batenteng.


Upacara Batenteng ini biasanya diselangi dengan bunyi pinggan seramik Cina yang diketuk dengan pemukul kayu kecil, ia menghasilkan tahap bunyi yang berlainan kerana pinggan-pinggan itu terdiri dari pelbagai saiz.


Istilah Batenteng pula dipercayai berasal dari bunyi "Teng, Teng, Teng" yang timbul dari pinggan-pinggan China yang diketuk. Dalam erti kata lain, 'tahap' Pa' Tenteng juga lebih kurang juga seperti bomoh biasa atau tabib biasa yang lain.



2. PA' DUKUN


Gelaran ini untuk golongan pengamal perubatan yang lebih 'mahir' sedikit dari Pa' Tenteng. Berbeza dari Pa' Tenteng, Pa' Dukun atau juga dikenali sebagai Tukang Dukun atau Dukun mempunyai pembantu yang dipanggil Panade' dan menjalankan upacara perubatannya yang tersendiri dipanggil "Badukun".


Biasanya untuk menjalankan upacara 'Badukun', penduduk harus menemui Pa' Dukun untuk menjemputnya dan mendapatkan persetujuannya. Proses ini dipanggil "Ngaap" atau "Ampus Ngaap". Sememangnya bukan sesuatu yang agak asing bagi penduduk kampung jika Pa' Dukun yang dijemput untuk melakukan upacara rawatan tersebut selalunya datang dari kampung berlainan walaupun dalam kampung itu sendiri mempunyai Pa' Dukun. Tidak diketahui mengapa dan apa sebabnya, mungkin juga kerana pantang "bomoh kampung sendiri tidak mujarab" barangkali.


Upacara Badukun memerlukan persiapan yang lebih rumit berbanding upacara Batenteng dan kadangkala mengambil tempohmasa sehari suntuk terutamanya di dalam penyediaan bahan-bahan yang diperlukan. Tempoh yang digunakan untuk upacara Badukun pula satu atau dua malam bergantung dengan keadaan.



3. TUKANG BAIYATN


Berdasarkan kepada tahap kebolehan dan ilmu perubatan yang diperolehinya, Tukang Baiyatn, Baiyatn atau juga dikenali sebagai Dukun Baiyatn berada di peringkat yang lebih tinggi berbanding Pa' Dukun. Penyakit yang tak mampu diubati atau dikenalpasti oleh Pa' Dukun akan dilanjutkan kepada Tukang Baiyatn.


Sama seperti adat dalam upacara Badukun, untuk mendapatkan Tukang Baiyatn harus melalui proses " Ngaap" seperti yang diterangkan sebelum ini. Proses persiapan untuk upacara berubat juga rumit seperti persiapan Badukun dan dilakukan oleh orang yang lebih arif atau 'makan garam', biasanya terdiri dari golongan orang tua di kampung.


"Batakng Taman", pelantar yang diperbuat dari batang pisang akan disediakan sebagai tempat Tukang Baiyatn membaca doa dan mantera sepanjang upacara dijalankan. Seperti juga Badukun, Tukang Baiyatn akan dibantu oleh Panade' dan juga "Anak Dalam" yang terdiri dari tiga hingga tujuh orang bergantung dengan arahan Tukang Baiyatn.


Anak Dalam terdiri dari perempuan yang belum berkahwin dan biasanya gadis remaja atau anak dara sunti di kalangan masyarakat Salako. Anak Dalam ini akan membantu Tukang Baiyatn dan Panade' dalam salah satu bahagian upacara tersebut iaitu "Ngayuh Ajukng" yang berupa upacara "mengayuh perahu" iaitu sebagai satu simbol dimana Tukang Baiyatn berkenaan "mencari punca penyakit dan menyembuhkan pesakit".


Ajukng yang dimaksudkan ialah model jong atau sampan kecil. Tukang Baiyatn akan melangsungkan upacara ritual dalam tempoh dari satu hingga tiga malam, bergantung dengan keadaan pesakit. Penduduk sekampung akan dijemput beramai-ramai untuk menyaksikan upacara tersebut dari awal sehingga akhir dan proses ini dipanggil sebagai "Ngarunukng" yang lebih kurang bermaksud untuk menghadiri, untuk menyaksikan.


Di sepanjang upacara inilah nanti, alat muzik Gong dan Tuma' (sejenis gendang kecil) dan peralatan muzik yang lain akan dimainkan sepanjang upacara Baiyatn.



4. TUKANG LENGGANG


Kadangkala dipanggil juga sebagai Pa' Lenggang atau Lenggang. Dalam keempat-empat tahap 'pakar perubatan' Salako yang ada, Pa' Lenggang mempunyai ilmu perubatan yang lebih tinggi. Mana-mana penyakit yang tak mampu disembuhkan melalui kaedah perubatan Pa' Tenteng, Pa' Dukun dan Tukang Baiyatn akan dilanjutkan kepada Pa' Lenggang.


Disebabkan Balenggang, (upacara yang dilakukan Pa' Lenggang) memerlukan persiapan yang agak kompleks dan proses upacaranya yang sangat rumit jika dibandingkan dengan Batenteng, Badukun dan Baiyatn. Penduduk kampung harus membuat pertimbangan dan berbincang terlebih dahulu sebelum bercadang untuk meminta Pa' Lenggang menjalankan upacara.


Balenggang merupakan satu-satunya jalan terakhir kerana kos perbelanjaannya jauh lebih besar. Walaupun begitu, biasanya segala beban kos & sebagainya yang dihadapi semasa proses persediaan upacara Balenggang akan ditanggung bersama-sama oleh penduduk kampung melalui derma. Derma ini berbentuk beras, gula, ayam dan sebagainya. Disamping itu penduduk kampung juga akan bergotong-royong bersama-sama untuk memastikan upacara Balenggang berjalan dengan lancar.


Seperti juga persediaan Baiyatn, upacara Balenggang juga memerlukan Panade', Anak Dalam, Batakng Taman, Ajukng dan sebagainya bergantung dengan sekuat mana penyakit yang dihidapi pesakit. Ada juga ketikanya aka nada upacara penyembelihan anjing hitam sebagai korban untuk mendapatkan darahnya yang dipercayai mempunyai kuasa yang mampu untuk menyembuhkan penyakit, menangkis ilmu sihir, menghalau mahluk halus dan sebagainya.


Upacara Balenggang akan berlangsung dari satu hingga ke tiga malam, bergantung dengan tilikan dan ramalan Pa' Lenggang.



Selepas keempat-empat upacara tersebut iaitu Batenteng, Badukun, Baiyatn dan Balenggang, keluarga pesakit perlu melakukan Balala' atau Basansam selama tiga hingga tujuh hari bergantung dengan nasihat keempat-empat pengamal perubatan tradisional tersebut.


Balala' atau Basansam merupakan satu proses yang sama seperti kuaratin atau berpantang iaitu bagi memberikan ruang untuk pesakit untuk berehat secukupnya dimana ia juga boleh mengelakkan penyakit dari merebak lebih teruk.



Betapa uniknya kesepaduan masyarakat Salako dan Rara iaitu satu lagi sub-etnik Bidayuh adalah apabila dikatakan bahawa Baiyatn dan Balenggang itu sebenarnya merupakan tradisi bagi masyarakat Rara (Bakati). Dan menurut yang diperjelaskan dikatakan bahawa Pa' Baiyatn dan Pa' Lenggang yang hadir melakukan ritual perubatan di perkampungan Salako datangnya dari suku Rara sendiri.


Di dalam erti kata lain, masyarakat Salako dan Rara mudah berasimilasi dan berkongsi antara satu sama lain dan pada masa yang sama terus mengekalkan identiti masing-masing baik dari segi bahasa, dialek dan sebagainya.


Mungkin apa yang ditampilkan ini hanya pencerahan singkat dan sudah tentu ada terma-terma yang lebih mendalam bagi masyarakat Salako sendiri. Kami sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja memberikan tambahan informasi agar kita lebih arif mengenai kekayaan tradisi dan adat masyarakat Sarawak yang lain.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!



Nota: Terima kasih kepada admin fb page Planet Sarawak kerana membenarkan Borneo Oracle untuk mengangkat artikel ini di ruangan ini agar kita sama-sama belajar di antara satu sama lain.

bottom of page