top of page

OLIMPIAN ANAK SARAWAK


OLIMPIAN ANAK SARAWAK


SEKARANG musim “Demam Olimpik” melanda seluruh dunia kerana sejak dari semalam (6/8/2016) merupakan temasya sukan yang paling besar serta paling lama pernah diadakan di dunia berlangsung dan kali ini ianya berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil sebagai hosnya. Bukan sesuatu yang mudah untuk menyertainya kerana tanpa rekod pencapaian yang terbaik sudah tentu TIDAK BOLEH menyertainya. Kerana itulah bergelar “Olimpian” itu sudah cukup baik bagi setiap yang berjaya menyertainya.


Menyelusuri sejarah temasya sukan terbesar ini sahaja sudah cukup mengkagumkan kerana ianya adalah satu sukan yang berasal dari zaman Yunani Purba (Greek kuno). Menurut sejarahnya ia sudahpun bermula sekitar kurun ke 776 sebelum masihi. Pada masa itu dikatakan ianya adalah satu pertandingan bagi keamanan iaitu meninggalkan dunia peperangan buat seketika sebaliknya bersatu di bawah satu pertandingan sukan.


Sukan Olimpik moden pula adalah satu sukan yang dikenali sebagai Sukan Olimpik musim panas yang dihidupkan kembali oleh seorang bangsawan berbangsa Perancis yang bernama Pierre de Coubertin sekitar abad ke-19. Pada masa itulah ia hanya dipertandingkan selang 4 tahun sekali. Manakala untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk hanya bermula pada tahun 1924 dengan kejohanannya tidak berlangsung serentak dengan sukan olimpik musim panas semenjak tahun 1994.


Bila berbicara soal sukan Olimpik ini menyaksikan penyertaannya adalah dari sebesar-besar Negara sehingga ke sekecil-kecil Negara di dunia dan kerana itulah kadang-kadang kita sendiri tidak pasti dimana kedudukan geografi sesebuah Negara itu akibat jarang-jarang mendengarnya. Tetapi itulah sukan Olimpik yang meletakkan kesepaduan sukan sebagai satu wadah keamanan mengatasi perbezaan bangsa, agama dan warna kulit mahupun perbezaan ideologi politik.


Dan sukan Olimpik juga tidak pernah lari daripada pasang-surutnya apabila ada sesetengah temasya Olimpik itu pernah juga diboikot oleh Negara-negara tertentu akibat daripada perbezaan ideologi dan sebaliknya. Contohnya Sukan Olimpik 1956 yang diadakan di Melbourne suatu waktu dahulu yang menyaksikan banyak Negara-negara di dunia bertindak memboikot penganjurannnya.


Di dalam konteks sejarah penyertaan Sukan Olimpik bagi Gagasan Malaysia pula iaitu satu gagasan yang dibentuk oleh Malaya, Singapura, North Borneo dan Sarawak buat pertama kalinya menghantar kontinjen atas nama Malaysia pada Sukan Olimpik Musim Panas 1964. Sebelum itu kontinjen Negara Malaya julung-julung kalinya menghantar penyertaan pada Sukan Olimpik 1956. Negara Singapura pula menghantai kontinjen mereka lebih awal daripada itu iaitu pada tahun 1948 lagi.


Sejarah juga menyaksikan bahawa jiran tetangga Sarawak iaitu North Borneo (Sabah) dibawah jajahan Koloni British Borneo mula menghantar kontinjen North Borneo kali pertamanya pada Olimpik 1956. Pada masa North Borneo menyandarkan harapan kepada 2 individu Olimpian mereka melalui acara trek dan balapan iaitu sukan lompat kijang dengan penyertaan dari Gabuh bin Piging dan Sium bin Diau. Kedua-duanya hanya berjaya melepasi acara kelayakan sahaja dan tiada pingat yang dibawa pulang pada waktu itu.


Sarawak pula tidak pernah layak menyertai Sukan Olimpik ketika dibawah dinasti 100 tahun pemerintahan Brooke mahupun ketika menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo. Namun begitu kecemerlangan anak Sarawak sebagai Olimpian hanya bermula ketika Sarawak menjadi salah satu entiti pembentuk Gagasan Malaysia. Mungkin kerana ada banyak kekurangan suatu waktu dahulu yang menyebabkan tiada anak Sarawak mampu melepasi taraf Sukan Olimpik berbanding Negara-negara yang lain.


Olimpian anak Sarawak yang pertama berjaya menyertai Olimpik adalah Mendiang Bala Ditta atau lebih dikenali sebagai “Kuda” Bala Ditta. Pada masa itu, beliau mewakili atlet dibawah bendera Gagasan Malaysia dengan menyertai Sukan Olimpik 1964 yang berlangsung di Tokyo, Jepun. Penyertaan beliau begitu memberangsangkan dengan menyertai acara trek dan balapan 100 meter. Beliau hanya layak sehingga ke peringkat suku akhir sahaja.


Kemudian, penyertaan anak Sarawak sebagai Olimpian hampir malap sehinggalah kemunculan Watson anak Nyambek atau lebih dikenali sebagai “The Flying Dayak”. Bukan sekali sukan Olimpik yang disertainya malah 2 kali iaitu di Sukan Olimpik Atlanta (1996) dan Sukan Olimpik Sydney (2000). Watson merupakan antara atlet anak Sarawak yang pernah berlari dengan raja-raja pecut bertaraf dunia suatu waktu dahulu di gelanggang Olimpik.


Olimpian anak Sarawak yang bernama Bryan Nickson Lomas pula mempunyai cerita tersendiri di dalam sejarah sukan Olimpik dunia. Ini kerana pada Olimpik 2004 yang berlangsung di Athens, Greece, beliau merupakan Olimpian paling muda pernah menyertai sukan Olimpik iaitu pada ketika usianya 14 tahun.


Olimpian cilik ini pada masa itu menyertai sukan akuatik iaitu acara terjun 10 meter papan anjal yang mana beliau menduduki tangga ke 19 dengan markah 407.13. Kemudian Lomas turut menyertai Olimpik 2012 di London, United Kingdom dengan menyertai 2 acara sukan akuatik iaitu terjun seirama 3 meter papan anjal dan juga 10 meter papan anjal.


Lain pula ceritanya dengan olimpian anak Sarawak yang bernama Daniel William Henry Bego yang terkenal dengan penyertaannya di dalam sukan akuatik acara renang. Ini kerana Bego merupakan satu-satunya Olimpian Malaysia yang pertama menyertai 3 acara sukan renang sekaligus di dalam satu kejohanan. Sejarah ini tercipta ketika beliau menyertai Olimpik 2008 di Beijing, China.


Bego menyertai acara sukan renang 200 meter gaya bebas, 200 meter gaya kupu-kupu dan 100 meter gaya kupu-kupu. Bego telah memberikan saingan paling kompetitif dengan perenang bertaraf dunia seperti Michael Phelps yang mendominasi dunia renang pada masa itu Walaupun beliau bertarung hanya di peringkat suku akhir namun pencapaian beliau sungguh membanggakan sebagai Olimpian anak Sarawak.


Tidak dinafikan Sarawak tidak pernah gagal menonjolkan jagoan renang sebagai Olimpian kerana untuk Olimpik 2016 di Rio kali ini menampilkan seorang lagi Olimpian anak Sarawak iaitu Welson Sim Wee Sheng. Ini merupakan sukan olimpik yang pertama bagi beliau dan sandaran Negara Malaysia terletak di bahunya untuk menyertai sukan renang acara 200 meter gaya bebas dan 400 meter gaya bebas yang memerlukan tenaga yang cukup kuat untuk menyudahinya.


Dan semalam, awal-awal lagi, Welson sudah menunjukkan taringnya apabila mendapat tempat ke-3 di dalam acara renang 200 meter gaya bebas acara saringan pertama di Olimpik Rio 2016 yang baru bermula.


Dan siapalah lagi yang paling cemerlang sebagai Olimpian mahupun ratu terjun Negara Malaysia yang telah terbukti pencapaiannya di mata dunia jika tidak Pandelela Rinong anak Pamg. Olimpian anak Sarawak inilah satu-satunya yang pernah menyumbang pingat di sukan Olimpik iaitu sukan akuatik acara terjun 10 meter papan anjal selain daripada acara sukan Badminton. Beliau pada Olimpik 2012 di London telah menghadiahkan pingat Gangsa yang menobatkan beliau sebagai satu-satunya Olimpian wanita Malaysia yang berjaya berbuat demikian.


Untuk Olimpik 2016 di Rio De Janeiro ini juga, walaupun tidak diletakkan apa-apa misi untuk mendapat pingat namun begitu beliau sentiasa menjadi sandaran kepada kita semua untuk menterjemahkan apa jua kilauan pingat Olimpik untuk Malaysia atau mungkin dengan pencapaian terbaiknya sepanjang tahun ini mungkin juga beliau mahupun Datuk Lee Chong Wei (Badminton) boleh memberikan EMAS PERTAMA OLIMPIK UNTUK MALAYSIA.

Hakikatnya Olimpian anak Sarawak juga tidak kurang hebatnya di dalam sukan bertaraf dunia ini. Dan amatlah diharapkan agar terus ada lagi muka-muka baru dari kalangan anak Sarawak yang akan mengukir nama bergelar "Olimpian" pada masa hadapan.


Salam Agik Idup Agik Ngelaban untuk kesemua Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Rio 2016.


Untuk Pandelela dan Welson, Good luck anak Sarawak dan May The Force Be With You!


-HB-


bottom of page