AKHBAR BERBAHASA MELAYU DI SARAWAK
AKHBAR BERBAHASA MELAYU DI SARAWAK SEWAKTU PEMERINTAHAN BROOKE DAN KOLONI BRITISH
AKHBAR adalah antara media yang menjadi penghubung kepada rakyat untuk mengetahui perkembangan dunia semasa. Jika kita melihat kepada perkembangan akhbar-akhbar di Malaysia amnya sudahpun bermula sejak di tahun 1896 lagi. Untuk di Sarawak, ianya agak terlewat sedikit iaitu sekitar pada tahun 1930an.
Jika mengimbau kepada sejarahnya, dinyatakan suatu ketika dahulu sebelum Sarawak mempunyai akhbarnya tersendiri ramai rakyat Sarawak pada masa itu lebih banyak bergantung kepada akhbar-akhbar dari Singapura yang sering menampilkan berita-berita mengenai Sarawak melalui persefahaman mereka dengan Rajah Brooke. Dan banyak yang mewarnai ruangan-ruangan adalah berkisar tentang apa yang Brooke lakukan dan tidak begitu mencakupi berita semasa mengenai rakyat Sarawak secara keseluruhannya.
Malah sewaktu Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British juga kebanyakan daripada sumber rujukan pada masa itu tetap berpaksikan suratkhabar daripada Singapura kerana disitulah berpusatnya pemerintahan British pada masa itu. Sebenarnya baik Brooke mahupun Koloni British gentar jika dibenarkan mana-mana akhbar tempatan maka ianya akan menyemarakkan lagi penentangan rakyat kepada pemerintahan mereka pada waktu itu.
Dan kerana itulah penerbitan akhbar pada waktu itu sangat dikawal dan boleh dikatakan ianya banyak ditutup operasi apabila baru setahun jagung beroperasi. Ini kerana kebanyakan daripada akhbar pada masa itu lebih banyak menyemarakkan lagi semangat nasionalisme dan patriotic anak Sarawak.
1. Akhbar Fajar Sarawak (1 Februari – 16 Jun 1930)
Fajar Sarawak merupaka akhbar Melayu yang pertama di Sarawak di dalam tulisan jawi yang dicetak dua kali sebulan. Penerbitan pertama akhbar ini bermula dari 1 Februari 1930 dan yang terakhir adalah pada 16 Jun 1930. Diterbitkan oleh Syarikat Putera Sarawak yang beralamat di No 45, India Street, Kuching dengan pengarang utamanya adalah Mohamad Rakawi Yusuf, seorang pesara pegawai Kastam.
Selain itu nama-nama pengarang seperti Haji Abdul Rahman bin Haji Kassim, Encik Johari bin Anang, Haji Mohd Daud bin Abdul Ghani dan Encik Mohd Awi bin Anang. Sepanjang penerbitan ianya dicetak oleh Diocesan Press yang terletak di Wayang Street, Kuching.
Fajar Sarawak menggunakan cogan kata “Perkhabaran Am, Pengetahuan Dan Hiburan” ini merupakan akhbar yang mempunyai ruangannya tersendiri iaitu merangkumi cerpen, bahasa, kesusasteraan, berita tempatan mahupun antarabangsa. Namun begitu inilah antara akhbar tempatan Sarawak yang berkaitrapat tulisan-tulisan yang banyak menyuntik semangat nasionalisme dan patriotik Melayu Sarawak pada waktu itu.
Mungkin kerana lantangnya tulisan-tulisan di dalam akhbar Fajar Sarawak maka ianya hanya mampu mengeluarkan 10 edisi suratkhabarnya akibat daripada permainan politik pemerintah pada masa itu. Kerana kelantangan itulah menurut sejarahnya pihak pemerintah gentar dengan setiap penulisannya malah setiap edisinya dirampas daripada rakyat.
Akibat daripada itulah juga sehingga sekarang hanya terdapat empat keluaran sahaja yang diketahui masih wujud dan tersimpan di Rhodes House Oxford, Perpustakaan Singapura dan Muzium Negeri Sarawak.
2. Akhbar Utusan Asas (November 1947 – Jun 1948)
Setelah penutupan Fajar Sarawak maka lahirlah satu lagi akhbar yang dinamakan Utusan Asas pada November 1947. Pada masa itu gerakan anti penyerahan (Anti-Cessionist) sedang kuat berkumandang di Sarawak. Jadi Utusan Asas ini menjadi suara kepada anak Sarawak untuk menyatakan pendirian mereka di dalam memastikan bahawa Sarawak tidak diserahkan menjadi tanah jajahan kepada Koloni British.
Kerana kelantangan itulah juga Utusan Asas juga hanya mampu diterbitkan selama 8 bulan dan akhirnya terpaksa ditutup hasil tindakan daripada pemerintah pada masa itu.
3. Akhbar Utusan Sarawak (1949 – 1971)
Pada tanggal 16 Januari 1949 pula terbitlah satu akhbar yang sebenarnya masih lagi berkisar pada perjuangan akhbar Utusan Asas yang ditutup operasinya. Utusan Sarawak diterbitkan di K.H Yeang Street, Kuching, Sarawak oleh Ikhwan Zainie bagi pihak Ariff Press Company. Pada asalnya diterbitkan 2 kali sebulan sebelum diubah kepada mingguan iaitu pada setiap hari Khamis bermula pada 28 Februari 1949.
Cogankata asalnya adalah “Akhbar Tengah Bulan” turut ditukar iaitu menjadi “Oleh Rakyat, Untuk Rakyat: Akhbar Mingguan” bermula pada tanggal 7 Mac 1949. Malah kekerapan diterbitkan juga turut bertukar menjadi kepada 2 kali seminggu iaitu pada setiap Isnin dan Khamis pada tahun 1952. Kemudian pada tahun 1953 pula sekali lagi ditukar kepada setiap Rabu dan Sabtu.
Ruangan di Utusan Sarawak secara umumnya adalah ruangan-ruangan seperti berita-berita am, sukan, politik, sepintas lalu mahupun rencana pengarang pada waktu itu malah ianya juga bukan sahaja mencakupi berita di Sarawak tetapi juga mana-mana berita bagi wilayah jajahan Koloni British.
Pada tahun 1960an, Utusan Sarawak bertukar pentadbirannya dan sekitar tahun 1969, Ketua Pengarangnya adalah Ahmad Boestamam iaitu antara seorang yang amat terkenal di dalam dunia akhbar pada masa itu. Walau bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, akhirnya Utusan Sarawak terpaksa ditutup pada tahun 1971.
Perlulah diingatkan bahawa satu akhbar yang bernama Utusan Sarawak yang beroperasi di Sarawak sekarang sebenarnya langsung tidak mempunyai perkaitan dengan akhbar Utusan Sarawak yang diasaskan pada tahun 1949.
Jika kita melihat kepada perkembangan akhbar berbahasa Melayu di Sarawak sewaktu pemerintahan Brooke mahupun Koloni British ternyata mereka sebenarnya gentar jika dibenarkan mana-mana akhbar tempatan yang berbahasa Melayu memenuhi ruang pembacaan untuk rakyat Sarawak pada masa itu kerana disinilah sebenarnya proses untuk menyemarakkan penentangan rakyat kepada pemerintah.
Dan kerana itulah penerbitan akhbar pada waktu itu sangat dikawal dan boleh dikatakan ianya banyak ditutup operasi apabila baru setahun jagung beroperasi.
Rujukan:
1. Arkib Negara : Hari Ini Di Dalam Sejarah http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=1305 2. Asmah Anis: Sejarah Akhbar Di Malaysia 3. Hamedi Mohd Adnan : 100 Akhbar Melayu