BANGSA EURASIAN

BANGSA EURASIAN, SARAWAK, BORNEO
MASYARAKAT yang membentuk rakyat Sarawak sememangnya mempunyai keunikan yang tersendiri yang tidak boleh dinafikan sama sekali. Dan selain daripada mereka yang sememangnya berasal dari Pulau Borneo itu sendiri, terselit satu komuniti kecil yang dikenali sebagai Bangsa Eurasian. Mendengar perkataan “Eurasian” itu kita sendiri mengetahui bahawa ianya adalah berasal daripada perkataan Eropah yang mana mempunyai cerita sejarahnya tersendiri bila berkata mengenai Sarawak suatu waktu dahulu.
Fasih berbahasa dialek tempatan tidak mengira bahasa Iban, Melayu Sarawak, Bidayuh dan sebagainya tetapi mempunyai raut wajah, fizikal dan kulit seakan-akan minah dan mat saleh bangsa Eropah serta menjunjung tinggi adat dan budaya orang Sarawak tidak pernah membuat bangsa Eurasian merasa terpinggir menjadi orang Sarawak. Malah ada juga bangsa Eurasian ini mempunyai fizikal seperti orang Sarawak yang lain Cuma mereka masih mengekalkan nama keluarga mereka sudah menjadi antara keindahan demografi masyarakat Sarawak sejak tahun 1800an sehingga sekarang.
Jika kita menggodek sejarah lama masyarakat hasil perkahwinan campur orang Sarawak dengan bangsa Eropah ini dahulunya dikenali sebagai bangsa Serani di dalam sejarah Sarawak di kalangan penduduk tempatan Sarawak. Dan dikatakan hanya pada lewat tahun 1920an barulah ada terma Eurasian itu yang digunapakai oleh Kerajaan Sarawak di dalam memperkatakan komuniti kecil ini.
Dan sudah tentu asal-usulnya bermula apabila adanya pemerintahan Brooke selama 100 tahun di bumi Sarawak suatu waktu dahulu memungkinkan hal ini berlaku. Jika kita melihat kepada corak pemerintahan Rajah kedua Sarawak sendiri iaitu Rajah Charles Brooke, pernah satu ketika di sepanjang pemerintahannya beliau sendiri menggalakkan penjawat awam bangsa Eropah berkahwin campur dengan masyarakat tempatan. Ini dilakukan bagi memastikan penjawat-penjawat awam bangsa Eropah untuk lebih memahami sosio budaya orang Sarawak pada waktu itu.
Dan ini agak bertentangan dengan sistem pemerintahan Rajah pertama iaitu Rajah James Brooke yang dikatakan tidak begitu menggalakan adanya perkahwinan campur antara masyarakat Sarawak dengan penjawat awam Eropah pada masa itu. Sudah tentu sokongan daripada Rajah sendiri menjadikan ramai penjawat Eropah yang mengahwini masyarakat tempatan suatu waktu dahulu. Dan sejarah juga membuktikan jika melewati penempatan di sekitar Astana Sarawak iaitu di seberang Sungai Sarawak suatu waktu dahulu dipenuhi dengan banglo-banglo orang Eropah yang merupakan penjawat Sarawak tetapi mengahwini masyarakat tempatan Kuching iaitu di kalangan masyarakat Melayu Sarawak itu sendiri.
Selain itu, ada juga bangsa Eurasian yang berasal daripada perkahwinan campur antara pekerja-pekerja Eropah yang mula-mula mengeksplorasi penghasilan minyak di Miri. Tenaga kerja professional samada dibawa daripada tanah tumpah mereka di United Kingdom, Canada mahupun orang putih yang sudah bermastautin lama di Singapura juga ada yang memilih orang Sarawak sebagai pasangan mereka. Penempatan seperti di persisiran pantai Tanjung Lubang atau menurut bahasa lamanya dikenali sebagai Pantai Brighton atau Brighton Beach menjadi tumpuan dengan banglo-banglo mereka didirikan. Ini kerana ianya seolah-olah berada di Negara mereka sendiri iaitu Brighton Beach, Sussex, England.
Dan sekitar tahun awal 1840an juga menyaksikan adanya kedatangan agama Kristianiti di seluruh Sarawak juga antara penyumbang kepada adanya perkahwinan campur antara misionari dan juga penduduk tempatan Sarawak. Oleh kerana gerakan misionari atau mubaligh Kristian itu banyak tertumpu ke kawasan pendalaman Sarawak, maka kebanyakan daripada perkahwinan campur ini berlaku dengan penduduk-penduduk di rumah panjang. Dan kerana itulah juga bangsa Eurasian di Sarawak bukan sahaja berlaku antara masyarakat Eropah dengan orang Melayu Sarawak tetapi juga dengan masyarakat Dayak Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Kelabit, Kenyah serta banyak lagi yang mana penempatan mereka terletak di pendalaman Sarawak.
Dan dinyatakan juga perkahwinan campur inilah yang mengukuhkan lagi pegangan agama mereka yang mana pada asalnya lebih kepada agama pagan dan akhirnya memeluk Kristian sebagai pedoman penghidupan mereka. Uniknya bangsa Eurasian di pendalaman lebih memilih untuk tinggal di dalam komuniti orang Sarawak iaitu samada di rumah panjang sebelah isterinya ataupun tinggal berdekatan dengan gereja atau tempat mereka menjalankan misionari kristian mereka.
Kemudian apabila Sarawak menjadi jajahan koloni British Borneo juga mempunyai perkahwinan campur dengan penjawat awam mahupun askar-askar dari Australia, British serta ramai lagi. Lebih-lebih ketika kita menyaksikan bagaimana askar-askar komanwel telah ditugaskan untuk membantu Sarawak ketika perang konfrantasi di Borneo suatu waktu. Dengan ramai askar-askar, pakar perubatan serta pelbagai golongan daripada bangsa Eropah sudah tentu ada yang jatuh cinta dengan masyarakat tempatan Sarawak. Jadi ada juga asal-usul bangsa Eurasian ini yang mempunyai keturunan daripada askar-askar dari Negara-negara Komanwel suatu waktu dahulu.
Itu sejarahnya bila kita bercerita mengenai perkahwinan campur hasil daripada pertemuan dua hati di dalam Sarawak sendiri. Dan mana boleh kita menidakkan bahawa bangsa Eurasian juga sebenarnya mempunyai ceritera cinta di luar Negara. Dan ini bermakna pertemuan dua insan yang seia sekata di Negara orang. Dikatakan ini berlaku sekitar tahun 1950an iaitu ketika ramai anak Sarawak yang berbakat dan bijak pandai meneruskan pendidikan mereka di menara-menara gading di luar Negara. Dibawah Plan Colombo pada masa itu memungkinkan ramai anak Sarawak berjaya membawa segulung ijazah dari luar Negara seperti di England yang akhirnya juga turut membawa isteri berbangsa Eropah kembali ke Sarawak.
Dan hal ini sebenarnya berlaku sehingga sekarang dan ianya tidak termaktub sebagai seorang pelajar sahaja sebaliknya bukan sedikit orang Sarawak yang sudah berjaya di luar Negara dan seterusnya bekerja di sana dan mengahwini wanita-wanita mahupun pemuda-pemuda dari kalangan bangsa Eropah sebagai pasangan hidup mereka. Perkahwinan campur ini juga turut membuahkan generasi mereka sebagai bangsa Eurasian Sarawak walaupun sejajar dengan undang-undang kewarganegaraan di Malaysia sekarang banyak mewariskan generasi mereka mengikut bangsa di sebelah ayah mereka.
Jika di Melaka kita menyaksikan bagaimana pendudukan Portugis suatu waktu dahulu di Kerajaan Kesultanan Melaka mewarnai hingga kini generasi Portugis di negeri itu serta juga turut mencambahkan keindahan budaya portugis dan kulinari mereka dan ianya juga tidak terkecuali dengan bangsa Eurasian di Sarawak. Perkahwinan campur dengan bangsa Eropah ini juga mengwujudkan beberapa “signature dish” mengenai daripada mana asal-usul mereka. Dan kerana itulah ada sesetengah masakan Sarawak yang kita kenali sekarang juga mempunyai pengaruh masakan dari Sepanyol, England dan banyak lagi.
Dan jika menyelidikinya tiada yang lebih membanggakan apabila Sarawak Eurasian Association (SEA) pernah mengeluarkan satu buku masakan yang mempertaruhkan keindahan kulinari bangsa Eurasian dari Sarawak di peringkat dunia. Buku masakan yang bertajuk Legacy Cookbook yang mana mempunyai pelbagai resipi berdasarkan kepada “signature dish” daripada 23 nama keluarga besar bangsa Eurasian di Sarawak mendapat pengiktirafan dunia apabila memenangi anugerah Oscar “The Best In The World” in local cuisine sub-category pada 17th Gourmand World Cookbook Awards di Paris, Perancis pada tahun 2010. Ianya menunjukkan bahawa kulinari bangsa Eurasian juga mempunyai ketinggian kulinari seperti masakan-masakan yang lain di dunia.
Inilah keunikan masyarakat di Sarawak yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama yang terbaik yang tidak boleh dinafikan mana-mana individu di dunia. Jika suatu waktu dahulu ramai masyarakat bukan Sarawak yang mempunyai pandangan skeptikal mengenai perkahwinan campur di dalam komuniti mereka, ianya tidak di Sarawak kerana sejak daripada dahulu lagi orang Sarawak dan masyarakat Eropah berjalan seiring-iring di dalam membentuk Sarawak yang makmur sehingga sekarang. Biar apapun agama yang dianuti oleh bangsa Eurasian sekarang baik sebagai seorang muslim, kristian mahupun Buddha sekalipun dan dikenali dengan etnik Iban, Kelabit, Melayu mahupun Caucasion sekalipun, mereka adalah Orang Sarawak yang kita cintai dan hormati.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.
Rujukan:
1. Sari K. Ishi – Marriage Migration In Asia, Emerging the minorities at the Frontiers of Nation State.
2. The Sarawak Eurasian Association - Legacy Cookbook
3. Borneo Post, October 30, 2011 - Savouring the taste of home