top of page

FROM MATU WITH LOVE


FROM MATU WITH LOVE


MATU merupakan satu daerah yang menjadi sebahagian daripada Bahagian Mukah apabila Mukah dinaiktaraf sebagai salah satu daripada 12 bahagian pembentuk Sarawak Bumi Kenyalang pada 1hb Mac 2002. Jauh sebelum itu, Matu merupakan salah satu daerah dibawah Bahagian Sibu.


Oleh kerana populasi terbesar di Matu adalah di kalangan etnik Melanau maka Matu juga turut sinonim digelar sebagai “Negeri Melanau” di kalangan rakyat Sarawak. Oleh kerana hubungan antara Matu dengan Daro iaitu satu lagi daerah berhampiran adalah terlalu hampir maka ada ketikanya pensejarahan mengenai 2 daerah ini sering berkaitrapat. Malah dari segi pentadbiran juga mereka turut berkongsi iaitu kedua-duanya dibawah jurisdiksi pentadbiran Majlis Daerah Matu-Daro.


Buat masa sekarang masih belum ada dokumentasi yang mengkhusus bagaimana Matu mendapat nama melainkan ianya adalah menerusi cerita oral orang-orang tua di Matu. Setakat ini terdapat 2 versi cerita bagaimana ianya mendapat nama.


Versi 1: Cerita secara oral penduduk tempatan mengatakan bahawa Matu mendapat namanya dari sebuah pohon yang dikenali sebagai pohon Matau atau Mato. Pohon ini dikatakan hidup subur di Matu dan keunikannya pokok Matau ini adalah ianya banyak mengeluarkan bunga tetapi tidak mengeluarkan buah seperti pokok-pokok yang lain.


Kerana adanya keganjilan inilah dikatakan suatu waktu dahulu apabila musim ianya berbunga, kawasan ini akan dikunjungi ramai. Lama-kelamaan mengikut lidah penutur masyarakat luar akhirnya kawasan ini digelar Matu.


Versi 2: Menurut versi kedua pula dinyatakan bahawa kawasan ini digelar Matu mengambil bersempena dengan nama sebuah anak sungai yang mengalir di kawasan Matu itu sendiri. Ianya pernah menjadi sumber penting untuk masyarakat Melanau Matu suatu ketika dahulu di dalam aktiviti hariannya.


Lokasi anak sungai ini terletak di Kampung Sok dan kerana kepentingan Sungai Mato inilah akhirnya kawasan ini turut dikenali dengan nama Matu mengikut lidah penuturnya.


Seperti kebanyakan “Negeri Melanau” di Sarawak, Matu juga mempunyai pensejarahan secara langsung dengan Kerajaan Kesultanan Brunei suatu waktu dahulu. Matu diketika menjadi tanah kuripan kesultanan Brunei dikatakan dipimpin oleh seorang pemimpin yang bijaksana. Pemimpin yang dikenali sebagai Orang Kaya Selain Penghulu Begagoh ini merupakan antara anak tempatan yang mendapat kepercayaan daripada Sultan Brunei suatu waktu dahulu.


Dan kebijaksanaan Orang Kaya Selair ini juga turut dipandang tinggi oleh Rajah Brooke kerana walaupun Matu sudah menjadi sebahagian daripada empayar Sarawak Kingdom, O.K Selair ini tetap diberikan kepercayaan untuk menjadi pemimpin di Matu. Sehingga sekarang keperibadian dan kepimpinan beliau diiktiraf sehingga sebuah sekolah di Matu yang dikenali sebagai S.K Orang Kaya Selair mengambil bersempena dengan nama beliau.


Menyelusuri sejarah Matu sebagai salah satu pembentuk empayar besar Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan 100 tahun dinasti keluarga Brooke adalah bermula campurtangan Brooke kepada industri sagu yang menjadi antara komoditi paling bernilai ketika itu di pasaran dunia. Pada ketika itu Matu, Oya, Mukah serta banyak lagi merupakan pengeluar sago yang paling produktif.


Apabila berlakunya Perang saudara Mukah antara Pengiran Mersat iaitu seorang Gabenor Mukah yang dilantik oleh Kerajaan Kesultanan Brunei dengan seorang pemimpin tempatan yang bernama Pengiran Matusin telah menyebabkan semangat Brooke untuk mengambil kawasan sekitarnya semakin berkobar-kobar.


Perang saudara 1858 ini sebenarnya boleh membawa keburukan kepada industri sago dan akhirnya James Brooke dikatakan masuk campur apabila Pengiran Matusin sendiri yang meminta beliau berbuat demikian. Setelah berjaya meredakan perang saudara tersebut maka pada tahun 1861, James Brooke telah berjaya memujuk Sultan Brunei untuk memberikannya wilayah Mukah bersama-sama dengan kawasan Upper Rejang, Mukah, Oya, Tatau dan Sungai Bintulu kepadanya.


Tindakan Sultan Brunei memberikan wilayah ini kerana dikatakan bahawa di sepanjang Perang Saudara Mukah ini berlangsung, baginda tidak pernah mendapat apa-apa penghasilan. Jadi apabila adanya James Brooke yang mahu memberikan imbuhan setiap tahun sebanyak $4,500 ianya adalah satu yang dinantikan.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di Matu ini iaitu secara mengkhusus di Kampung Suk terdapat satu-satunya warisan tradisi masyarakat Melanau yang tinggal iaitu kewujudan sebuah rumah panjang etnik Melanau. Ianya adalah satu-satunya yang masih ada di dunia ini. Ini kerana masyarakat Melanau suatu waktu dahulu bukan sahaja mendiami rumah tinggi tetapi juga rumah panjang.


Senibina rumah panjang ini tiada beza dengan rumah panjang Iban kerana dikatakan antara salah satu sebab etnik Melanau mendirikan rumah panjang berbentuk rumah panjang Iban adalah untuk tujuan penyamaran. Kerana suatu waktu dahulu etnik Melanau sering dijadikan mangsa kepada perang kayau etnik Iban.


Sebenarnya ada banyak lagi keunikan daerah Matu ini yang mana menjadikan ianya juga turut istimewa di mata hati rakyat Sarawak. Sekarang, Matu semakin mudah dihubungi apabila ada hubungan jalan darat mahupun perkhidmatan feri diantara perjalanan bagi memudahkan sesiapa sahaja untuk bertandang ke Matu.


Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayang.


bottom of page