top of page

KISAH KOPERAL PAUL NYOPIS ANAK NOYEAT


KISAH KOPERAL PAUL NYOPIS ANAK NOYEAT


TEMENGGUNG Kanang anak Langkau sudah terpatri namanya antara perwira anak Sarawak yang gah namanya atas pengorbanannya sewaktu menjadi seorang anggota tentera suatu waktu dahulu. Hakikatnya Sarawak tidak pernah kurang dengan kehadiran bujang-bujang berani yang sanggup berkorban nyawa walau ke titisan darah yang terakhir demi kecintaan kepada tanahair kita.


Paul Nyopis anak Noyeat, mungkin nama ini tidak dikenali oleh anak Sarawak mahupun rakyat Malaysia namun inilah individu yang sejarah perjuangannya bukan sedikit dan beliaulah satu-satunya anak Sarawak dari etnik Bidayuh yang dianugerahkan oleh Yang Dipertuan Agung dengan Pingat Gagah Berani pada tahun 1975 atas keberaniannya menentang ancaman komunis di Sarawak.


Koperal Paul Nyopis anak Noyeat dilahirkan pada tahun 1942 di sebuah perkampungan etnik Bidayuh iaitu Kampung Opar, Bau, Sarawak. Merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik dan keluarganya adalah dari kalangan kaum petani di Sarawak. Beliau merupakan beratus-ratus orang anak Sarawak yang menyahut seruan Kerajaan Sarawak pada masa itu iaitu mendaftar diri sebagai Sarawak Border Scouts pada tahun1960an.


Asas kepada latihan separa tenteranya sebagai Border Scouts bermula sewaktu ditempatkan di 1st Batallion, 10th Para Gurkha Brigade. Usai latihan, beliau telah awal-awal lagi ditempatkan untuk bertugas bersama-sama dengan 42nd Commando of British Army dan disinilah beliau banyak terbabit dengan operasi-operasi mencegah komunis PARAKU serta juga segala perang yang melibatkan peperangan dengan Tentera Nasional Indonesia di kawasan Gunung Besi sewaktu Konfrantasi Indonesia/Malaysia berlaku.


Kerana minat beliau yang mendalam di dalam ketenteraan, akhirnya pada tahun 1966, beliau telah memilih untuk menjadi anggota tentera sepenuhnya dan menyertai 4 Renjer. Beliau menjalani kursus NCO di Kem Suvla Lines, Ipoh dan kemudiannya atas kecemerlangan perkhidmatan beliau akhirnya dinaikkan pangkat dari seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal ke Koperal pada tahun yang sama.


Nama Paul Nyopis sentiasa menjadi igauan ngeri kepada anggota komunis di Sarawak lebih-lebih lagi komunis dari Kompeni ke 4 Pasukan Gerila Tentera Rakyat Kalimantan Utara yang berkuasa pada waktu itu di daerah Bau. Ini kerana beliau pada ketika itu sebenarnya merupakan barisan hadapan pertahanan apabila ditugaskan sebagai anggota risikan bersama-sama dengan pegawai polis cawangan khas.


Ketika melakukan tugas penyamaran, pernah beliau ditahan dan disoal siasat oleh anggota komunis PARAKU. Pada ketika itulah dikatakan beliau ditunjukkan dengan sekeping gambar seorang anggota tentera oleh komunis. Komunis ingin mencari siapakah individu itu kerana banyak menyusahkan aktiviti komunis mereka di Bau.


Tanpa disedari komunis, gambar anggota tentera yang ditunjukkan itu merupakan Koperal Paul Nyopis sendiri namun kerana bijaknya beliau menyamar, komunis boleh tidak mengenali beliau walaupun didepan mata. Akhirnya beliau dilepaskan oleh komunis dengan sebegitu sahaja tanpa bocor rahsianya sebagai perisik tentera.


Walaupun pernah ditahan dan disoalsiasat oleh komunis, azam Koperal Paul Nyopis tidak pernah tergugat sebaliknya ianya menjadi pembakar untuk beliau menghapus komunis di tanah kelahirannya iaitu Bau. PARAKU pada masa itu begitu berleluasa di Bau lebih-lebih lagi di kawasan Tondong yang hanya sekitar beberapa batu sahaja dari pekan Bau.


Dan satu peristiwa hitam iaitu tragedi balai polis Tondong dibakar dan serang hendap komunis ke atas konvoi di Jalan Sebatu menyaksikan kegagahan dan keberanian Koperal Paul Nyopis, anak bidayuh ini cukup membanggakan. Jika tidak kerana beliau sudah tentu banyak lagi kemusnahan berlaku.



Tragedi Balai Polis Tondong Dibakar 14 Julai 1972


Menyusuri sejarah tragedi balai polis Tondong ini dibakar adalah apabila anggota polis yang berkawal selia di Tondong terpaksa diundurkan kerana jumlah komunis yang terlalu ramai di kawasan itu. Dan ini bermakna tiada jaminan keselamatan untuk rakyat di situ pada waktu itu. Kerana ketiadaan itulah, akhirnya komunis mula naik tocang dengan melakukan kekejaman mereka kepada rakyat di Tondong sesukahati mereka.


Penghidupan rakyat di Tondong semakin perit dibawah penguasaan komunis Kompeni ke 4 Gerila PARAKU. Mereka menjalankan mahkamah mereka sendiri dan barangsiapa yang enggan patuh pada telunjuk mereka akan diadili dengan hukuman bunuh secara kejam di khalayak ramai.


Pada 14 Julai 1972 menyaksikan seorang penduduk Tondong dari kaum Cina Sarawak iaitu Johnny Lee dihukum bunuh oleh mahkamah komunis. Tanpa siasatan, Johnny Lee dipanggil “anjing” kerana dikatakan menjadi pemberi maklumat kepada anggota keselamatan. Inilah caranya komunis menakut-nakutkan rakyat Tondong yang tidak mahu menerima ideology komunis mereka.


Demi membuktikan bahawa komunis itu “Pemilik Tondong” pada masa itu, komunis juga turut membakar balai polis Tondong yang ditinggalkan oleh anggota polis yang berundur. Ini semua dilakukan agar rakyat sudah lelah bahawa Tondong sudah ditinggalkan sepenuhnya oleh anggota keselamatan dan mereka hanya ada komunis untuk bersandar harapan.


Oleh kerana Tondong adalah kawasan yang dihuni majoritinya dari kaum Cina Sarawak maka ketua masyarakatnya adalah di kalangan kapitan-kapitan Cina. Komunis tidak pernah menghormati kapitan di Tondong malah pemimpin-pemimpin masyarakat Cina sering menjadi mangsa keadaan kepada keseluruhan tindak tanduk anak-anak buahnya.


Demi keselamatan anak-anak buahnya, kapitan tiada cara lain sebaliknya terpaksa bekerjasama dengan komunis. Akur dengan arahan komunis, kapitan dipaksa untuk berpura-pura berasa sedih dan kesal dengan kekejaman komunis atas pembunuhan Johnny Lee. Kapitan diarahkan untuk membuat laporan kekejaman komunis dibalai polis Bau pada malam itu juga.


Inspektor Anthony Hui Chez Liong yang merupakan ketua balai Bau pada masa itu yang menerima laporan daripada kapitan Tondong. Sebenarnya tanpa diketahui oleh kapitan Tondong, pihak polis Bau sudahpun menerima laporan awal mengenai bencana yang menimpa Johnny Lee dan balai polis Tondong. Ini kerana kebakaran balai polis Tondong sebenarnya boleh dilihat kepulan asapnya yang menebal sehingga ke Bau itu sendiri.


Tetapi bagi memastikan segalanya taktik berjalan lancar, Inspektor Anthony melayan apa sahaja yang dikatakan oleh Kapitan Tondong. Dalam pada itu Inspektor Anthony tetap menyalurkan maklumat mengenai hal tersebut sehingga ke pengetahuan Ketua Inspektor Lau Suk Kong yang merupakan ketua Cawangan Khas di ibupejabat polis Kuching.


Walaupun marah dengan segala hal yang berlaku di Tondong, pihak Polis tidak boleh terus mengikut kata hati mereka sebaliknya bertindak bijak dengan memohon bantuan dari Batallion ke-3 Pasukan Polis Hutan. Ini kerana mereka mempunyai beberapa kepakaran lebih-lebih lagi adanya pasukan perisikan tentera di dalam pasukan mereka maka segala tindak tanduk akan mudah diperhalusi.


Disinilah nama-nama anggota yang kepakaran risikan seperti pegawai polis cawangan khas iaitu Sarjan Peter Nojey, Sarjan John Luk, Junior Liason Officer Encik Sim dan pegawai risikan tentera iaitu Koperal Paul Nyopis anak Noyeat mula memainkan peranan. Dibawah seliaan Inspektor Anthony dari balai polis Bau mereka mengatur strategi mengenai kes komunis di Tondong.


Tanpa rasa takut, kesemua mereka mula menyelinap masuk ke Tondong dalam diam pada malam itu juga dan menyamar menjadi orang awam biasa. Pemergian mereka ke Tondong turut diiringi oleh satu platun Polis Hutan dibawah kelolaan Inspektor Abdul Razak Hasan yang menunggu di satu kawasan yang lebih selamat. Penyamaran mereka berempat memasuki Tondong banyak membantu di dalam memastikan cerita sebenar yang berlaku di kalangan rakyat Tondong pada waktu itu.


Usai mendapat laporan sebenar berdasarkan kerja penyusupan dan penyamaran mereka di Tondong barulah bentuk operasi dapat diatur dengan lebih teliti. Sejak awal-awal lagi Koperal Paul Nyopis telah merasai bahawa jika tersilap langkah mungkin anggota polis akan masuk perangkap serang hendap oleh komunis Kompeni ke-4 PARAKU di Tondong.



Serang Hendap Komunis Di Jalan Sebatu, 15 Julai 1972


Setelah diatur segala taktik serangan dan sebagainya akhirnya pada pagi 15 Julai 1974, kesemua anggota polis telah siaga semuanya. Koperal Paul Nyopis sendiri telah bersedia dengan senjata 9mm Browning berserta 4 kelopak dan juga senjata api Sterling dengan 4 kelopak peluru sebagai bekalan. Beliau mengikat keempat-empat kelopak peluru Sterling kepada dua bagi memudahkan beliau untuk melakukan "quick reload".


Pada pagi itu, konvoi telah bertolak menuju ke Tondong dengan kekuatan konvoi 3 buah land rover, 3 buah trak dan sebuah kereta perisai. Perjalanan mereka dilakukan berhati-hati menyusuri satu jalan yang satu-satunya penghubung dari Bau ke Tondong yang tidak berturap sebaliknya jalan batu dan dikenali dengan nama Jalan Sebatu.


Land Rover pertama dipandu oleh Insp Tan manakala land rover kedua dipandu oleh Konstabel Bong Ah Tong. Land rover kedua turut dinaiki oleh Inspektor Razak, Michael Brand, Koperal Let bin Amin dan seorang awam yang melaporkan kejadian serta seorang jurugambar. Land rover ketiga pula dinaiki oleh Kop Paul Nyopis,S jn John Luk, Kop John Yong, dan Konstabel Morshidi . Ketiga-tiga trak pula membawa anggota dari Batalion Ke-3 Pasukan Polis Hutan.


Telahan dan naluri yang kuat Koperal Paul Nyopis benar-benar berlaku apabila perjalanan mereka yang baru sahaja ½ batu memasuki Jalan Sebatu telah diserang hendap oleh komunis yang sudah sedia menunggu mereka. Namun komunis bertindak bijak dengan menunggu sehingga konvoi pertama dan kedua melalui dahulu di Jalan Sebatu. Konvoi ketiga yang menjadi kenderaan Koperal Paul Nyopis menjadi sasaran serangan mereka. Peluru yang bertali arus menyebabkan Koperal Paul Nyopis terpaksa mencari perlindungan bagi mempertahankan diri.


Menyedari kedudukan musuh yang tidak jauh dari bahu jalan, Koperal Nyopis tidak mahu berdiam diri sahaja sebaliknya beliau terus melompat keluar dari tempat perlindungan dan menembak musuh dengan beraninya walaupun beliau terdedah menjadi sasaran mudah. Beliau dapat melihat ketua platun komunis terbabit sedang mengarahkan orang-orang mereka untuk melepaskan tembakan ke arah dirinya.


Koperal Paul Nyopis tanpa berlengah terus melepaskan tembakan dari pistol Browning ke arah ketua platun pengganas terbabit dan mengena. Walaupun ketua pengganas terbabit tumbang, beliau terus menerus melepaskan tembakan ke arah musuh yang hanya beberapa meter dari kedudukan konvoi terbabit.


Beliau sempat mengambil kedudukan di bahagian tepi hood land rover sebelum kehabisan kesemua peluru Browning. Beliau memegang erat Sterling untuk diacukan kepada musuh. Beliau tahu tiada jalan lain untuk beliau melawan komunis yang diberitakan seramai 15 orang semuanya selain daripada menggunakan strategi untuk menakut-nakutkan mereka.


Di dalam beliau menembak sasaran musuh pada masa itulah beliau turut menjerit seolah-olah memberi arahan agar Kompeni A dan Kompeni B bergerak ke kiri dan kanan. Sebenarnya tiada wujud kompeni A dan Kompeni B kerana pada ketika itu hanya beliau yang bertahan di konvoi ke-3.


15 komunis memerangi seorang perisik tentera dan bayangkanlah hujan peluru yang dihalatujukan ke arah Koperal Paul Nyopis. Akhirnya 2 peluru mengenai "buckle" tali pinggang beliau manakala sebutir peluru menembusi baju beliau. Tetapi walau sudah cedera sebegitu rupa, berpantang mati sebelum ajal, Koperal Paul Nyopis tetap gagah membalas segala peluru yang bertali arus menghala kepadanya. Keberanian dan semangat koperal Paul Nyopis menyebabkan komunis berundur dan mula melarikan diri lintang pukang.


Dalam pada itu, komunis yang melarikan diri bertembung pula dengan kereta perisai pertama yang berpatah balik membantu konvoi yang dibelakang mereka. Mereka menghambur habis-habisan setiap peluru yang ada untuk membunuh komunis-komunis ini. Anggota polis hutan juga turut berbalas tembakan dari kedudukan terlindung di sebalik kenderaan mereka.


Apabila reda segalanya, Koperal Paul Nyopis yang cedera masih mampu lagi membantu anggota konvoi mereka yang turut tercedera. Tiada yang terkorban di pihak anggota keselamatan dan hanya 45 orang daripada mereka yang cedera ditembak dan mereka dihantar dengan segera ke Klinik Bau secepat mungkin.


Tetapi yang peliknya, Koperal Paul Nyopis pula masih lagi tidak mahu mendapat rawatan walaupun sudah cedera sebaliknya terus menunggu di Jalan Sebatu sehinggalah kesemua kenderaan yang rosak dibawa keluar dari kawasan terbabit pada sekitar jam 5 petang pada hari yang sama. Kesemua dilakukan kerana Koperal Paul Nyopis bersiaga sepenuhnya kerana berkemungkinan besar komunis akan kembali dengan jumlah yang besar menyerang konvoi mereka tetap ada.


Serangan hendap komunis yang dilakukan ke atas konvoi anggota keselamatan menuju ke Tondong di Jalan Sebatu menyaksikan seorang anak bidayuh Koperal Paul Nyopis telah mengerahkan semua kudrat dan semangat agik idup agik ngelaban di dalam dirinya bagi keselamatan anggota konvoi mereka.


Malah Inspektor Anthony sendiri memperakui kerana keberanian Koperal Paul Nyopislah menyebabkan serang hendap komunis ini menemui kegagalan. Menurut Inspektor Anthony seandainya Koperal Paul Nyopis tidak bersama mereka pada hari itu sudah tentu konvoi akan menerima situasi yang lebih buruk.


Tembakan dari Koperal Paul Nyopis yang mengena kepada sasarannya iaitu Ketua Platun komunis pada masa itu menyebabkan komunis-komunis yang lain terus cuak dan berundur. Lagi-lagi semangat mereka luntur melihat beliau tidak tumbang walau sudah cedera.



Inilah kisahnya seorang anak Sarawak yang bernama Koperal Paul Nyopis anak Noyeat yang juga penerima Pingat Gagah Berani satu-satunya dari etnik Bidayuh Sarawak. Terukir namanya di dalam sejarah perjuangan anggota tentera di Malaysia kerana beliau berbakti bukan sahaja di Sarawak malah juga di Sabah dan amat dihormati kerana antara individu tentera yang terpilih untuk membentuk pasukan 7 Renjer di Kluang, Johor di awal penubuhannya.


Namun sayangnya informasi mengenai keperwiraannya TIDAK DIKETAHUI oleh generasi anak Sarawak mahupun rakyat Malaysia yang lain. Koperal Paul Nyopis anak Noyeat menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tanggal 22hb Disember 2013 di Hospital Bau pada usianya 71 tahun akibat sakit strok. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada Negara Malaysia.


Rest In Peace our national hero, The Late Paul Nyopis anak Noyeat. Amee


Lest We Forget!



Nota: Terima kasih diucapkan kepada admin Malaysian Defence yang telah mengusulkan cadangan artikel serta memberikan sumber-sumber rujukan bagi mengangkat artikel ini untuk sumber perkongsian di Borneo Oracle.

Rujukan:

1. Malaysian Defence Fb – Kisah Veteren Koperal Paul Nyopis https://www.facebook.com/MalDefMalaysianDefense/photos/a.137664696303596.25805.119310881472311/556595214410540/?type=3&theater

2. Corporal Nyopis ak Noyeat PGB in a firefight at Sebatu Road, in Bau, Sarawak.

http://renjervalour.blogspot.my/2005/12/corporal-nyopis-ak-noyeat-pgb-in.html

3. Borneo Post 23 December 2013

http://www.theborneopost.com/2013/12/24/national-hero-paul-nyopis-laid-to-rest/

4. Sole Bidayuh PGB Holder Passes On

http://sarawakcorner.blogspot.my/2013/12/borneopost-online-borneo-malaysia_23.html

bottom of page