LEGENDA SANANAH
LEGENDA SANANAH -Dan Mengapa Sebilangan Melanau Daro Tidak Memakan Ikan Keli
JIKA ramai kaum Melayu Sarawak tidak memakan ikan patin kerana adanya peristiwa disebalik pantang larang tersebut maka begitu juga dengan sebilangan kaum Melanau yang langsung tidak mahu menjamah ikan ibek di dalam bahasa Melanau atau ikan keli menurut bahasa standardnya. Menurut cerita oral orang-orang tua di kalangan Kaum Melanau tegahan untuk memakan ikan ibek ini mempunyai perkaitan dengan satu cerita legenda yang pernah terjadi di perkampungan kaum Melanau suatu waktu dahulu.
Larangan memakan ikan patin dikaitkan dengan cerita legenda Dayang Khumunah dan untuk larangkan ikan ibek pula bersandarkan kepada perkaitannya dengan seorang gadis Melanau yang sangat jelita iaitu yang diberi nama Sananah. Sananah ini dikatakan merupakan gadis Melanau yang berasal daripada Melanau Daro yang mempunyai ceritanya tersendiri di dalam memperkatakan keunikan bangsa Melanau di Sarawak.
Al-sahibul hikayat diceritakan suatu waktu dahulu kaum Melanau bukan sahaja membina struktur rumah tinggi Melanau untuk berlindung malah juga mereka turut mendiami rumah panjang seakan-akan rumah panjang kaum Iban. Pada masa sekarang memang agak payah untuk mencari rumah panjang ini lagi kerana banyak yang sudah diroboh mahupun usang. Satu-satunya rumah panjang kaum Melanau yang boleh dilihat sekarang adalah yang terletak di Kampung Sok, Matu.
Menurut ceritanya di Daro iaitu salah satu daripada daerah yang juga digelar “Negeri Melanau” di Sarawak juga pernah didirikan rumah panjang Melanau. Dan rumah panjang pertama di Daro dikatakan didirikan di bahagian hulu Sungai Pangey yang mempunyai 58 pintu kesemuanya. Dan apabila berbicara rumah panjang 58 pintu ini bermakna ianya bukanlah satu rumah panjang yang kecil tetapi mampu menempatkan 58 keluarga Melanau mendiaminya.
Di rumah panjang inilah dikatakan seorang gadis Melanau yang cantik jelita bernama Sananah dilahir dan dibesarkan. Sananah digambarkan sebagai seorang gadis yang sempurna dengan pandai memasak, menguruskan rumahtangga serta elok budi pekertinya. Dan selain itu, Sananah juga dikatakan memiliki kulit putih melepak serta halus sehinggakan menurut penceritaannya jika Sananah meminum air pasti terjelas air mengalir di kerongkongnya dek kerana putihnya si Sananah ini.
Oleh kerana kecantikan yang teramat sangat ini serta budi pekerti seorang gadis Melanau yang syumul menyebabkan Sananah ini menjadi dambaan pada setiap pemuda bujang di rumah panjangnya mahupun di kampung-kampung sekitar di Daro pada masa itu. Bahkan bukan sahaja pemuda dari kaum Melanau yang ingin memperisterikannya malah turut dikatakan pemuda-pemuda yang gagah perkasa dari kaum yang lain turut menyimpan hasrat yang sama.
Menurut ceritanya semenjak Sananah meningkat dewasa, maka ramailah pemuda-pemuda yang menghantar rombongan peminangan untuk menyunting Sananah menjadi permaisuri hati mereka. Namun bukan senang untuk memperisterikan Sananah kerana kedua ibubapanya begitu teliti memilih bakal suami Sananah. Ini kerana Sananah merupakan puteri tunggal mereka bahkan mengikut strata sosial kaum Melanau, Sananah ini berasal dari golongan aristocrat Melanau iaitu A-Mentri. Jadi mengikut hukumnya jodoh Sananah juga haruslah mempunyai strata sosial yang sama.
Apabila keadaan ini berlaku maka ianya telah menimbulkan rasa kurang senang pemuda-pemuda Melanau yang bukan dari golongan aristocrat mahupun pemuda dari kaum yang lain. Manakala pemuda dari golongan A-Mentri pula sudah mula mendabik dada bahawa mereka yang lebih berhak untuk mengahwini Sananah, gadis Melanau yang cantik jelita itu.
Hendak dijadikan cerita akibat daripada tingkah meningkah antara satu sama lain akhirnya terjadilah satu perang yang sudah tentu tidak boleh dielakkan hanya kerana seorang wanita. Pada masa itu pemuda Melanau dari perkampungan yang lain telah sehati sejiwa memerangi rumah panjang yang didiami oleh Sananah dan keluarganya. Ketika perang berlaku, ramai penduduk di rumah panjang Sananah telah bertepiaran lari menyelamatkan diri dan ini tidak terkecuali dengan Sananah sendiri.
Di dalam survival itulah dikatakan Sananah telah terjun ke dalam sungai yang terletak tidak jauh daripada rumah panjangnya. Beliau berjaya bersembunyi di sebalik akar-akar pohon di tepi sungai bagi menyelamatkan diri. Oleh kerana ramai yang mencari beliau maka Sananah hanya mampu bersembunyi diam-diam di dalam air kesejukan tanpa mampu naik ke daratan.
Pemuda-pemuda yang memerangi rumah panjang Sananah mencari beliau sehingga ke sungai. Pada masa itulah dikatakan mereka menacak-nacak hujung tombak mereka ke gigi air bagi mencari keberadaan Sananah. Tanpa mereka sedar ada sesetengah hujung tombak mengena tubuh badan Sananah sehingga menyebabkan Sananah luka-luka.
Demi kelangsungan dirinya walau dicucuk bilah tombak, Sananah hanya mendiamkan diri dan menanggung kesakitan luka yang amat sangat. Pada masa inilah tidak semena-mena timbul beberapa ekor ikan ibek atau ikan keli mula merapati diri Sananah yang bersembunyi di tepi sungai. Ikan-ikan ibek inilah yang membantu merawati luka-luka di badan Sananah dengan menjilat-jilat luka tersebut. Dengan izinNya setiap luka-luka di badan Sananah terus pulih malah tidak meninggalkan kesan luka sekalipun.
Di daratan pula, pemuda-pemuda yang menyerang rumah panjang Sananah telah lelah dan berputus asa untuk mencari Sananah dan pada tanggapan mereka mungkin Sananah dan keluarganya telah melarikan diri jauh dari perkampungan mereka. Akhirnya pemuda-pemuda itu telah kembali ke perkampungan mereka sendiri tanpa membawa Sananah sebagai hadiah perang mereka.
Apabila sudah dirasakan selamat akhirnya penduduk rumah panjang Sananah kembali ke rumah panjang mereka manakala ibu dan bapa Sananah terus mencari beliau di tepi sungai. Sananah yang bersembunyi akhirnya keluar dari persembunyian dan pada ketika itulah beliau bercerita mengenai ikan ibek kepada kedua orang tuannya.
Sebelum meninggalkan sungai tersebut, Sananah dikatakan sempat bersumpah bahawa tiada seorang pun dari keturunannya yang boleh memakan ikan ibek sampai bila-bila. Jika ada yang berbuat demikian maka sesuatu yang buruk akan berlaku di dalam penghidupan mereka. Ini kerana jika tidak kerana ikan ibek yang membantu beliau sesungguhnya beliau sudah mati di tepi sungai.
Inilah cerita legenda yang menjadi penghias sastera rakyat di kalangan masyarakat Melanau Daro. Mungkin juga cerita Legenda Sananah ini merupakan salah satu perkaitannya mengapa ada sebilangan masyarakat Melanau Daro tidak memakan ikan ibek. Dan sudah tentu cerita legenda mempunyai banyak versi kerana ianya adalah satu sastera rakyat yang dilestarikan secara oral.
Tetapi sesuatu yang amat pasti, sastera rakyat Sarawak tidak kurang hebatnya untuk diketengahkan CUMA ianya tidak diwar-warkan buat pengetahuan semua.