top of page

MUSIM HAJI DULU-DULU


MUSIM HAJI DULU-DULU


PANGGILAN Baitullah telah memanggil mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah di Mekah Al-Mukarramah sekarang. Hanya mereka yang terpilih sahaja yang mampu melakukannya dan inilah yang kita katakan “lambaian Kaabah” untuk seorang yang bergelar muslim dan muslimah. Di dalam memperkatakan hal ini sudah tentu bakal-bakal haji sekarang beruntung jika dibandingkan dengan generasi terdahulu daripada kita.


Sekarang, segalanya sudah lebih mudah lebih-lebih lagi jangkamasa untuk sampai ke destinasi iaitu Mekah hanya mengambil beberapa jam dengan adanya pengangkutan udara yang lebih pantas berbanding dengan dulu-dulu iaitu hanya menggunakan kapal laut sahaja. Tempohmasa untuk sampai ke Tanah Suci sahaja boleh menjangkau ke 3 bulan lamanya.


Bayangkan ada jemaah haji yang sudah diusia tuanya terpaksa mengharungi perjalanan jauh seperti itu umpama bergadai nyawa dilambung ombak dan badai lautan yang luas demi untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Dan di dalam tempoh ini juga sudah tentu ada yang sakit-sakit ataupun meninggal dunia di dalam perjalanan. Setakat ini masih tiada rekod yang utuh berapa ramai jemaah kita yang meninggal dunia melalui jalan laut suatu waktu dahulu.


Dan corat coret dari cerita orang tua kita juga menyatakan bahawa suatu waktu dahulu mana-mana jemaah yang meninggal dunia di dalam perjalanan menggunakan jalan laut, maka jenazahnya akan dilepaskan ke laut. Ini berlaku kerana tiadanya perkhidmatan bilik jenazah disediakan di dalam kapal haji. Hal ini juga tidak dapat disahihkan secara terperinci kerana tiada rekod mengenai kaedah ia dilakukan.

Menyusuri sejarah musim haji bagi jemaah-jemaah di Sarawak juga bermula semenjak kedatangan Islam di Borneo pada kurun ke 15 masihi. Dengan adanya pengaruh Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam maka ramailah juga para muslim dan muslimah dari warga Sarawak yang membelah lautan untuk sampai ke Tanah Suci Mekah.


Pada masa itu ramai antara jemaah memilih untuk menggunakan kapal-kapal laut yang sedia ada dari pangkalan-pangkalan besar seperti kapal besar dari Brunei mahupun kabupaten-kabupaten yang gah dengan syiar Islamnya seperti di Sambas dan banyak lagi.


Di ketika dinasti Brooke memerintah Sarawak selama lebih 100 tahun juga menyaksikan jemaah haji dari Sarawak mempunyai kapal haji tersendiri yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak pada waktu itu. Tidaklah diketahui apakah nama kapal yang disediakan itu kerana ianya tidak dinyatakan secara khusus.


Cuma rekod lama menyatakan di ketika pemerintahan Rajah Charles Brooke iaitu pada tahun 1911 seramai 235 orang Islam Sarawak mengerjakan haji ke Mekah menggunakan kapal laut dari pelabuhan Kuching pada tahun itu.


Sekitar tahun 1900an pengangkutan untuk menunaikan haji banyak tertumpu di Tanah Melayu yang mana mempunyai sistem pengangkutan yang lebih sistematik. Pada masa itu telah diperkenalkan Pejabat Hal Ehwal Haji yang menyaksikan Pulau Pinang dijadikan hub untuk pengangkutan haji. Jadi dikatakan juga jemaah haji dari seluruh Sarawak turut mengambil kesempatan menggunakan kemudahan yang sedia ada pada masa itu.

Maka kebanyakan perjalanan jemaah haji Sarawak bermula dari pelabuhan di Sarawak menuju ke Pulau Pinang. Kemudian mereka juga turut berada di kawasan tumpuan iaitu Masjid Melayu, Lebuh Acheh di Pulau Pinang.


Mereka bersama-sama dengan jemaah haji dari Singapura, Indonesia mahupun Thailand berserta orang Islam dari negeri-negeri Tanah Melayu akan menunggu kapal haji berlabuh. Jadi sepanjang musim haji itulah juga Lebuh Acheh akan menjadi antara Bandar pelabuhan yang paling sibuk Asia Tenggara.


Sekitar tahun 1936 pula, satu kerjasama telah terjalin antara Pejabat Hal Ehwal Haji dengan syarikat Blue Funnel Line. Kerjasama strategic ini menyaksikan 21 kapal laut disediakan untuk pengangkutan haji. Pada tahun 1951 pula kontrak pengangkutan kapal haji diberikan kepada China Nagivation Line yang menyediakan 2 kapal haji yang dinamakan Anshun dan Anking.

Dan sesuatu yang kita perlu ambil tahu bahawa dulu-dulu demi untuk menunaikan fardhu haji ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kos haji itu masih memakan belanja yang cukup mahal dan adakalanya ramai yang berkorban dengan menggadaikan harta dan sebagainya untuk tambang menggunakan kapal laut ke Mekah.


Dari segi kos tambang untuk menggunakan kapal laut berserta penginapan di Mekah itu mempunyai kadar tambang yang berbeza-beza mengikut kelas yang telah dipilih oleh jemaah.


Pada tahun 1950an hingga 1960an kos menunaikan haji termasuk tambang pergi dan balik adalah sekitar RM875 bagi Kelas I dan RM800 untuk Kelas II. Dan yang paling murah adalah RM600 yang mana jemaah terpaksa tinggal di dek kapal. Sekitar tahun 1970an untuk Kelas I RM1,150 (satu bilik berdua di tingkat satu); Kelas II RM1,063 (empat orang sebilik di tingkat satu); Kelas III RM941 dan pelancongan adalah RM764 di (konsep dorm di tingkat dua dan tiga).


Apabila Gagasan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, sistem haji untuk jemaah Gagasan Malaysia lebih teratur lebih-lebih lagi tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji yang akhirnya menjadi Lembaga Urusan Tabung Haji pada tahun 1969.

.

Dikala ini 3 kapal laut telah disediakan untuk jemaah haji Malaysia iaitu kapal-kapal yang bernama “Malaysia Kita”, “Malaysia Raya” dan “Kuala Lumpur”. Setiap kapal laut ini mampu membawa 2,000 jemaah haji di dalam satu masa. Namun terpalit tragedi hitam pada 2 buah kapal laut ini yang membawa kepada antara tragedi musim haji yang menyedihkan di dalam sejarah musim haji di Malaysia.

Pada tanggal 12 Mei 1974, ketika di dalam perjalanan membawa jemaah haji iaitu ketika sedang berlabuh di Teluk Katong, Singapura, kapal haji “Malaysia Kita” telah mengalami kebakaran yang teruk dan akhirnya tenggelam. Ramai jemaah haji Malaysia yang cedera tetapi tiada kemalangan jiwa. Pada masa itulah sebuah kapal yang bernama “Eastern Queen” atau “Ratu Timur” mengambilalih untuk menjadi kapal haji kepada lebih 1,800 jemaah untuk ke Mekah.


Tanggal 23 Ogos 1976 pula menyaksikan kapal haji bernama “Malaysia Raya” pula mengalami nasib yang serupa iaitu kebakaran berlaku ke atas kapal haji ini sehingga ianya tenggelam di Pelabuhan Klang. Ini menyebabkan ramai jemaah haji yang terkandas sementara menunggu pernyediaan kapal gentian dilakukan oleh pihak Tabung Haji ketika itu.

Penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan haji telah bermula pada awal tahun 1970an namun begitu kerana kos yang tinggi menyebabkan ramai jemaah yang masih memilih untuk menggunakan jalan laut. Sehinggalah tragedi kapal haji Malaysia Raya terbakar menyaksikan pada tahun 1977 tiada lagi kapal laut digunakan. Sejak itu semua jemaah haji Malaysia “terbang” untuk menunaikan haji ke Mekah.

Bagi pengurusan haji pula semenjak tanggal 28 Ogos 1997, Tabung Haji telah diwujudkan untuk menyelaraskan lagi sistem haji bagi jemaah Malaysia. Sejak itu, sistem haji bagi jemaah Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia setakat ini malah ianya turut diakui oleh Kerajaan Arab Saudi sendiri. Jemaah haji dari Malaysia pula sesungguhnya antara yang terpuji sifatnya kerana adanya latihan yang cukup daripada penyelenggaraan Tabung Haji itu sendiri sebelum menunaikan haji ke Mekah.

Begitulah ceritanya musim haji dulu-dulu yang generasi sekarang sudah tentu jarang-jarang mendengarnya. Di dalam kepayahan dan serba-serbi kekurangan, orang dulu-dulu tetap tabah menghadapi segalanya demi untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 ini.


Pada rakyat Malaysia yang sudahpun berada di Tanah Suci Mekah, kami ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Haji serta selamat pergi dan kembali. Semoga mendapat haji yang mabrur.


Rujukan:

1. Utusan Online 21/10/2011 – “Menyabung Nyawa” Untuk Ke Tanah Suci

2. Borneo Oracle – Sejarah Perkembangan Undang-Undang Islam Di Sarawak Sewaktu Pemerintahan Brooke

3. Cara Orang-Orang Dahulu Ke Mekah Menunaikan Haji

http://budakhutankampung.blogspot.my/2013/02/cara-orang-orang-dahulu-ke-mekah.html

bottom of page