top of page

HARI MALAYSIA


H A R I M A L A Y S I A


16HB SEPTEMBER 2016, genaplah 53 tahun tertubuhnya satu gagasan yang bergelar Gagasan Malaysia. Sebuah gagasan yang dilengkapi oleh 4 entiti pada ketika ianya dibentuk iaitu oleh Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan North Borneo. Cuma setelah 53 tahun penubuhan, entiti pembentuknya hanya tinggal 3 sekarang setelah Singapura memisahkan dirinya pada 9 Ogos 1965 untuk menubuhkan Negara republik tersendiri. Melihat kepada sejarahnya kita almaklum bahawa tarikh ini begitu besar ertinya kepada semua rakyat Malaysia.


Bukan mudah untuk membina sebuah Negara lebih-lebih lagi apabila kita berkata tentang dua lokasi yang terpisah oleh Laut China Selatan yang mana Persekutuan Tanah Melayu berada di semenanjung Tanah Melayu manakala Sabah dan Sarawak lokasinya di Pulau Borneo. Kedudukan geografi berserta dengan struktur budaya dan tradisi malah bangsa yang berbeza juga menjadi antara garis sempadannya yang harus dilakukan berhati-hati umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berselerakkan. Begitulah juga kronologi bersejarah pembentukan Gagasan Malaysia itu sendiri 53 tahun dahulu.


Namun agak merisau sekarang apabila ramai generasi muda kita tidak memahami apakah sebenarnya maksud Gagasan Malaysia itu. Ini kerana banyak hal tidak disajikan dengan begitu sempurna bagi kita memahami makna Sarawak, Malaysia itu sendiri. Hari Malaysia bukannya satu hari yang kita meriahkan hanya dengan pertunjukan bunga api dan perarakan sahaja sebaliknya ianya harus disertai dengan memahami konsep Malaysia itu sendiri agar rakyat Sarawak tahu dimana letak duduknya kalian di kalangan rakyat Malaysia.


Mengimbau sejarahnya kira-kira 55 tahun yang lalu iaitu pada bulan Mei 1961, telah diadakan satu perbincangan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Singapura dan North Borneo (Sabah) dan juga Negara Brunei. Di dalam berbicara mengenai perbincangan 5 negara ini sebenarnya melibatkan pelbagai dokumen termasuk rang Undang-undang dan juga syarat-syarat penyertaan dan peraturan perlembagaan yang dianggap sebagai satu gabungan rakan-rakan kongsi yang bersatu padu untuk membentuk sebuah negara baru dengan ciri-ciri masing-masing.


Inilah perbincangan yang pertama melibatkan pemimpin-pemimpin dari 5 buah Negara yang cuba untuk bersatu membentuk sebuah gagasan pada masa itu. Sejak awal-awal lagi Brunei telah menolak untuk menganggotai Gagasan Malaysia maka kekallah ia sebagai sebuah Negara jajahan Koloni British sehingga dimerdekakan pada tahun 1984.


Sekitar Februari 1962 pula menyaksikan sebuah Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia (MSCC) dibentuk bagi merangkai segalanya berkenaan hak-hak dan syarat-syarat mengenai sebuah gagasan yang baru ini. Bagi memberikan keadilan yang sama rata juga Suruhanjaya Cobbold 1962 telah dibentuk bagi membuat siasatan mengenai tindakbalas rakyat North Borneo dan Sarawak keatas cadangan penubuhan sebuah gagasan.


Setelah hampir 5 bulan membuat kajiselidik akhirnya Suruhanjaya Cobbold membuat laporan bahawa majoriti rakyat North Borneo dan Sarawak bersetuju dengan penubuhan Gagasan Malaysia. Dan persetujuan itu diberikan berdasarkan syarat-syarat yang tertentu iaitu jaminan mustahak perlu dibuat bagi memastikan kepentingan khas rakyat North Borneo dan Sarawak terjamin kerana Perlembagaan Tanah Melayu 1957 akan digunakan sebagai asas kepada perlembagaan Gagasan Malaysia dengan sedikit pindaan bagi menyesuaikannya dengan keadaan politik di North Borneo dan Sarawak pada masa itu.


Pada bulan Ogos 1962 satu jawatankuasa yang diwakili oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Britain, North Borneo dan Sarawak telah dibentuk yang dikenali sebagai Jawatankuasa Antara-Kerajaan atau Inter Governmental Committee bagi membincangkan jaminan dan hak rakyat North Borneo dan Sarawak berserta dengan perlembagaan diperhalusi. Di dalam pada itu, ada 5 lagi jawatankuasa kecil atau “steering committee” juga diwujudkan bagi memperhalusi lagi hal-hal berkenaan dengan perlembagaan, kewangan, undang-undang, perkhidmatan awam dan pembentukan kerajaan persekutuan.


Pada tanggal 27 Februari 1963, Laporan IGC dikeluarkan dan ianya menjadi asas bagi perlembagaan North Borneo dan Sarawak. Berdasarkan kepada laporan IGC inilah barulah satu detik bersejarah diadakan di Kota London iaitu yang mana Perjanjian Penubuhan Malaysia ditandatangani pada 7 Julai 1963 di Pejabat Perhubungan Komanwel, Malborough House. Satu perjanjian yang menyaksikan kesemua wakil kerajaan dari Malaya, Singapura, North Borneo dan Sarawak berserta British menandatangani.


Dan kerana itulah berapa ramai antara kita yang sudah mula keliru bagaimana Sarawak yang merupakan entiti pembentuk Malaysia sudah menjadi negeri ke-13 di dalam Negara Malaysia mula dipersoalkan. Dan jika kita amati betapa berbezanya Penjanjian Malaysia yang kita ketahui sekarang berbanding dahulu.


The status of Sarawak and Sabah was reflected in the first draft of the Constitution when the Federation of Malaysia was established.


Article 1: The Federation shall be known, in Malay and English, by the name of Malaysia.


Article 2: The State of the Federation shall be:-


(a) The States of Malaya, namely Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor and Trengganu.

(b) The Borneo States, namely, Sabah and Sarawak; and

(c) The State of Singapore.


In the 1970s, the Constitution was subsequently amended to:


Article 1: The Federation shall be known, in Malay and English, by the name Malaysia.


Article 2: The States of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Trengganu.


Dan apabila berkata tentang hak-hak atau jaminan itu maka disinilah adanya apa yang dikenali sebagai 18/20 Perkara yang diserapkan untuk menjadi sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963 melalui beberapa pindaan setelah 53 tahun penubuhannya. Ianya juga menjadi bukti kukuh “keistimewaan” anak-anak negeri Sabah dan Sarawak di dalam Gagasan Malaysia sekarang yang sebenarnya ramai rakyat Malaysia sendiri tidak memahaminya atau sememangnya dangkal untuk mengetahuinya.


Inilah yang sering dilaung-laungkan oleh rakyat Sarawak agar segala hal mengenai ini “dikembalikan” kepada yang empunya hak selaras dengan Perjanjian penubuhan Malaysia 53 tahun dahulu. Hak keistimewaan Sarawak/Sabah yang dikatakan sebagai 20 Perkara sudahpun menjadi salah satu intipati Perjanjian Malaysia 1963 sekarang adalah seperti berikut:


Perkara satu - Agama


" walau pun tidak ada bantahan terhadap agama Islam menjadi agama rasmi Malaysia, tetapi tidak ada agama rasmi di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, hendaklah diadakan jaminan untuk kebebasan beragama." Setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak menguruskan hal-hal agamanya sendiri, menubuh dan menyelenggara yayasan bagi maksud-maksud agama dan memperolehi serta memegang dan mentadbir mengikut undang-undang.


Semua kebebasan di atas juga tidak membenarkan apa-apa perbuatan yang berlarutan dengan undang-undang atau mengenai ketaatan awam, kesihatan awam atau akhlak. Bagi menjamin kebebasan agama ini terdapat undang-undang Persekutuan yang memberi bantuan kewangan kepada Institusi Islam atau pekerjaan Islam, maka peruntukan yang seimbang juga diberikan kepada tujuan-tujuan kebajikan masyarakat di wilayah-wilayah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.


Perkara dua- Bahasa


( Perkara 152 dalam perlembagaan) " bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa Inggeris akan terus digunakan untuk tempoh sepuluh tahun selepas hari Malaysia. Bahasa Inggeris hendaklah menjadi bahasa rasmi Borneo Utara/Sarawak untuk semua tujuan baik pada peringkat negeri mahupun Persekutuan had tempohnya.


Perkara tiga- Imigrasi


" kawalan kemasukan orang ke mana-mana kawsan di Malaysia dari luar adalah terletak di bawah kuasa kerajaan Pusat tetapi kemasukan ke Borneo Utara/Sarawak perlu mendapat kelulusan kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghalang kemasukan orang ke Borneo Utara/Sarawak untuk tujuan kerajaan Negeri kecuali atas sebab keselamatan. Borneo Utara/Sarawak hendaklah mempunyai kuasa yang tidak terbatas bagi mengawal pergerakan orang-orang dari kawasan-kawasan lain di Malaysia ke dalam Borneo Utara/Sarawak selain daripada yang bekerja dengan kerajaan Persekutuan di Borneo Utara.


Perkara empat - Pelajaran


Sistem pendidikan yang ada di Borneo Utara/Sarawak sekarang hendaklah dikekalkan dan diletakkan di bawah kuasa kerajaan Negeri." Pelajaran sebenarnya hendaklah djadikan perkara Persekutuan, tetapi polisi dan sistem pentadbiran pelajaran di Sabah dan Sarwak berdasarkan perkara ini dikekalkan sepertimana kemahuan kerajaan negeri-negeri tersebut sehinggalah kerajaan ini bersetuju mengubahnya.


Dalam hal ini memberi peluang kepada kerajaan negeri mengkaji perkara tersebut sebelum mengubahnya atau meminda sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak untuk kepentngan rakyatnya sendiri.


Perkara lima - Perkhidmatan Awam


" Pengambilan perkhidmatan Awam oleh rakyat Borneo/Sarawak hendaklah dilaksanakan dengan secepat mungkin". Pengambilan pegawai-pegawai baru di Borneo Utara/Sarawak hendaklah diberi keutamaan kepada penduduk di wilayah itu. Ini adalah bertujuan membuka peluiang kepada Bumiputera North Borneo dan Sarawak menguasai perkhidmatan.


Di dalam perkara ini dinyatakan juga pelbagai hal yang menyentuh bidang perkhidmatan awam persekutuan, perkhidmatan awam persekutuan dengan negeri-negeri, pinjaman-pinjaman pegawai-pegawai, sekatan mengenai pembuangan kerja, penurunan pangkat kakitangan awam dan suruhanjaya-suruhanjaya dalam perkhidmatan awam.


Selain itu suruhanjaya perkhidmatan awam berasingan hendaklah ditubuhkan di tiap-tiap negeri. Bagi menjaga kepentingan perkhidmatan awam di negeri-negeri Borneo, pegawai-pegawai yang ada termasuk pegawai-pegawai kontrak dinaikkan pangkat untuk ditukarkan ke perkhidmatanPersekutuan, tetapi tidak boleh ditukarkan keluar dari wilayah-wilayah Borneo tanpa persetujuan mereka.


Perkara enam– Kerakyatan


"saranan-saranan dalam perenggan 148 (k) Laporan Suruhanjaya Cobbold hendaklah merangkumi hak-hak kewarganegaraan rakyat Borneo Utara/Sarawak dalam Persekutuan tertakluk kepada pindaan-pindaan berikut:


a) perenggan kecil (I) tidak harus mengandungi peruntukan menetapkan selama lima tahun.

b) Demi menyelaraskan kepada undang-undang kita, perenggan kecil (ii) (a) hendaklah berbunyi "tujuh daripada sepuluh tahun" dan bukannya "lapan daripada dua belas tahun"

c) Perenggan kecil (iii) seharusnya tidak mengandungi sekatan berhubung dengan kewarganegaraan ibu-bapa- seseorang yang lahir di Borneo Utara selepas Malaysia mestilah menjadi warganegara Persekutuan.


Berdasarkan syarat kerakyatan yang dikemukakan ini tidaklah sewenang-wenangnya untuk menjadi warganegara Sabah dan Sarawak. Syarat ini juga dapat menghad sesiapa yang layak sahaja untuk menjadi warganegara kedua-dua negeri ini.


Perkara tujuh- Dewan Undangan Persekutuan


" ini hendaklah mengambil kira bukan sahaja jumlah penduduk Borneo Utara/Sarawak tetapi juga saiz dan prestasinya dan dalam apa keadaan tidak harus kurang daripada Singapura. Dalam perkara pemilihan dewan Undangan Persekutuan pertimbngan bukan sahaja diberikan ke atas bilangan penduduk tetapi juga kepada potensi dan prestasi negeri tersebut.


Perlantikan juga tidak boleh kurang daripada Singapura, oleh itu tiap-tiap majlis Undangan di Borneo hendaklah memilih 2 orang ahli Dewan Undangan Negara. Sebagai tambahan, bilangan Dewan Undangan yang dilantik hendaklah ditambah 6 orang lagi kerana adanya Sarawak dan Sabah. Ahli-ahli baru yang dipilih dari Sabah ialah 16 orang dan Sarawak seramai 24 orang.


Perkara lapan- Perlembagaan Negeri-negeri.


"ketua -ketua Menteri hendaklah dipilih oleh anggota Majlis Perundangan tidak rasmi. Sistem Menteri yang sempurna hendaklah diwujudkan di Borneo Utara/Sarawak Berdasarkan perkara ini Ketua-ketua negeri Borneo yang pertama hendaklah dilantik oleh baginda Queen dan Paduka Baginda Dipertuan Agung sebelum hari Malaysia untuk bertugas selama dua tahun.


Sistem Menteri yang sempurna juga hendaklah dilaksanakan di Borneo Utara. Di Sarawak, ketua negeri telah dikenali sebagai Gabenor dan di Sabah sebagai Yang Dipertuan Negeri. Sementara masalah mengenai Perlembagaan Negeri dan Perlembagann Persekutuan akan ditentukan oleh Mahkamah. Perubahan-perubahan lain yang tertentu berkenan Perlembagaan Negeri Sabah sebagai Majlis tertinggi (Supreme Council) dan Majlis Undangan sebagai Council Negeri.


Perkara sembilan– Kuasa Membuat Undang-undang


Pembahagian kuasa persekutuan dan Negeri seperti tercatat dalam Jadual 9, perlembaggaan Malaysia:

Senarai 1: di bawah Kuasa Persekutuan

Senarai 2: Di bawah Kuasa negeri.

Senarai 2A: Tambahan kepada senarai negeri bagi negeri-negeri di Borneo

Senarai 3: Di bawah kuasa bersama

Senarai 3A: Tambahan kepada senarai bersama bagi negeri-negeri Borneo.


Pembahagian kuasa membuat undang-undang dibahagikan kepada Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri. Majlis Undangan Persekutuan menentukan hal-hal ehwal luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, undang-undang sivil dan jenayah, peraturan dan pentadbiran keadilan, kerakyatan , jentera kewangan kerajaan, perdagangan, perniagaan dan perusahaan, perkapalan, perhubungan dan pengangkutan, kerja raya dan tenaga, ukur, buruh, koperasi hari-hari kelepasan, surat khabar, dan penyiaran dan syarikat-syarikat kerjasama.


Sementara Majlis Undangan Negeri berperanan dalam perkar-perkara seperti undang-undang Islam, dan adat istiadat orang-orang asli, tanah, pertanian, hutan, kerajaan negeri, penyelidikan, ganti rugi dan sebagainya, bagi perkar-perkara yang termasuk dalam senarai bersama ialah kebajikan masyarakat, biasiswa, perlindungan binatang liar, ternakan, perancangan bandar dan luar bandar, pengemis-pengemis dan penjaja, kesatuan dan kebersihan awam, parit, dan tali air dan pemulihan tanah-tanah lombong.


Perkara sepuluh– Hak Keistemewaan Bumiputera


Pada prinsipnya suku kaum Bumiputera di Borneo Utara/Sarawak hendalah menikmati hak-hak istimewa seperti yang dinikmati oleh kaum Melayu ketika ini tidak semestinya boleh digunakan untuk Borneo Utara. Hak kedudukan istimewa Bumiputera ini disediakan dalam Perkhidmatan Awam termaktub dalam Artikel 161 A Perlembagaan Persekutuan.


Di dalam artikel ini memberi kedudukan Bumiputera di Borneo Utara/Sarawak dengan hak keistimewaan orang Melayu di bawah perkara 153.


Perkara sebelas- Peraturan Dalam Masa Peralihan


"tempoh peralihan hendaklah tujuh tahun, dan dlam tempoh itu kuasa perundangan hendaklah diserahkan pada negeri Borneo Utara/Sarawak oleh Perlembagaan dan tidak sekadar diamanahkan kepada kerajaan negeri oleh kerajaan Persekutuan."


Di dalam hal Perkara ini dimasukkan ke dalam Perjanjian Malaysia atau Perlembagaan Persekutuan yang mana tempoh peralihan diberi selama tujuh tahun dan kuasa perundangan adalah di bawah kuasa kerajaan Negeri. Tujuan tempoh peralihan ini adalah untuk membolehkan peningkatan kesedaran politik di kalangan rakyat negeri Sabah/Sarawak yang baru sahaja mentadbir negerinya sendiri sebelum penubuhan Malaysia.


Perkara dua belas- Undang-undang Masa Kini


"undang -undang mengenai perkara-perkara Persekutuan yang baru sahaja dikuatkusakan di Borneo Utara/Sarawak sebelum hari Malysia hendaklah dijalankan dan diteruskan walau pun di dapati tidak sesuai dengn sebarang peruntukan dalam perlembagaan sehingga diubah atau dibatalkan atas persetujuan Borneo Utara/Sarawak.


Dan kerana itulah ada sesetengah undang-undang Persekutuan ini masih lagi digunapakai dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk membuat cadangan pindaannya.

Perkara tiga belas- Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan.

Kerajaan negeri-negeri terpaksa mengikuti polisi majlis ini sehingga kerajaan negeri-negeri memutuskan untuk berbuat demikian.


Perkara empat belas- Peruntukan kewangan


"Borneo Utara/Sarawak hendaklah berhak menjaga dan mengawal kewangan Tabung Pembangunan dan tarifnya sendiri"



Itu ceritanya tentang segala “autonomi” yang diserapkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 sekarang dan bagaimana pula perbezaan umpama langit dan bumi antara negeri-negeri di Malaya berbanding dengan Sabah mahupun Sarawak sekarang dari segi pembangunan?


53 tahun membentuk Gagasan Malaysia TETAPI infrastruktur di Sabah mahupun Sarawak masih lagi umpama era sewaktu penubuhan Malaysia. Jadi andaikata rakyat Sarawak sekarang minta dilebihkan serba serbi terutamanya apabila berkata tentang peruntukan kewangan dari Persekutuan seharusnya ia didengar oleh Kerajaan Persekutuan.


Janganlah sering berkata kerana faktor mukabumi serta keluasan itu dijadikan alasan untuk tidak memajukannya. Jika di Malaya, gunung boleh dibelah, paya boleh ditimbus hanya hendak memberi kemudahan kepada rakyat di luar Bandar apalah bezanya di Sarawak. Yang penting niat yang ikhlas bahawa Sarawak bukan warganegara kelas kedua Malaysia dan negeri Sarawak bukannya hanya negeri yang tangkap muat sebaliknya penjana ekonomi Negara Malaysia. Kaya dengan sumbernya tetapi sayang miskin infrastrukturnya dan ekonomi rakyatnya.


Makna HARI MALAYSIA pada tahun 2016 ini besar ertinya kerana rakyat Sarawak dibawah kepimpinan Datuk Patinggi Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak bersatu senada seirama menuntut autonomi dikembalikan dan apa yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan Malaysia dari tahun ianya ditubuhkan 53 tahun direalisasikan.


Sudah lelah rakyat Sarawak menanti dan sudah cukup jelak dengan konsep “bersyukur” sebaliknya rakyat Sarawak menantikan negeri Sarawak dilihat “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan Malaya di dalam Gagasan Malaysia.


Selamat Menyambut Hari Malaysia


Dari Team admin Borneo Oracle



Nota: Teaser yang digunakan diberikan tajuk We Are Here: Malaysia. Hasil nukilan istimewa daripada Kartunis Durianz Sarawak yang menciptanya khusus untuk memberikan makna bahawa Malaysia itu bukan sahaja Malaya TETAPI juga Sabah dan Sarawak di dalam dunia.

bottom of page