top of page

“OPS HENTAM” MUARA TEBAS 1971


“OPS HENTAM” MUARA TEBAS 1971


“JANGAN jadi talibarut komunis..” itu merupakan salah satu ayat yang sering kita dengar bila kita menonton filem dan drama yang berkisahkan penentangan komunis di Malaysia suatu waktu dahulu. Bagi generasi muda sudah tentu mereka hanya memahami dari aspek makna sahaja tanpa mengenal apakah yang sebenarnya dialami oleh orang tua kita dahulu. Di Sarawak tidak kurang cerita mengenai komunis ini dan tanpa kita mengetahui keamanan yang kita kecapi sekarang adalah atas pengorbanan anggota keselamatan kita yang berkorban segalanya demi kelangsungan anak cucu kita pada hari ini.


Operation Hentam atau Ops Hentam merupakan salah satu daripada detik bersejarah yang mewarnai dunia operasi gerak tempur tentera di Sarawak menentang kebangkitan komunis yang cuba bermaharajalela di bumi Sarawak. Ops Hentam ini menyaksikan daerah kecil Muara Tebas menjadi lokasi pentempuran yang berlaku pada tanggal Mac 1971. Ianya melibat 2 orang anggota keselamatan Malaysia dibawah unit 1st Renjer atau dikenali dahulunya sebagai Sarawak Renjer iaitu Lt. M Baharin bin Abd Jalil dan Renjer Lan anak Gima yang berhadapan dengan kira-kira 15 orang komunis di Kampung Goebilt, Muara Tebas pada waktu itu.


Selepas usai sahaja Operation Raja Jala yang diadakan di Asajaya, rupa-rupanya saki baki komunis berjaya meloloskan diri sehingga ke kawasan Muara Tebas. Demi menjaga keselamatan rakyat di Muara Tebas pada masa itu satu gerakan menjejak komunis telah diarahkan untuk menuju ke Muara Tebas pada waktu itu. Jadi, 1st Renjer Battalion yang berada di Kem Lapangan Terbang Kuching telah dihantar ke kawasan itu iaitu satu platun dibawah arahan Left. Baharin dengan dibantu oleh Sarjan Ambau dan Koperal Machan, Koperal Renang dan Koperal Aggit sebagai seksyen komander.


Setelah 3 hari berada di Muara Tebas dan beberapa anggota diarahkan untuk menyelinap masuk ke kampung-kampung di Muara Tebas akhirnya segala maklumat risikan dikumpul mengenai pergerakan anggota komunis di kawasan tersebut. Pada tanggal 16 Mac 1971, maklumat penerangan telah diadakan di base kem dan setelah memahaminya Lt. Baharin dan platunnya pulang ke kawasan perkhemahan mereka. Dan sewaktu perjalanan pulang itulah, beliau mengarahkan 3 orang dari unit platunnya untuk mengawasi secara lebih dekat kegiatan di satu kawasan tidak jauh dari sebuah sekolah di Kampung Goebilt.


Ketika menjelang senja iaitu sewaktu berada di kawasan perkhemahan mereka, Lt. Baharin didekati oleh anggota Renjer Sandom anak Embin iaitu salah seorang anggota platunnya yang mengawasi sekolah Kampung Goebilt. Dari laporan Renjer Sandom terbukti bahawa ada penduduk Kampung Goebilt yang telah menjadi talibarut komunis dengan menyediakan bekalan makanan untuk mereka. Penduduk kampung Goebilt yang dikenalpasti adalah dari kalangan Kaum Cina dan mereka telah berjaya menangkap beliau serta seorang gerila komunis manakala seorang lagi komunis berjaya meloloskan diri.


Tanpa berlengah, Lt. Baharin mengerah kesemua unit platunnya yang seramai 15 orang untuk bersedia dengan senjata dan menuju ke Kampung Goebilt. Di dalam suasana malam yang pekat mereka bergerak ke kampung dengan penuh hati-hati memandangkan sudah tentu komunis yang berjaya meloloskan diri telah memberitahu kumpulannya tentang keberadaan satu unit platun askar Malaysia berada di kawasan Muara Tebas pada ketika itu. Sampai sahaja di lokasi kejadian, Lt Baharin terus membuat soalsiasat keatas anggota komunis yang berjaya ditangkap. Nampak gayanya anggota komunis itu langsung tidak mahu memecahkan rahsia mereka.


Walaupun tanpa maklumat mengenai pergerakan anggota komunis yang lain, Lt. Baharin tetap tidak mahu membiarkan komunis lepas begitu sahaja. Sebaliknya beliau membahagikan platunnya kepada 3 kumpulan dengan masing-masing kumpulan mempunyai 5 ke 6 anggota renjer. 3 kumpulan ini bergerak pada lokasi yang berbeza dan tujuannya adalah untuk menjejak laluan perjalanan komunis.

Di dalam kegelapan malam ditambahlagi dengan bentuk muka bumi kawasan Muara Tebas yang dipenuhi kawasan paya yang berakhir maka bergerak sub platun ini. Akhirnya misi mereka menjejak komunis berjaya apabila ditemui satu kawasan yang penuh dengan kesan jejak komunis yang masih lagi baru. Pada ketika itulah, Lt Baharin telah mengumpulkan kesemua 2 sub platunnya dan mereka mengekori jejak itu sehingga ianya terbahagi kepada 2 kesan jejak pula.


Maka pada kali ini, 2 kumpulan pula dibahagikan dan satu kumpulan diarahkan untuk mengikut jejak sebelah kanan manakala beliau dan Renjer Lan anak Gima mengikut jejak di sebelah kiri. Langkah demi langkah diatur dengan cukup cermat di dalam kegelapan malam, Lt. Baharin dan Renjer Lan sudah mengetahui bahawa mereka sebenarnya sedang menghampiri komunis. Pada satu ketika, langkah beliau dan Renjer Lan terhenti kerana mereka sudah mulai melihat kelibat beberapa orang komunis kira-kira 40 meter jaraknya daripada mereka.


Pemerhatian yang tajam walaupun di dalam suasana yang gelap menunjukkan bahawa komunis dihadapan mereka ini merupakan satu unit kompeni komunis yang mempunyai segala senjata yang ada. Dan komunis ini juga sebenarnya tidak mengetahui bahawa mereka sedang dipantau oleh 2 pasang mata anggota keselamatan Malaysia yang berani. Komunis terus bergerak tanpa rasa ragu-ragu sementara Lt Baharin dan Renjer Lan tetap menyusuri mereka di bahagian belakang. Kedua-duanya sabar untuk menyerang kerana misi mereka adalah untuk menggempur base perkhemahan komunis ini.


Hakikatnya tanpa Lt Baharin dan Renjer Lan mengetahui, kedua-dua mereka ketika mengikuti jejak komunis ini sebenarnya bersendirian. Ini kerana Lt Baharin dan Renjer Lan sudah agak jauh terpisah dengan anggota platunnya yang lain. Jadi sangkaan mereka bahawa mereka berdua disertai oleh 13 anggota platun yang lain agak meleset. Jadi sekiranya berlaku sesuatu maka hanya Lt. Baharin dan Renjer Lan yang berhadapan dengan segerombolan 13-15 orang komunis pada waktu itu.


Sudah terserlah di mata dunia bahawa kehebatan anggota “Penjejak Iban” yang pakar di dalam menjejak musuh tidak boleh disangkal. Pada di saat gentir inilah Renjer Lan anak Gima telah mendahului Lt. Baharin. Beliau merupakan salah seorang anggota “Penjejak Iban” yang diserapkan ke anggota renjer jadi walaupun sebagai ketua sekalipun, kepakaran Renjer Lan tidak pernah dinafikan oleh beliau. Cuma Lt. Baharin sejak awal-awal lagi mengingatkan Renjer Lan untuk bersiaga dengan segala senjata yang ada kerana mereka berdua boleh diserang bila-bila masa.


Menjelang siang dan mentari sudah menampakkan diri, Lt. Baharin dan Renjer Lan semakin berhati-hati mengekori jejak komunis. Ini kerana kelibat mereka cukup senang dijejaki berlainan ketika suasana gelap. Pada satu lokasi akhirnya komunis yang diekori semakin besar ahlinya kerana disinilah terletaknya base kem anggota komunis. Dan pada ketika itu kelibat kedua-duanya disedari oleh segerombolan komunis yang ada. Maka bermulalah hujan peluru hampir 15 orang komunis mengarah kepada 2 anggota tentera Malaysia iaitu Lt. Baharin dan Renjer Lan.


Pada kala itulah baharu keduanya sedari bahawa hanya mereka berdua berada di barisan hadapan. Umpama kata bidalan lama “Biar putih tulang, jangan putih mata”, Lt. Baharin dan Renjer Lan mendepani 15 komunis berdua sahaja. Kedua-duanya bijak bermain senjata dengan memastikan setiap tembakan ditujukan bergilir-gilir bagi mengelak kehabisan peluru.


Bagi anggota platun yang tertinggal di belakang sudah mula mempercepatkan langkah mereka kerana sayup-sayup kedengaran bunyi tembakan memecah suasana hutan paya bakau Muara Tebas. Mereka bergalang tenaga melangkah dan terus melangkah sehinggalah mereka mendekati Lt. Baharin dan Renjer Lan yang berkubu hanya berdua melawan segerombolan komunis.


Ketibaan mereka yang ramai menyertai Lt. Baharin dan Renjer Lan yang tetap menyerang itu telah menggentarkan komunis. Ianya menyebabkan segerombolan komunis yang tidak cedera mula melarikan diri manakala yang cedera sudah terlalu parah untuk bergerak ditinggalkan begitu sahaja dan ianya memudahkan platun pimpinan Lt. Baharin menangkap mereka. Yang mati diletakkan di satu kawasan manakala yang cedera diikat. Yang berjaya meloloskan diri tetap dijejak oleh anggota platun yang lain sehingga mereka berjaya ditangkap.


Setelah reda segalanya barulah Lt. Baharin dan Renjer Lan menyedari bahawa biarpun mereka berdua sahaja yang berada di barisan hadapan pada masa itu telah berjaya membunuh 13 orang komunis manakala beberapa orang lagi cedera parah. Sememangnya sesuatu yang mengkagumkan kerana taktik menembak berselang seli bagi mengelak kehabisan peluru antara keduanya benar-benar menepati sasaran.


Keduanya berjuang walau mengetahui bahawa nyawa mereka boleh melayang bila-bila masa tidak pernah digusarkan. Kesemuanya adalah untuk memastikan komunis “lenyap” di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya pada ketika itu. Setakat ini tiada lagi di dalam sejarah ketenteraan Malaysia yang boleh bersaing dengan sejarah keberanian 2 orang anggota keselamatan kita ini iaitu Lt. Baharin dan Renjer Lan anak Gima di dalam bercerita berkenaan penentangan kita terhadap komunis di Malaysia.


Lt. Baharin anak Kelantan yang dilahirkan pada 17th Mac 1950 di Rantau Panjang, Kelantan dan bersara dari dunia ketenteraan sejak tahun 1987. Tidaklah diketahui samada beliau masih hidup ataupun sudah meninggalkan kita semua. Sementara Renjer Joseph Lan Anak Gima merupakan anak Iban yang dilahirkan pada tahun 1943 di Rumah Jagop, Nanga Mukih, Katibas. Beliau bersara dari dunia ketenteraan dengan pangkat terakhirnya Korporal pada tahun 1985. Sudahpun meninggalkan kita pada tanggal 26 November 2012 dan disemadikan di Tanah Perkhuburan Katolik Batu 7, Kuching.


Kedua-dua perwira yang tidak didendangkan mendapat penganugerahan Pingat Gagah Berani pada tahun 1971 dari Yang Dipertuan Agung atas keberanian mereka di dalam “Ops Hentam” Muara Tebas.


Inilah satu sejarah yang mewarnai cerita tentang operasi ketenteraan gerak gempur komunis yang cuba bermaharajalela di Sarawak ketika Sarawak sudahpun membentuk Gagasan Malaysia suatu waktu dahulu. Sudah tentu orang tua-tua yang tinggal di kawasan Muara Tebas mengetahui sejarahnya kerana mereka sendiri berada di dalam ketakutan pada masa itu. Untuk generasi sekarang sudah tentu langsung tidak mengetahuinya kerana kurangnya informasi mengenai cerita sejarah ini.


Bukan senang membina sebuah Negara dan jangan sesekali menjadi “talibarut” mereka yang cemburu dengan keamanan yang kita kecapi sekarang. Jerih perih anggota keselamatan kita DILUPA JANGAN dan tanpa mereka siapalah kita sekarang.


Lest We Forget!



Rujukan:

1. Assault At Muara Tebas http://renjervalour.blogspot.my/…/assault-at-muara-tebas-2l… 2. Borneo Post : Iban hero passes away after a short illness http://www.theborneopost.com/…/iban-hero-passes-away-after…/ 3. Royal Ranger Regiment http://broom02.revolvy.com/main/index.php… 4. History of the 1st Rangers (Formerly Sarawak Rangers) http://7renjer.blogspot.my

bottom of page