BUAH DURIAN BELANDA
BUAH DURIAN BELANDA
BUAH durian belanda ataupun di dalam bahasa Inggeris dipanggil "soursop" sememangnya terkenal dengan khasiatnya yang dikatakan mampu merawat banyak penyakit. Dan tiada siapa yang boleh menidakkan kelazatan memakan buahnya mahupun jusnya yang sering menjadikan ianya begitu istimewa seantero dunia.
Dengan nama botaninya Annona Muricata L., ianya bukanlah sejenis buah yang sama serumpun dengan buah durian iaitu raja segala buah di Malaysia namun dikenali dengan nama sedemikian hanya kerana kulitnya yang terdiri daripada duri tetapi lembut. Jika kita amati daripada namanya Durian Belanda mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa adanya nama belanda sedangkan ianya langsung tiada kaitan dengan Negara Belanda di Eropah.
Ianya bukan sejenis buah yang berasal dari tanah Asia Tenggara namun begitu hampir setiap Negara di dunia mesti ada sahaja pokoknya yang ditanam kerana minat masyarakat dunia terhadapnya. Secara umumnya di Malaysia, pokok durian belanda ditanam secara individu namun begitu untuk negeri-negeri seperti Perlis, Pahang, Perak, Johor dan Sabah buah ini ditanam secara besar-besaran untuk tujuan komersial.
Apabila berbicara mengenai asal usul buah belanda ini sebenarnya berasal dari kawasan hutan tropika Amerika Selatan. Dan khasiat buah belanda ini dikatakan diterokai terlebih dahulu oleh puak pribumi Ameridian yang mendiami wilayah Amerika Tengah dan Selatannya. Pada ketika itu ianya dicari kerana kelazatannya.
Kemudian sejajar dengan waktu, dunia inovasi untuk buah durian belanda sebagai salah satu sumber untuk rawatan tradisional mula diterokai bagi etnik-etnik pribumi dibawah rumpun ameridian. Bagi kaum asli Andes Peruvian, daun dari pokok durian belanda digunakan di dalam penyedian teh iaitu satu ekstrak minuman yang dikatakan mampu memulihkan penyakit radang (inflammation of Mucous Membranes) yang disebabkan oleh masalah asma atau selsema yang berpanjangan. Manakala biji buah durian belanda pula, mereka hancurkan untuk dimakan bagi merawat jangkitan parasit pada kulit.
Bagi kaum pribumi Amazonia Peru pula telah lama menggunakan kulit pada akar serta daun pokok buah durian belanda untuk merawat penyakit diabetis. Ianya juga turut dijadikan salah satu ubat pelali dan juga untuk lenguh-lenguh badan. Bagi kaum Guyana dari Brazil pula turut menggunakan seribu satu bahan dari pokok durian belanda untuk rawatan tradisional mereka beratus-ratus tahun dahulu.
Dikatakan kaum Guyana turut menggunakan daunnya untuk menjadi teh yang kemudiannya dicampur dengan kulit kayu sebagai minuman tonik bagi mencegah sakit jantung. Ekstrak minyak dari daun pokok belanda pula dicampur dengan minyak zaitun bagi menjadi minyak untuk tujuan urut-urutan bagi pesakit sendi, authritis dan banyak lagi.
Bagi kaum pribumi di Jamaica dan Haiti pula, buah durian belanda sememangnya sudah sebati di dalam perawatan tradisional mereka apabila mereka turut memakan buahnya serta mengambil justnya bagi mengurangkan panas dalam badan, mencegah cirit-birit serta menambahkan lagi agar kandungan susu ibu bagi mana-mana ibu yang masih lagi menyusu badan bayinya.
Ternyata sebelum adanya dunia perubatan moden sememangnya puak-puak pribumi di Amerika Tengah dan Selatan sudah terlebih dahulu mengetahui khasiat durian belanda ini sehinggakan mereka sudah menggunakannya berabad lamanya. Untuk dunia perubatan moden pula sememangnya sudah terbukti bahawa durian belanda ini mempunyai khasiat yang tertentu seperti mencegah kanser, mengatasi masalah sakit sendi serta sengal-sengal badan, mengubati penyakit diabetis serta merawat sakit kerongkong.
Jadi sememangnya durian belanda mempunyai 1001 khasiat sehinggakan boleh dikatakan ramai diantara kita lebih gemar untuk menanam sekurang-kurangnya 1 pokok di kawasan kediaman kita untuk kita sendiri merasai kenikmatan menanamnya. Dan untuk konteks penduduk di Borneo, ianya juga mempunyai cerita yang sama.
Secara amnya mesti ada penduduknya yang menanam pokok durian belanda iaitu membentang dari Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan yang menjadikan ianya antara buah tempatan yang begitu popular sekali ditanam.