FROM BIAWAK WITH LOVE
FROM BIAWAK WITH LOVE
LOKASINYA terletak diantara sempadan Indonesia melalui Kabupaten Sambas dengan Sarawak, Malaysia dan keunikannya terletak pada namanya yang sinonim dengan nama seekor binatang yang mewarnai dunia binatang di kesemua penempatan di Borneo. Kampung Biawak adalah sebuah perkampungan kecil yang terletak di daerah Lundu, Sarawak iaitu kira-kira 70.6 kilometer jaraknya daripada ibukota Kuching.
Populasi yang menghuni Kampung Biawak ini majoritinya terdiri daripada etnik Bidayuh-Salako yang dikatakan juga merupakan etnik yang telah membuka penempatan-penempatan di sekitar Kampung Biawak ini sejak di tahun 1920an lagi. Mereka merupakan antara penduduk Salako dari Kampung Sajingan yang terletak di sempadan Sambas. Pada masa itu mereka berhijrah untuk mencari tanah subur bagi melakukan aktiviti pertanian berserta lari daripada perang kayau yang sering menghantui wilayah itu suatu waktu dahulu.
Dikatakan pada asal pembukaan Kampung Biawak ini hanya didirikan 3 rumah panjang Salako pada tahun 1920an yang mana sehingga ke hari ini masih ada 2 daripada rumah panjang tersebut masih lagi berdiri utuh manakala yang satu lagi roboh sewaktu era konfrantasi Indonesia-Malaysia berlaku. Dan sehingga ke hari ini Kampung Biawak masih lagi mengekalkan tradisi masyarakat Salako yang berpegang teguh pada tradisi nenek moyang mereka walaupun ada yang sudah memeluk Islam mahupun Kristian sebagai pegangan hidup mereka.
Bila berbicara mengapa ianya dinamakan dengan sedemikian rupa iaitu Biawak sebenarnya mempunyai beberapa peristiwa yang mendorong kepadanya. Walaupun ianya tidak mempunyai dokumentasi yang khusus bagi memperjelaskannya namun terdapat orang-orang tua di Kampung Biawak melalui cerita oral bahawa sememangnya nama dikaitkan dengan “monitor lizard” di dalam bahasa Inggeris.
Dan diceritakan segalanya bermula di ketika penempatan baru sahaja dibuka dan umum mengetahui bahawa binatang jenis biawak ini adalah antara musuh petani-petani. Kerana kemunculan binatang ini yang banyak di kawasan penempatan mereka maka akhirnya ia dinamakan biawak atau di dalam slanga etnik dikenali sebagai bayawak. Akhirnya lama kelamaan ianya dipertuturkan sebagai Biawak oleh masyarakat yang tinggal di Lundu sehinggalah sekarang.
Sebagai sebuah perkampungan yang terletak di perbatasan Sarawak/Indonesia sudah tentu Kampung Biawak mempunyai perkaitan secara langsung dengan rakyat Indonesia itu sendiri. Ianya bukan setakat sahaja ikatan kekeluargaan malah juga ekonomi setempat. Ini kerana sejak sebelum wujudnya garis sempadan lagi penduduk di Kampung Biawak sudah serasi dengan sistem perdagangan barter antara penduduk seperti produk-produk hutan malah juga hasil tanaman untuk dipasarkan.
Sehingga sekarang iaitu bermula pada tahun 1963 apabila sempadan diwujudkan serta baru-baru ini dibina ICQS Biawak atau (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin & Keselamatan / Immigration, Customs, Quarantine & Security Complex) di sempadannya namun begitu ianya tidak pernah menghalang ikatan antara Kampung Biawak dengan masyakat di Indonesia itu sendiri.
Sehingga sekarang, penduduk di Kampung Biawak masih lagi pemain ekonomi di garisan sempadan serta antara yang masih lagi kekal mengusahakan sistem pengangkutan motosikal yang mana menyediakan perkhidmatan motosikal untuk mengangkut penumpang mahupun barangan di kedua-dua kawasan.
Sebuah perkampungan di perbatasan sudah tentu mempunyai sejarahnya dengan era konfrantasi Indonesia/Malaysia yang berlangsung dari tahun 1962 sehingga 1966 suatu waktu dahulu. Dan Kampung Biawak juga mempunyai kronologi bersejarahnya apabila dahulunya hanya boleh dihubungi dengan berjalan kaki akhirnya sewaktu era konfrantasi disediakan dengan kemudahan jalanraya berserta jambatan hasil daripada usaha dari anggota keselamatan dari tentera British dan juga Negara Komanwel pada ketika itu.
Di ketika era inilah seorang pemimpin masyarakat Salako yang bernama Pemancha Anggu anak Pengarah Otoh memainkan peranannya membantu anggota tentera di dalam memastikan bahawa masyarakat di Kampung Biawak sentiasa dipelihara keselamatannya daripada tindakan askar-askar Indonesia yang boleh mendatangi mereka dengan mudah kerana ianya terlalu dekat dengan sempadan.
Pemancha Anggu merupakan anak kepada Pengarah Otoh anak Bangat yang juga merupakan pemimpin masyarakat Salako di Kampung Biawak pada masa itu. Selepas kematian ayahnya maka beliau mewarisi jawatan Ketua Kampung untuk Kampung Biawak dan Kampung Pasir Ulu (Kampung Panggong). Di ketika konfrantasi beliau merupakan aset penting kepada Tentera British dan Komanwel kerana hanya melalui segala informasi daripada beliaulah yang menjadi pemangkin kepada sebarang pergerakan musuh di sempadan pada masa itu.
Atas usaha beliaulah juga dikatakan bahawa anggota tentera British mula membuat jalan dan jambatan bailey untuk menghubungkan Kampung Biawak dengan Lundu pada ketika itu. Ini semua bagi memudahkan logistic ketenteraan diangkut ke sempadan bagi membanteras kegiatan askar-askar komando Indonesia pada ketika itu.
Namun begitu, ada berlaku sedikit kekecohan berlaku pada penghujung era konfrantasi apabila Pemancha Anggu yang setia berkhidmat dengan tentera British telah cuba dibunuh oleh beberapa anggota tentera yang tidak menyenangi pengaruhnya pada masa itu. Dikatakan ketika beliau sedang lena bersama keluarganya di rumah panjangnya, 5 anggota tentera telah cuba membunuhnya dengan membaling bom tangan ke arah tempat peraduannya namun nasib menyebelahi beliau apabila bom tangan itu tidak meletup.
Kejadian itu disedari oleh anak-anak buahnya lalu kelima-lima anggota tentera British ini ditangkap dan dihadapkan kepada Ketua Platun British mereka. Kejadian itu menyebabkan Komander Tentera British di Borneo telah mengarahkan agar kelima-lima anggota tentera itu dihadapkan ke Mahkamah Tentera di Singapura. Perbicaraan yang berlangsung agak lama itu menyaksikan Pemancha Anggu menjadi saksi utama dan kelima-lima anggota Tentera British disabitkan kesalahan dan menerima hukuman dipecat serta dipenjara pada satu masa yang agak lama di Penjara Singapura.
Itu kisahnya seorang pemimpin masyakat Salako dari Kampung Biawak iaitu Pemancha Anggu anak Pengarah Otoh yang juga merupakan seorang konselor bagi Majlis Daerah Lundu sehingga tahun 1977. Kemudian atas jasanya juga beliau dilantik sebagai Pemancha kepada masyarakat Salako di seluruh daerah Lundu sekitar tahun 1992. Sekitar tahun 1997, seorang pemimpin masyarakat Salako dari Kampung Biawak ini meninggal dunia pada usia 70an akibat masalah jantung.
Kampung Biawak jika dahulunya berada jauh di pedalaman dan kadang-kadang ada sesetengah rakyat Sarawak tidak begitu mengetahui kewujudannya. Namun dengan adanya limpahan pembangunan sudah tentu Kampung Biawak tidak lagi berada jauh dari radar arus kemodenan dan infrastruktur.
Pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo yang sedang rancak dibina di Sarawak dengan permulaannya di Telok Melano-Tanjung Datu menyaksikan bahawa Kampung Biawak juga terletak di dalam peta pembangunannya dan penaiktaraf infrastrukturnya.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.