top of page

GUGURNYA AMAN GON DITANGAN SEORANG WANITA


GUGURNYA AMAN GON DITANGAN SEORANG WANITA

DI dalam lipatan sejarah lama di Borneo, kita tidak boleh menafikan bahawa suatu waktu dahulu masyarakat Borneo sudah lama berperang sesama sendiri dan antara penyebabnya adalah dasar perluasan wilayah yang juga dikenali sebagai Perang Kayau. Etnik Kejaman dan etnik Kenyah Badeng juga turut ada di dalam kronologi sejarah perang mereka iaitu ketika mereka masih lagi menetap di Usun Apau. Antara kawasan yang menjadi tempat asal bagi kebanyakan rumpun Kaum Orang Ulu di Sarawak.

Sewaktu perang ini berlaku juga ada menyaksikan seorang panglima yang gagah perkasa dari etnik Kejaman sering menjadi tunggak peperangan mereka di Usun Apau. Panglima ini bernama Aman Gon, seorang lelaki etnik Kejaman yang diceritakan amat kuat dan mempunyai semangat kental yang tidak pernah mengaku kalah biarpun nyawanya menjadi galang ganti.

Dikatakan juga bahawa Panglima Aman Gon amat mahir menyumpit serta pandai bermain senjata parang. Menurut ceritanya walau dalam jarak yang jauh sekalipun, sumpitannya sering mengena musuh. Dan jika dihunus parangnya kepada musuh nescaya pasti ada yang luka-luka dan terbunuh. Inilah antara keistimewaan Panglima Aman Gon yang sehingga sekarang diingati oleh etnik Kejaman sebagai antara pahlawan mereka yang sentiasa disegani.

Pada suatu hari di Usun Apau diceritakan etnik Kejaman telah menyerang penempatan etnik Kenyah Badeng. Pada masa itu etnik Kejaman dibawah kepimpinan ketuanya yang bernama Sebuang Kebiang. Perang ini berlaku kerana etnik Kejaman ingin memperluaskan wilayahnya di Usun Apau dan barangsiapa yang kalah sudah tentu harus tunduk kepada yang menang. Inilah antara penyebab mengapa adanya perang perluasan kuasa suatu waktu dahulu yang menjadi perang tradisi di Borneo di kalangan masyarakatnya.

Perang ini bukannya perang yang kecil-kecilan sebaliknya ianya adalah satu pertempuran yang sengit antara kedua belah pihak. Banyak kepala yang bercerai daripada badannya dan tidak kurang juga yang cedera parah akibat ditetak atau disumpit dengan damak beracun. Walaupun etnik Kejaman yang menyerang penempatan Kenyah Badeng namun mereka tidak mampu menghampiri dengan lebih dekat perkampungan Kenyah Badeng.

Kesemua itu disebabkan pahlawan-pahlawan Kenyah Badeng yang bermati-matian mempertahankan perkampungan mereka bukannya sembarangan orang. Sebaliknya tiada sesiapa boleh menidakkan kepakaran pahlawan Kenyah Badeng bermain senjata lebih-lebih lagi sumpit dan juga parang madau mereka. Kerana itulah dikatakan etnik Kejaman yang menyerang sebaliknya berada di pihak yang kalah apabila satu-persatu pahlawan mereka gugur menjadi korban di tangan pahlawan Kenyah Badeng. Apabila melihat kekalahan sudah berada di tangan mereka, maka ramailah juga pahlawan Kejaman yang sudah mula mengundurkan diri dengan membantu saki baki pahlawan mereka yang masih hidup untuk pulang ke penempatan mereka.

Namun ada seorang pahlawan Kejaman yang tidak mahu menyerah kalah. Biar putih tulang jangan putih mata. Pantang berundur itulah yang menjadi pendorong semangatnya biarpun hakikatnya hanya beliau keseorangan berhadapan dengan pahlawan Kenyah Badeng yang sasa dan hebat bermain senjata.

Melihat hanya seorang sahaja pahlawan Kejaman yang tinggal berhadapan dengan pahlawan Kenyah Badeng yang ramai maka mereka memandang enteng kekuatan si Aman Gon. Walaupun musuh hanya berseorangan yang menjadi igauan mereka tiada satu apapun yang mampu menumpaskan malah melukakan Pahlawan Aman Gon. Walau disumpit, direjam dengan tombak malah ditetak setiap satu serangan itu tetap dengan mudahnya dielak oleh Pahlawan Aman Gon. Tanpa pahlawan Kenyah Badeng ketahui bahawasanya menurut kefahaman etnik Kejaman, Pahlawan Aman Gon bukanlah pahlawan yang biasa-biasa. Aman Gon diperkira sebagai antara pahlawan yang kebal kerana memiliki senjata-senjata yang diperbuat daripada tanduk sang badak. Selagi senjata itu ada padanya selagi itulah tiada yang mampu mengusiknya malah melemahkan semangatnya untuk berjuang pun tidak.

Dikala itulah pelbagai idea digunakan bagi membunuh Pahlawan Aman Gon namun segalanya sia-sia belaka sehinggalah seorang wanita Kenyah Badeng datang menghampiri Panglima Aman Gon. Sudah menjadi rasmi seorang pahlawan bukan anak jantan jika berkasar dengan seorang perempuan. Maka ketika itulah dikatakan Pahlawan Aman Gon mengalah dengan kedatangan seorang wanita.

Langkah wanita yang lembut dan longlai serta senyuman yang manis mendekati Pahlawan Aman Gon yang berpura-pura membawa bekas air minuman sebenarnya adalah tipu muslihat sahaja. Apabila sudah berjaya mengawal minda Aman Gon akhirnya secepat kilat wanita itu membuang senjata-senjata Aman Gon.

Dan pada masa itulah juga wanita itu meruduk pisau kecilnya ke perut Aman Gon berkali-kali. Akhirnya Panglima Aman Gon yang gagah perkasa yang tidak mampu ditumbangkan oleh pahlawan-pahlawan Kenyah Badeng yang ramai, gugur terkorban ditangan seorang wanita.

Inilah ceritanya mengenai seorang pahlawan Kejaman yang bernama Panglima Aman Gon. Beliau sungguh hebat di medan perang namun kalah juga hanya kerana seorang wanita. Hakikatnya suatu ketika dahulu di dalam sejarah Perang Kayau sememangnya “wanita” merupakan antara senjata paling ampuh untuk melemahkan musuh.

bottom of page