top of page

LEGENDA AKEK UTUN


LEGENDA AKEK UTUN


KAUM Kejaman merupakan salah satu etnik pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak. Mereka merupakan antara kaum di Sarawak yang terkenal dengan kepakaran di dalam seni ukiran. Selain keunikan tradisi dan budaya mereka, kaum Kejaman juga tidak pernah kurang dengan sastera rakyat mereka yang agak unik berbanding dengan cerita legenda yang pernah kita ketahui sebelum ini.


Al-sahibul hikayat menceritakan bahawa beratus-ratus tahun dahulu ada seorang lelaki dari kaum Kejaman diberi nama Akek Utun. Difahamkan si Akek Utun ini sangatlah pandai memburu dan juga memancing. Kepandaiannya itu amat menghairankan masyarakat Kejaman kerana dia bukanlah seorang manusia yang sempurna sebaliknya sebelah kakinya kudung.


Dan tambah menghairankan, si Akek Utun ini juga seorang yang mempunyai citarasa fesyen yang pelik. Setiap apa yang dipakainya mesti dipotong setengah contohnya topinya sengaja dipotong setengah malah parang serta joran pancingnya juga setengah sahaja.


Inilah yang menjadikan si Akek Utun cukup terkenal di kalangan masyarakat suatu waktu dahulu. Walaupun begitu si Akek Utun juga turut dihormati kerana disebalik kecacatan beliau, beliau tidak pernah bergantung atau meminta-minta daripada masyarakatnya. Segala hal baik makan pakai kesemuanya diuruskannya sendiri.


Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari si Akek Utun telah turun ke sungai untuk memancing seperti yang biasa beliau lakukan. Tujuannya satu iaitu untuk mencari ikan buat hidangan dirinya di rumah selain jika ada rezeki lebih mungkin boleh dijual kepada orang kampung. Itulah mata pencarian si Akek Utun yang tidak pernah hanya berpeluk tubuh di rumah memohon simpati orang.


Pada hari itu, si Akek Utun merasa cukup seronok memancing kerana umpannya sekejap sahaja sudah mengena. Jadi hasil tangkapan ikannya agak banyak.


Namun tanpa beliau sedari, gelagatnya yang mendapat ikan yang banyak turut menjadi perhatian raja monyet yang memerhatinya dari jauh. Raja monyet teringin sangat mengetahui apakah rahsia umpan yang dipakai oleh si Akek Utun lalu mengarahkan anaknya untuk bertanya dengan si Akek sendiri.


Anak bongsu si Raja Monyet pun menghampiri si Akek Utun yang asyik memancing lalu bertanya dengan penuh sopan mengikut arahan ayahnya. Namun si Akek yang tidak mahu diganggu telah menjawab dengan penuh sindirin bahawa umpan yang digunakannya adalah umpan hati dan jantung emak dan ayah monyet.


Terkejutlah anak bongsu si Raja Monyet bila mendengar jawapan tersebut dan terus berlari mendapatkan ayahnya serta mengadu sambil teresak-esak menangis. Melihat anaknya menangis dan mendengar lagi jawapan “kurang ajar” dari si Akek Utun, Raja monyet turut marah lalu beliau sendiri beserta dengan pengikutnya mendatangi si Akek lalu ditangkapnya.


Apalah daya si Akek Utun untuk melawan memandangkan segerombolan monyet yang besar-besar sudah menghampiri dan menangkapnya. Akhirnya si Akek Utun dibawa oleh Raja monyet ke sarang tempat dia tinggal. Beliau diikat di sepohon pokok dan dibiarkan bermalam di situ tanpa ada perlindungan dari panas dan hujan.


Keesokan harinya iaitu apabila menjelang pagi, Raja Monyet menghampiri si Akek yang diikat di sebatang pohon dan bertanya apakah mimpinya di waktu malam. Lalu si Akek yang jujur menjawab bahawa mana mungkin dia dapat bermimpi sedangkan beliau sendiri tidak dapat tidur kerana kesejukan. Mendengar jawapan itu, Raja Monyet terus berlalu pergi dan hampir 3 hari lamanya setiap pagi Raja Monyet akan bertanya soalan yang sama dan si Akek Utun tetap memberikan jawapan yang sama jua.


Pada hari yang ke-4, Raja Monyet telah mengarahkan agar si Akek Utun dipindahkan ke tempat yang lebih selesa. Pada masa itu juga si Akek Utun turut diberikan makanan serta minuman yang enak-enak sehingga beliau kekenyangan. Bila sudah kenyang ditambahlagi si Akek Utun sudah beberapa hari tidak tidur maka lelaplah beliau sehingga keesokan harinya.


Pada pagi ke-5, sekali lagi Raja monyet bertanya soalan yang sama kepada si Akek Utun yang baru sahaja bangun dari tidur dan masih di dalam keadaan mamai. Jawapan beliau juga sudah berlainan dengan mengatakan kepada Raja Monyet bahawa malam tadi beliau bermimpi melihat ada banyak buah-buah yang masak di hulu sungai. Mendengar jawapan itu lalu Raja Monyet memerintahkan agar kesemua kumpulannya bersedia untuk ke hulu sungai. Maka ditinggalkannya dua daripada anaknya yang masih kecil untuk menemani Akek Utun di sarang mereka.


Di ketika kumpulan monyet telah meninggalkan si Akek Utun bersendirian dengan ditemani oleh dua ekor monyet yang masih kecil, pada ketika itulah beliau mengambil kesempatan dengan menangkap dua ekor anak monyet itu lalu merebus mereka di dalam satu kawah. Kedua-dua anak monyet meronta-ronta kepanasan dan akhirnya mati kekerasan dengan mulut yang ternganga luas seolah-olah sedang ketawa.


Dengan secepat kilat jua, si Akek terus mengambil dua ekor monyet yang mati itu lalu diletakkan di pohon dimana dia diikat beberapa hari yang lepas. Baru sahaja selesai meletakkan dua ekor monyet yang mati itu, dari kejauhan si Akek sudah mendengar ketibaan kumpulan Raja Monyet. Si Akek Utun sudah mengetahui sudah tentu Raja Monyet marah sebab jawapan yang beliau berikan itu hanya rekaan semata-mata.


Sebenarnya tiada sedikitpun buah-buahan yang masak di hulu sungai memandangkan ini bukan musimnya. Maka dengan secepat kilat, si Akek Utun yang kudung kakinya memanjat dan bersembunyi di sebatang pokok ketapang tidak jauh dari situ.


Setiba Raja Monyet dan kumpulannya, mereka tidak begitu mengambil perhatian mengenai 2 ekor anak monyet yang dilihat sedang ketawa di sebuah pohon berdekatan dengan sarangnya. Namun akhirnya apabila diperiksa seluruh sarangnya barulah mereka mengetahui bahawa si Akek Utun sudah lepas lari. Maka pada ketika itulah baru mereka sedar bahawa 2 anak monyet yang dikatakan seperti ketawa itu sebenarnya sudahpun mati kekerasan. Maka marahlah Raja Monyet lalu mengarahkan kumpulannya untuk mencari si Akek Utun sampai dapat.


Akhirnya tempat persembunyian iaitu di atas pokok ketapang diketahui oleh Raja Monyet. Raja Monyet menjerit mengarahkan si Akek Utun turun dari pokok ketapang yang tinggi itu jika tidak buruk padahnya. Si Akek Utun mengetahui bahawa tiada daya untuk melawan segerombolan monyet untuk menangkapnya di atas pokok. Maka disinilah ideanya untuk menghapuskan kumpulan monyet tersebut.


Sekali lagi si Akek Utun menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Raja Monyet. Si Akek Utun menjerit memberitahu kepada Raja Monyet bahawa malam tadi juga dia didatangi mimpi bahawa Raja Monyet dan kumpulannya hanya boleh mendapat buah-buahan yang ranum masak dengan menggunakan tali yang ada padanya. Sesiapa yang mendapat tali itulah yang akan menjadi monyet yang paling penting antara monyet di dunia.


Maka berasak-asaklah sekumpulan monyet untuk mendapatkan tali yang dihulurkan oleh si Akek Utun dari pokok ketapang. Setiap monyet yang cuba memanjat tali itu juga pada aras tertentu akan dipotong oleh si Akek Utun dan akhirnya mereka mati terjatuh tersembam ke tanah. Dan akhirnya hanya tinggal dua ekor monyet yang tidak mati yang mana seekor jantan dan seekor betina yang langsung tidak mahu memanjat tali tersebut.


Sebaliknya kedua-duanya terus melarikan diri masuk ke bahagian hutan yang paling dalam. Kononnya akibat daripada tipu muslihat si Akek Utun inilah juga menyebabkan monyet hampir hilang di hutan belantara Belaga dan monyet yang berdua itulah sebenarnya yang menjadi nenek-moyang kepada monyet-monyet yang ada sekarang.


Inilah antara versi cerita legenda mengenai seorang yang bernama Akek Utun iaitu seorang pemuda Kejaman yang kudung kakinya tetapi seorang yang kuat bekerja dan bijak juga.


Sebenarnya orang-orang tua di dalam masyarakat Kejaman juga mempunyai budi bicaranya di dalam memperjelaskan beberapa hal yang mungkin berlaku di dalam penghidupan kita yang mendatang.

Fahami jalan cerita legenda si Akek Utun ini yang mempunyai maksud yang tersirat di sebalik yang tersirat yang sesungguhnya banyak mengajar kita mengenai rentak hidup yang sebenar.


Sesungguhnya kaum-kaum di Sarawak tidak pernah kurang dengan cerita legenda yang menarik tetapi sayangnya tidak begitu popular kerana tidak diwar-warkan buat iktibar kita semua.


bottom of page