top of page

KISAHNYA INSPEKTOR REGGIE ANAK DELI


KISAHNYA INSPEKTOR REGGIE ANAK DELI


SEMASA zaman darurat komunis suatu waktu dahulu, anggota keselamatan kita yang terlibat di dalam operasi-operasi mencegah komunis bukan sahaja berperang di daratan yang sudah tentu jika difikirkan lebih mudah. Namun dengan keadaan mukabumi Sarawak itu sendiri sudah tentu ada sesetengah perang itu berlaku diatas air. Dan apabila berkata mengenainya terselit satu sejarah semasa zaman darurat komunis yang menyaksikan anggota keselamatan kita menggunakan segala akal fikirannya untuk menumbangkan musuh biarpun terpaksa bertempur di atas bot panjang.


Inspektor (B) Reggie anak Deli mungkin satu nama yang tidak dikenali oleh anak Sarawak sendiri namun inilah sebenarnya perwira kebanggaan kita yang tidak didendangkan namun terpahat namanya sebagai antara 20 orang yang dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (Grand Knight Of Valour) iaitu pengurniaan pingat yang paling tertinggi di dalam darjah kebesaran di Malaysia malah lebih tinggi daripada Darjah Kerabat Diraja Malaysia. Bukan calang-calang individu yang mampu dianugerahkan pingat sedemikian jika tidak mempunyai jasa dan keberanian yang istimewa pada Negara Malaysia.

Anak Sarawak berasal dari Simunjan ini memasuki dunia kepolisian iaitu Pasukan Polis Hutan Sarawak (Sarawak Field Force) pada Julai 1961 di ketika usianya 27 tahun. Perkahwinan beliau dengan Piah Andar (meninggal dunia pada tahun 1990) mengurniakan pasangan ini dengan 5 orang anak iaitu Lilian Reggie, David Reggie, Logie Reggie, Caroline Reggie dan Alexander Reggie.


Digambarkan sebagai seorang ayah yang penyayang namun tegas dan komited dengan tugasnya sebagai seorang anggota Polis. Inilah Inspektor (B) Reggie anak Deli yang mana kisah keberaniannya bertempur dengan komunis di Sungai Kemena, Bintulu menjadi antara kebanggaan dan idol di dalam dunia kepolisian Malaysia sehingga sekarang.


Kisahnya bermula pada 10hb April 1973 yang mana pada ketika itu satu pasukan PPH Sarawak telah mendapat arahan untuk menyiasat satu maklumat mengenai keberadaan sekumpulan pengganas komunis di satu perkampungan iaitu Rumah Panjang Tayai dan Rumah Panjang Nayom yang terletak di Sungai Kemena, Bintulu. Pada ketika itu, Reggie anak Deli masih lagi berpangkat Sarjan telah diarahkan untuk mengetuai 14 orang anggota dari Platun 9 Kompeni C/D BN PPH Sibu bagi menjejak kumpulan komunis ini.


Oleh kerana kawasan yang dijejaki ini hanya mempunyai hubungan sungai maka tiada jalan lain melainkan membuat pemeriksaan dengan menggunakan bot panjang. Atas arahan Sarjan Reggie maka platun mereka dibahagikan kepada 2 iaitu 6 orang bersama beliau di atas satu bot panjang manakala bakinya pula menggunakan bot panjang yang lain. Selepas siaga semuanya maka kedua-dua bot ini mula menyusuri Sungai Kemena dengan penuh berhati-hati.


Pada satu lokasi di Sungai Kemena, 2 bot panjang PPH ini bertembung dengan satu bot lonci Melanau yang agak mencurigakan. Atas naluri seorang anggota keselamatan yang sudah tahu ada sesuatu yang tidak kena maka beliau mengarahkan anggotanya untuk mengejar bot lonci tersebut. Maka bermulalah adegan kejar mengejar antara mereka sehingga menyebabkan satu lagi bot panjang PPH dikatakan rosak enjinnya maka terpaksalah Sarjan Reggie dan 6 anggotanya bersendirian mengejar bot lonci tersebut.


Diketika sudah hampir menghampiri bot lonci itulah dikatakan 4 pengganas komunis tiba-tiba muncul dari tempat persembunyian dari dalam bot lonci Melanau itu lalu melepaskan tembakan ke arah mereka. Rupa-rupanya benarlah sangkaan Sarjan Reggie bahawa bot lonci Melanau itu dipunyai oleh anggota komunis yang hendak menyamar menjadi orang tempatan. Ada yang berbaju biasa manakala ada yang bersembunyi di dalam bot untuk mengelak identiti mereka dikenalpasti.

Walau mereka sudah menjadi sasaran mudah dengan taburan peluru daripada komunis namun itu tidak pernah melemahkan mereka. Maka hiruk pikuklah dentuman peluru memecah keheningan petang Sungai Kemena pada masa itu apabila kedua-dua mereka berbalas tembakan. Cuak dengan keberanian anggota PPH dibawah Sarjan Reggie ini dikatakan 3 pengganas komunis terjun ke dalam Sungai Kemena dan berenang ke tebing sungai untuk mencari perlindungan.


Tanpa memperdulikan komunis yang berenang ke tepian, Sarjan Reggie mengarahkan Koperal Liaw Marung, Sarjan Antie Imang dan Konstabel Rawin melompat ke dalam bot lonci Melanau itu dan menghapuskan kesemua 3 lagi komunis yang masih lagi berada di dalam bot tersebut. Ketiga-tiga anggota PPH ini tanpa ada rasa takut terus bertempur dengan baki komunis yang masih bertahan di atas bot lonci sehingga mampu membunuh mereka kesemuanya.


Manakala Sarjan Reggie dan 2 lagi unit platunnya iaitu Konstabel Richard Muli dan Konstabel Hentick mengejar 3 komunis yang cuba melepaskan diri. Tanpa belas ikhsan mereka menembak ke arah komunis yang berenang dan berjaya membunuh 2 daripada mereka. Seorang lagi dikatakan berjaya melarikan diri namun dikhabarkan cedera terkena tembakan.


Selesai pertempuran dengan menyaksikan 6 orang pengganas komunis mati di tangan Sarjan Reggie dan anak-anak buahnya maka satu siasatan menyeluruh ke atas bot lonci melanau itu dilakukan. Diketika itulah merekalah menemui 5 laras shotgun buatan sendiri dengan 13 kelongsong besar peluru serta pelbagai dokumen komunis dan ubat-ubatan yang dikatakan untuk dibawa ke markas mereka.


3 mayat ditemui bergelimpangan di dalam bot lonji manakala 2 lagi di satu kawasan cetek di Sungai Kemena. 2 hari kemudian barulah ditemui satu lagi mayat komunis yang sudah busuk dengan berpakaian hijau lengkap dengan peralatan di satu kawasan kira-kira 2 batu ke hilir Sungai Kemena.

Pertempuran Sarjan Reggie dan anggota platunnya seramai 6 orang dengan sekumpulan komunis ini hanya berlangsung dalam waktu yang singkat iaitu sekitar 20 minit sahaja. Namun ianya bukan sembarangan pertempuran kerana jarak antara mereka dengan musuh hanya sekitar 30 ela sahaja.


Biar jarak begitu dekat tetapi berpantang mati sebelum ajal, semangat dan keberanian mereka yang tidak kenal erti takut menyebabkan pertempuran di Sungai Kemena ini diingati sepanjang zaman di dalam sejarah era darurat komunis di Sarawak. Dan ditambah lagi tiada langsung yang terkorban dan hanya kerosakan pada bot panjang serta enjin sangkut di pihak pasukan PPH pada masa itu.

Atas kecemerlangan inilah juga Sarjan Reggie dinaikkan pangkat menjadi Inspektor pada tanggal 1 Jun 1973 dan seterusnya menjadi Pegawai Penjaga Platun BN PPH Miri. 15 November 1973 pula menyaksikan Inspektor Reggie dikurniakan darjah kebesaran paling tinggi di dalam Persekutuan Malaysia yang dianugerahkan oleh Yang Dipertuan Agung Malaysia yang ke-V iaitu Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Pada tahun 1986 pula, Inspektor Reggie bersara daripada dunia kepolisian atas sebab-sebab kesihatan.

Inspektor (B) Reggie anak Deli akhirnya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Umum Sarawak pada usianya 78 tahun akibat sakit tua pada 11hb Julai 2012. Penghormatan pengebumian penuh dengan adat istiadat polis diberikan kepada perwira ini ketika mendiang disemadikan di Anglican Cemetery, Batu Kitang, Kuching.


Inilah kisahnya seorang anggota Polis Hutan Sarawak yang gah namanya kerana sumbangannya serta keberaniannya memerangi komunis di dalam sejarah era darurat komunis di Sarawak. Biar dia tiada lagi namun perjuangan dan pengorbanannya dilupa jangan.


LEST WE FORGET!




Rujukan:

1. Borneo Post 14 July 2012: Insurgency hero Reggie laid to rest

2. Buku Berjudul: 'Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru' terbitan Arkib Negara dan Muzium PDRM.

bottom of page