top of page

APA SALAHNYA DENGAN GALERI BROOKE?


APA SALAHNYA DENGAN GALERI BROOKE?

BEBERAPA hari ini pihak admin menerima banyak pm inbox mahupun email dari follower page dan blog Borneo Oracle mengenai pembukaan Galeri Brooke yang baru sahaja dirasmikan beberapa hari lepas di Kuching, Sarawak. Rata-rata maklumbalas banyak memperkatakan tentang kebimbangan mereka mengenai beberapa perkara berbangkit terutama sekali mengenai protes terhadap pembukaan galeri yang merupakan tindakan yang menjengkelkan lebih-lebih lagi apabila kita berbicara mengenai sejarah sebenar Sarawak itu sendiri.

Sebagai satu page yang sentiasa menyajikan sejarah sebenar Sarawak Bumi Kenyalang, Borneo Oracle juga senada seirama dengan ramai follower page yang rata-ratanya menantikan penubuhan Galeri Brooke kembali ke Kuching, Sarawak lebih-lebih lagi di Fort Margherita yang sememangnya sinonim dengan pembinaannya oleh dinasti pemerintahan 100 tahun keluarga Brooke di Sarawak suatu waktu dahulu. Dan yang pasti tujuannya sudah tentu BUKAN UNTUK MENUNTUT BROOKE KEMBALI KE SARAWAK tetapi ianya adalah semata-mata untuk menceritakan sejarah sebenar setelah kurangnya ilmu pengetahuan kita mengenai sejarah Sarawak itu sendiri selama ini.

Apalah yang hendak digentarkan sedangkan melalui sejarah juga membuktikan bahawa Keluarga Brooke sudah tidak boleh lagi membuat tuntutan mereka ke atas Sarawak sejak di tahun 1951 lagi apabila Rajah Muda Anthony Walter Dayrell Brooke memutuskan untuk membiarkan sahaja Sarawak menjadi sebahagian daripada Koloni British. Malah sepanjang hidupnya Mendiang Rajah Muda Anthony dan keluarganya dianggap sebagai “pengkhianat” kepada Baginda Ratu Elizabeth kerana keengganannya menyerahkan Sarawak sehingga beberapa kali dipecat dari jawatan Rajah Muda oleh Rajah Charles Vyner Brooke yang sudah muak untuk memerintah dan dikatakan hanya mahukan imbuhan atas dasar melepaskan Sarawak menjadi jajahan Koloni British pada tahun 1946.

Dan adalah sesuatu yang agak pelik apabila kita mengamati sepanduk-sepanduk yang dibawa oleh mereka yang memprotes dengan mempersoalkan tentang perjanjian 1840 iaitu antara perjanjian yang menjadikan Sarawak itu sebagai milik Brooke pada waktu itu. Menaikkan sepanduk seperti begitu sebenarnya seolah-olah menyatakan bahawa Sarawak itu TIDAK SAH sebagai sebuah Negara yang bebas merdeka seperti mendapat pengiktirafan daripada Amerika Syarikat pada tahun 1850 itu sendiri. Malah sejarah juga membuktikan bagaimana suatu ketika dahulu Sarawak dibawah Brooke, North Borneo dan Negara Brunei Darussalam juga adalah Negara Protectrate kepada Koloni British iaitu menurut Perjanjian 1888.

Jika kita mempersoalkannya bermakna kita juga sebenarnya menyatakan bahawa Sarawak ini milik kepada Kesultanan Brunei Darussalam. Sedangkan hakikatnya sejak Dinasti Keluarga Brooke memerintah perluasan empayarnya berdasarkan kepada wilayah-wilayah yang didapati samada dengan persetujuan daripada Sultan Brunei yang kebanyakannya bagi meredakan pemberontakan rakyat Sarawak yang jelak dengan pemerintahan Brunei di wilayah Sarawak.

Contohnya Perang Kayan 1974 menyaksikan masyarakat Kayan lebih memilih untuk berada di bawah pentadbiran Brooke. Perang ini merebak sehingga ke wilayah Brunei itu sendiri sehingga Sultan Brunei mahu tidak mahu menurut kehendak masyarakat Baram pada masa itu. Dan pada tahun 1882 menyaksikan Brunei menerima imbuhan sebanyak $4,200 saban tahun daripada Brooke atas pemberian wilayah Baram sebagai pembentuk kepada Sarawak pada masa itu.


Itu ceritanya mengenai wilayah-wilayah Sarawak yang kita warisi sekarang iaitu yang membentang dari Tanjung Datu sehingga ke Lawas. Dan jika kita berbicara dari konteks “bunuh membunuh” itu sudah semestinya ada di dalam penubuhan sebuah Negara di dunia sejak manusia mengenal apa erti ketamadunan. Kita akur ada sesetengah cerita sejarah itu kejam seperti Ekspedisi Balui yang menyaksikan pembunuhan masyarakat Kajang atas kerana perluasan empayar Brooke. Juga apa yang terjadi kepada pelombong-pelombong Cina Kongsi 13 di Bau suatu waktu dahulu. Memang ianya tidak dinafikan tetapi itulah antara sejarah hitam penubuhan sebuah Negara yang ada pada mana-mana sejarah ketamadunan di dunia.


Tetapi di dalam pada itu jangan juga kita pernah lupa bahawa Brooke juga membawa kemakmuran kepada rakyat Sarawak itu sendiri. Jika tidak kerana Brooke mahu bersatu dengan Datu Patinggi Ali untuk memerangi Pengiran Indera Mahkota yang zalim pada Perang Siniawan 1840 mungkin kita masih lagi menjadi hamba kepada pembesar-pembesar Brunei. Contohnya sejarah Lombong Tegora iaitu lombong antimony di Bau yang dahulunya menjadi salah satu tempat untuk perhambaan berleluasa. Berapa ramai masyarakat Melayu mahupun Bidayuh yang menjadi buruh paksa mahupun hamba sahaya kepada pembesar Brunei pada masa itu. Brooke bersatu dengan Datu Patinggi Ali memerangi mereka sehingga akhirnya Datu Patinggi Ali, anak Sarawak terkorban di Perang Patusan untuk memastikan Pengiran Indera Mahkota dan kuncu-kuncunya nyah dari bumi Sarawak.

Tidak cukup dengan itu, mana mungkin kita menafikan penglibatan Brooke di dalam peristiwa Bung Bratak bagi masyarakat Bidayuh. Brooke bersatu dengan Panglima Kulow untuk membebaskan masyarakat Bidayuh yang telah ditawan oleh Orang Skrang pada tahun 1841. Peristiwa itu sehingga sekarang diingati malah dicatitkan sebagai antara acara kalendar pelancongan Sarawak yang mana masyarakat Bidayuh memperingati mengenai asal nenek moyang mereka di Bung Bratak.

Malah cerita sejarah bagaimana keadaan saat getir pada tahun 1876 yang menyaksikan satu perang yang hampir meletus antara Raja Aban Jau iaitu Raja Orang Ulu dengan Orang Kaya Ladong dan Lebaii di Sibuti. Pada ketika itu hanya kerana pertelingkahan hamba sahaja satu perang yang pasti mengorbankan banyak nyawa telah berjaya dihentikan oleh campurtangan Brooke tanpa setitis darahpun kerana awal-awal lagi beliau sendiri yang akan memerangi Raja Aban Jau pada masa itu.

Hakikatnya bunuh membunuh itu tetap ada di Sarawak mahupun Borneo tanpa Brooke atau tidak kerana tradisi perang kayau atau perang perluasan kuasa yang menyaksikan setiap kaum di Sarawak berperang sesama sendiri sehingga kita sendiri mengiyakan bahawa banyak etnik-etnik pupus disebabkannya contohnya etnik Seru yang tiada pernah kita dengar lagi hal mereka. Kepala dipenggal dan dijunjung untuk menjadi tradisi gah kekuatan sesuatu etnik dahulukala.

Dan siapakah yang menghentikan perang tradisi ini dari terus berlaku di Sarawak? Jawapan yang pasti adalah dinasti pemerintahan Brooke yang sejak di tahun 1840an lagi sudah tidak mahu peristiwa seperti itu ada di Sarawak. Dan ianya hanya benar-benar terhenti sekitar tahun 1920an. Jadi jika tiada sumbangan Brooke sudah tentu mungkin generasi yang memegang sepanduk mahupun pembaca artikel ini termasuk admin yang menulis artikel ini tidak mampu berfacebook untuk merasa penghidupan moden sekarang.

Hakikatnya tiada apa yang salah sekiranya Galeri Brooke dibuka di Sarawak kerana walau apa jua yang kita cuba perkatakan sejarah Brooke TIDAK BOLEH DIPADAM di dalam sejarah penubuhan Sarawak itu sendiri. Baik sejak ianya menjadi wilayah kuripan Kesultanan Brunei mahupun Sarawak Kingdom malah Sarawak, Malaysia sekarang. Bayangkan kewujudan Galeri Brooke ini sudah tentu mampu menjana industry pelancongan di Sarawak sekarang yang semakin malap hanya tiada yang istimewa lagi.

Inilah survival kita sebagai Sarawak, Malaysia sekarang dan dengan adanya Galeri Brooke ini sudah tentu ramai cendikiawan dan penganalisa sejarah akan bertandang ke Sarawak kerana disinilah berhimpunnya artifak-artifak milik Brooke untuk diselidiki dan dikaji. Malah setiap rakyat Malaysia amnya anak Sarawak khususnya boleh mengkaji sejarah yang banyak kita tidak ketahui selama ini kerana ianya tiada di dalam sistem pembelajaran Sejarah Malaysia.

Usahlah kita berfikiran dangkal dengan menidakkan sejarah ini semua dan cuba mempolitikkan pembukaan galeri ini. Hakikatnya ada banyak lagi yang harus kita lakukan jika benar-benar kita mempunyai jiwa patriotism. Lebih baik kita bersatu dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak agar autonomi kita dikembalikan kerana disitulah terletaknya agenda untuk kita menjadi rakyat Sarawak yang negerinya makmur dengan banyak infrastruktur dan ekonomi yang melimpah ruah buat kesenangan kita bersama.

Yang pasti walau sejarah itu cuba ditukar dengan tinta darah sekalipun, samada kita sebagai rakyat Sarawak suka atau tidak SEJARAH KELUARGA BROOKE, BANGSA INGGERIS ITU JUGA ADALAH SALAH SATU SEJARAH PENUBUHAN SARAWAK. Berlapang dadalah dengan sejarah kerana sejarah itu juga pembentuk jati diri kita sebagai anak Sarawak. Yang baik jadikan tauladan dan yang tidak baik kita jadikan sempadan.


bottom of page