WESTERN TARSIER
WESTERN TARSIER
MAKHLUK tuhan yang terlalu ganjil dan unik di dunia. Keganjilan itulah yang menyebabkan ianya terlalu istimewa kerana dikatakan matanya lebih besar daripada otaknya dan badannya terlalu kecil jika dibandingkan dengan matanya. Haiwan yang dimaksudkan itu dinamakan Western Tarsier yang mana habitatnya hanya ada di Pulau Borneo dan Pulau Bangka Belitung, Sumatera. Di Filipina juga mempunyai spesis Tarsier tetapi ianya bukan dari jenis yang sama iaitu di Filipina habitatnya dihuni oleh jenis Eastern Tarsier.
Dengan nama saintifiknya Cephalopachus Bancanus, Western Tarsier adalah merupakan antara haiwan lindungan di 3 buah Negara di Borneo iaitu di Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam. Di Sarawak mungkin ramai mempunyai nama khas untuk memperkatakan haiwan ini berdasarkan slanga etnik. Di Brunei, Western Tarsier dinamakan Tempelileh manakala untuk di Pulau Bangka Belitung pula ianya merupakan ikon binatang bagi mereka dengan lebih dikenali dengan nama Mentilin.
Di Sarawak, habitat Western Tarsier banyak tertumpu di kawasan seperti Tanah Tinggi Kelabit serta beberapa kawasan yang mempunyai tumbuhan seperti buluh atau hutan sederhana yang banyak terdapat di Sarawak. Namun begitu dikatakan oleh kerana banyaknya aktiviti pembukaan hutan samada untuk aktiviti balak dan juga pembukaan ladang kelapa sawit menyebabkan banyak Western Tarsier terpaksa melarikan diri demi survival sehingga ke kawasan penempatan manusia. Sedangkan pada hakikatnya haiwan Western Tarsier ini merupakan sejenis haiwan yang pemalu dan agak takut dengan dunia manusia.
Salah satu mengapa spesis ini harus dilindungi kerana ianya tidak membiak dengan banyak seperti haiwan-haiwan yang lain. Dikatakan ianya hanya mencapai tempoh dewasa pada umurnya 1 tahun dan caranya untuk mengawan adalah dengan mengeluarkan bunyi pada pic yang tinggi yang hanya boleh didengar oleh tarsier jantan. Semasa proses mencari pasangan, mereka akan kedengaran bising tetapi setelah menemui pasangannya dan proses mengawannya berlaku adalah didalam keadaan senyap dan jauh daripada manusia.
Semasa tarsier betina bunting, tempohnya adalah selama 6 bulan dan pada ketika itu berat kandungannya boleh seberat ¼ berat badan ibunya. Dengan saiz yang kecil dan ditambah dengan berat kandungan sudah tentu ianya cukup membebankan tarsier betina. Kelahirannya pula dikatakan bayi tarsier sudah mula aktif pada hari pertama ianya dilahirkan di dunia dan sudah mula memburu makanan pada usianya menjangkau 42 hari. Namun begitu disebalik cerita ini juga dikatakan jumlah yang hidup setelah dilahirkan adalah terlalu sedikit sehingga menyebabkan populasi untuk menjadi tarsier dewasa juga sedikit.
Dengan kemusnahan habitatnya serta seringkali menjadi mangsa manusia yang sebenarnya tidak mengetahui mengenainya menyebabkan spesis Western Tarsier di Borneo sedang diancam kepupusan sekiranya tidak dilindungi. Jadi berdasarkan undang-undang, Western Tarsier tidak boleh ditangkap sembarangan dan sekiranya menemuinya adalah lebih elok untuk menghubungi badan Kerajaan yang terlibat.
Sama-samalah untuk kita cuba mengenali antara binatang yang cukup berharga bagi Borneo dan Pulau Bangka Belitung ini. Kejahilan dan sifat rangkus kita sebagai manusia adalah “pembunuh” untuk makhluk Tuhan ini. Sama-samalah kita memikul tanggungjawab untuk memastikan ianya survive di hutan kita dan jangan biarkan generasi mendatang hanya mampu melihat gambarnya sahaja satu hari kelak.