top of page

KUNTAU BANGKAUI


KUNTAU BANGKAUI

- Seni Silat Masyarakat Dayak Borneo


BILA berbicara mengenai seni silat mungkin ramai yang membayangkan pahlawan-pahlawan Melayu yang arif berpencak silat seperti yang sering menghiasi ruang seni bela diri seantero alam nusantara. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di kalangan masyarakat Dayak di Borneo juga tidak pernah kurang dengan seni mempertahankan dirinya yang dikenali sebagai seni Kuntau atau Kuntau Bangkaui yang diwarisi zaman berzaman lamanya.


Dengan menggunakan taktik utama iaitu “mundur dan menyerang”, seni kuntau bangkaui adalah seni beladiri yang tidak pernah menggunakan serangan lawan sebagai senjata untuk membuat serangan kembali sebalik ianya banyak bersandarkan kepada menghindari atau menepis setiap serangan dengan menggunakan seluruh anggota badan seperti gerakan tangan, bahu, penumbuk, telapak tangan, jari jemari, pergelangan kaki dan lutut yang gagah untuk mempersiapkan kedudukan kuda-kudanya. Inilah seni beladiri yang sebenarnya turut mewarnai perang-perang perluasan wilayah di Borneo suatu waktu dahulu selain daripada penggunaan parang, perisai, tombak dan sebagainya sebagai senjata perang.


Menurut sejarahnya kuntau bangkaui telah mula dipraktikkan di Borneo sejak di kurun ke 5 masihi lagi iaitu ianya ada kena mengena dengan sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Dayak iaitu cerita antara seorang tua dengan sang monyet. Diceritakan pada masa itu ada seorang tua dari kalangan masyarakat Dayak Borneo yang memburu di hutan dan ditengah perjalanan beliau terserempak dengan segerombolan monyet. Di ketika orang tua itu sudah siap siaga lalu membalingkan tombaknya kearah seekor monyet, dikatakan monyet tersebut dengan mudahnya mengelak setiap tombakan yang dilontarkan.


Kehabisan tombak menyebabkan orang tua itu menggunakan sumpitnya pula. Dan ironinya setiap sumpitan damak beracun tidak juga mengena monyet tersebut. Berang kerana tiada yang mengena akhirnya memaksa orang tua itu mengeluarkan satu-satunya parang mandaunya untuk menyerang sang monyet. Namun setiap libasan parangnya tiada yang mengena sang monyet tersebut kerana pandainya sang monyet mengelak. Kerana keletihan akhirnya orang tua tersebut membiarkan saja sang monyet berlalu pergi sementara beliau sendiri pulang dengan tangan kosong menuju ke rumah panjangnya.


Di dalam perjalanan pulang, orang tua itu terus-terusan berfikir tentang kejadian pelik yang dialaminya. Dari gerakan yang ditunjukkan oleh sang monyet itu menyebabkan orang tua itu mendapat satu idea iaitu alangkah moleknya jika seni mempertahankan diri yang diadaptasi dari gerakan monyet itu dipraktikkan di dalam masyarakatnya. Dan sejak itulah dikatakan bahawa orang tua ini telah mula mempelajari seni mempertahankan sang monyet berdasarkan pengalamannya beradu secara empat mata dengan monyet tersebut. Dan beliau sendiri dikatakan menggunakan segala teknik itu ketika menyertai satu perang kayau dan berjaya.


Oleh kerana hebatnya beliau menepis setiap serangan sewaktu Perang Kayau itu menjadi perhatian teman-teman seperjuangannya suatu perang maka bertitik tolak dari itulah seni kuntau bangkau mula menjadi perhatian masyarakat Dayak di Borneo. Setiap buah silat kuntau juga dikatakan mempunyai keistimewaannya tersendiri yang melambangkan dari mana kawasan dayak itu mempelajarinya. Akhirnya seni kuntau ini menjadi antara seni beladiri wajib ada bagi setiap bujang-bujang berani di kalangan masyarakat Dayak di Borneo.


Antara ciri-ciri istimewa untuk menjadi arif berkuntau bangkaui ini tidaklah bergantung kepada bentuk tubuh yang sasa sahaja sebaliknya ianya adalah seni silat yang menggabungkan aspek seni dan olah tubuh. Kerana gabungan itulah yang menjadikan yang lemah menjadi kuat mahupun yang berbadan gempal menjadi tegap dan sasa. Bentuk fizikal bukan ukuran untuk menyatakan bahawa seseorang itu tidak pandai berkuntau bangkaui.


Namun sayangnya seni kuntau bangkaui ini sekarang tidaklah begitu dipelajari di kalangan masyarakat Dayak sendiri dan mungkin generasi baru dari kalangan masyarakat Dayak tidak mengetahuinya. Cuma yang ada sekarang kebanyakan seni kuntau bangkaui ini banyak diselitkan di dalam acara seni tari mereka seperti di dalam rentak tari perang yang masih dipertahankan sehingga sekarang.


Seharusnya seni kuntau bangkaui ini dihidupkan semula untuk dipelajari generasi baru supaya ianya tidak terus pupus dan hanya menjadi satu sejarah lama. Ianya adalah antara warisan masyarakat Dayak yang tidak harus hilang begitu sahaja malah wajar dipertahankan sampai bila-bila.


bottom of page