FROM SEBUYAU WITH LOVE
FROM SEBUYAU WITH LOVE
TERLETAK di persempadanan antara Sri Aman dan Simunjan menjadikan daerah kecil ini begitu unik sekali. Daerah Sebuyau terletak kira-kira 80.5 km daripada ibukota Kuching, Sarawak. Untuk ke daerah ini sudah ada perhubungan jalanraya yang baik namun begitu sesetengah kawasannya harus melalui beberapa perhubungan feri di dalam perjalanannya. Masyarakat yang mendiami Sebuyau rata-ratanya adalah dari etnik Iban Sebuyau dan juga Melayu Sarawak.
Dari segi geografinya, daerah Sebuyau secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berpaya di bahagian pedalamannya dan juga turut mempunyai tanah rendah di persisiran pantai dan tebingan Sungai Batang Sadong. Oleh kerana keadaan geografi inilah juga turut memainkan peranan ekonomi setempat penduduknya yang lebih kepada sektor perikanan dan juga pertanian.
Walaupun setakat ini tiada lagi dokumen sahih yang dapat dijadikan sandaran namun Sebuyau mengikut bahasa standard manakala rata-rata orang Sarawak lebih gemar menggelarnya dengan nama “Buyo” atau “Sebuyo”. Menurut sumber cerita lisan orang-orang tua di Sebuyau, daerah ini mendapat nama berdasarkan satu jenis ketam yang dikenali dengan nama tempatannya “Buyo”. Dikatakan suatu waktu dahulu ketam “Buyo” banyak terdapat di persisiran pantai dan sungai di Sebuyau. Oleh kerana ianya menjadi sumber mata pencarian kepada penduduk setempat maka akhirnya daerah yang tidak bernama ini dikenali dengan nama “buyo” yang kemudiannya dipertuturkan menjadi “Sebuyau” atau “Sebuyo” mengikut slanga penduduk tempatan. Sayangnya sejajar dengan waktu jenis ketam “buyo” ini dikatakan sudah pupus dan hanya yang tinggal adalah namanya sahaja sekarang.
Jangan memandang sepi sejarah kawasan-kawasan di Sebuyau kerana ianya juga sebenarnya menyimpan pelbagai sejarah lama yang tidak begitu diketengahkan buat pengetahuan kita. Misteri Bukit Ruai sebenarnya turut menjadi tarikan di Sebuyau. Dikenali dengan nama Bukit Ruai kerana suatu waktu dahulu disinilah tempat tinggal bagi sejenis burung yang dikenali dengan nama Burung Ruai. Namun kerana adanya aktiviti kuari di Sebuyau menyebabkan burung ruai tidak lagi ada di Bukit Ruai.
Dan sesuatu yang sehingga sekarang menjadi misteri adalah bagaimana Bukit Ruai dikatakan tidak pernah kering dengan air yang bersih buat bekalan masyarakat di Sebuyau. Walaupun hakikatnya Sebuyau telah dilimpahi dengan bekalan air bersih daripada Kerajaan Sarawak namun adakalanya apabila ada sesuatu kerosakan pada air paip sehingga menyebabkan bekalan air tiada, yang menjadi penyelesaiannya adalah Bukit Ruai tempat orang ramai di Sebuyau mendapat bekalan air untuk kegunaan seharian.
Lokasi Sebuyau sebenarnya berdekatan dengan Laut China Selatan dan disinilah juga terletaknya satu pulau kecil yang dikenali dengan nama Pulau Burung. Pulau Burung sebenarnya merupakan antara pulau “penyelamat” untuk nelayan-nelayan berteduh ketika laut tengah bergelora. Namun disebalik kegunaannya itu, di Pulau Burung ini juga mempunyai satu tapak perkuburan Islam lama. Dikatakan melalui catitan batu nisan ianya adalah tapak perkuburan lama sekitar kurun ke-16 Masihi.
Berdasarkan kepada catatan itu juga menunjukkan bahawa masyarakat Melayu di Sebuyau adalah antara mereka yang memeluk Islam terawal di Sarawak. Berkemungkinan perkembangan kedatangan Islam ini ada mempunyai perkaitan dengan Sebuyau dahulu merupakan antara tanah jajahan kepada 2 kerajaan negeri yang hilang iaitu Kerajaan Negeri Samarahan dan Kerajaan Negeri Sadong. Kedua-dua kerajaan negeri ini mempunyai perkaitan secara langsung dengan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu.
Dan adalah tidak lengkap penceritaan Sebuyau jika tidak memperkatakan mengenai sejarah Iban Sebuyau yang sudah tentu turut mewarnai ceritera sejarah Sebuyau itu sendiri. Seperti kebanyakan penghijrahan etnik Iban, Iban Sebuyau atau Sembayan juga merupakan etnik yang berasal dari kawasan Sungai Kapuas Hulu suatu waktu dahulu.
Masyarakat Iban Sebuyau yang ada sekarang dikatakan adalah pengikut dan juga legasi daripada ketua mereka iaitu Gelungan dan Sendi yang dahulunya berhijrah dan menetap di Lingga sehingga ke sungai-sungai di Sebuyau. Selain daripada itu ada juga legasi daripada ketua yang bernama Blassan yang berpindah dari Tapang Peraja di Sungai Katungau yang kemudiannya menetap di Sebuyau iaitu di muara Sungai Batang Lupar. Diceritakan masyarakat Iban Sebuyau ini membuka tanah untuk bercucuk tanam sehingga ke kawasan anak Sungai Lintah.
Menurut kronologi sejarah pemerintahan 100 tahun Dinasti Keluarga Brooke di Sarawak pula, tiada siapa boleh menidakkan bahawa Iban Sebuyau adalah antara etnik Iban yang pro-Rajah suatu waktu dahulu. Mereka merupakan antara pahlawan-pahlawan tempatan yang menjadi antara barisan hadapan tentera-tentera Brooke di dalam perangnya untuk meredakan pemberontakan mahupun perluasan empayar Sarawak Kingdom dibawah Brooke suatu waktu dahulu.
Sesungguhnya banyak lagi sejarah di Sebuyau yang tidak begitu kita ketahui namun tidak bermakna kita melupakannya. Apa yang disajikan di dalam artikel ini hanya sepintas lalu sahaja buat sumber perkongsian ilmu kita semua.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya Dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.