LEGENDA BURIANG INAN SARAN
LEGENDA BURIANG INAN SARAN
KEJAMAN mahupun Sihan adalah etnik minoriti di dalam rumpun Kaum Orang Ulu Sarawak. Namun disebalik kekerdilan jumlah mereka jangan pernah memandang sipi akan kekayaan budaya serta tradisi mereka yang unik. Sastera rakyat mereka juga tidak kurang hebatnya sehingga apabila menggodek ceritanya sendiri kagum betapa indahnya dunia penglipurlara mereka dulu-dulu yang diwariskan secara oral dari generasi ke generasi.
Buriang Inan Saran mungkin tidak sehebat namanya seperti penghias legenda Puteri Santubong mahupun Sejinjang. Namun disebalik nama wanita misteri yang diceritakan antara wanita Kejaman yang kecantikannya tiada taranya di kalangan masyarakat Kejaman suatu waktu dahulu. Malah keunikannya sehingga ke hari ini kepercayaan mengenai betapa saktinya wanita ini membawa sehingga ke dunia moden sekarang.
Menurut kepercayaan masyarakat Kejaman, Buriang Inan Saran berasal dari satu perkampungan kecil yang terletak di Letang Ugan iaitu satu perkampungan yang masih wujud sehingga ke hari ini tetapi dihuni oleh masyarakat Sihan iaitu di seberang Pekan Belaga sekarang. Dan kerana itulah juga baik di dalam masyarakat Sihan juga berkongsi kisah yang sama mengenai Buriang Inan Saran.
Dikisahkan bahawa sejak menjadi gadis sunti lagi, Buriang Inan Saran telah terserlah kesaktiannya. Jika kita sekarang menjauhi sang buaya yang cukup terkenal menghuni sungai-sungai di Sarawak tetapi lain pula cerita mengenai gadis Kejaman ini. Sahabat baiknya adalah sang buaya sakti iaitu buaya putih. Dengan buaya itulah beliau diceritakan sering bermandi-manda bersama sehingga menimbulkan kegerunan jejaka Kejaman sendiri.
Diceritakan ada satu ketika entah dimana silapnya, si Buriang Inan Saran merajuk dengan si buaya putih sehingga beliau mengeluarkan satu sumpahan yang akhirnya mengakibat si buaya putih berubah menjadi batu. Dan ianya terus menjadi misteri kerana sehingga sekarang batu putih yang seakan-akan buaya tetap ada di kawasan Belaga. Malah disitu juga dikhabarkan kawasannya agak tandus kerana hanya ada sepohon pokok yang tumbesarannya terbantut sehingga sekarang.
Itulah penangan sumpahan si Buriang Inan Saran, walaupun buaya putih disayangi namun kerana tercalit hatinya mampu disumpahnya menjadi batu. Berhampiran dengan batu buaya putih itu juga dikatakan ada satu kolam semulajadi iaitu satu-satunya kolam yang mampu membekalkan air buat penduduk-penduduk di Belaga jika di musim kemarau. Dan lagi bertambah misteri kerana kolam itu tidak pernah kering dari dahulu sehingga sekarang.
Itu cerita zaman gadisnya si Buriang Inan Saran dan ianya tidak terhenti di situ sahaja kerana kesaktiannya juga turut terpalit pada siapakah yang berjaya mencuri hatinya. Kecantikan, kesaktian serta segalanya tentang si Buriang Inan Saran sentiasa menjadi kekaguman jejaka-jejaka Kejaman mahupun Sihan suatu waktu dahulu. Dan kebiasaannya yang berjaya bukanlah di kalangan orang yang biasa.
Dikatakan, si Buriang Inan Saran bertemu jodohnya dengan seorang jejaka yang tidak kurang kesaktiannya. Namanya Lagjang iaitu seorang jejaka yang mempunyai keturunan di kalangan naga. Lagjang selain daripada seorang perwira Kejaman di Long Litten juga handal beradu tenaga. Boleh dikatakan kedua-duanya apabila berkahwin bagaikan pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan dan perkahwinan itu juga dikatakan berjaya menyatu padukan masyarakat Kejaman di Belaga pada masa itu.
Oleh kerana Lagjang adalah keturunan daripada manusia dan naga, maka diceritakan adakalanya beliau boleh berubah-ubah menjadi naga mahupun manusia. Dan kerana itulah demi menjaga keharmonian rumahtangga serta kecintaannya terhadap suaminya, Buriang Inan Saran sanggup mendirikan mahligai mereka di dalam air.
Inilah cerita legenda mengenai seorang wanita Kejaman yang penuh misteri yang bernama Buriang Inan Saran. Penuh kesaktian tetapi penuh dengan cerita kasih sayangnya terhadap suaminya sehingga sanggup berkorban apa sahaja. Misteri mengenai kesaktiannya bukan hanya menjadi dodoian masyarakat zaman dahulu kala malah sehingga sekarang dikatakan tiada mana-mana masyarakat di Belaga yang berani untuk membina sebarang binaan ataupun menggerakkan apa jua projek-projek di Letang Ugan. Semuanya dihindari kerana tidak mahu mendapat sumpahan daripada Buriang Inan Saran.