FROM KAMPUNG BAKAM, MIRI WITH LOVE
FROM KAMPUNG BAKAM, MIRI WITH LOVE
KAMPUNG Bakam, Miri, Sarawak adalah satu perkampungan yang terletak lebih kurang 20 minit perjalanan daripada bandaraya Miri melalui jalan pesisir pantai (coastal highway) Miri-Bintulu. penduduk-penduduk Kampung Bakam majoritinya adalah dari etnik Miriek. Kampung Bakam terdiri dari beberapa buah kampung iaitu Kampung Bekam, Kampung Pusil (dalam sebutan Meirek "Hussel"), Kampung Siwak, Kampung Raan (dalam sebutan Meirek "Ra'en'), Kampung Tukau, Kampung Kuala Bakam (Kuala bakam majoriti penduduk ialah Melanau) dan Sungai Rait (Sebutan dalam bahasa meirek ialah "likauh Ra'aik" dan majoriti pendududuknya adalah dari Kaum Cina Sarawak).
Adalah dipercayai dari sumber lisan dan juga didokumentasikan bahawa Kampung Bakam telah wujud sekitar 500 tahun dahulu iaitu pada tahun 1622. Dikatakan pada ketika itu ada sekumpulan mereka dari etnik Miriek seramai lebih kurang 50 orang yg di ketuai oleh "Pom Aa'k" telah meneroka dan seterusnya mendiami satu kawasan sungai yang tidak bernama di pinggir laut di kawasan Miri yg kini di kenali dengan nama kampung Bekam.
Menurut sumber sejarah juga menyatakan bahawa etnik Miriek merupakan antara etnik pribumi Sarawak yang dahulunya juga mempunyai rumah panjang tersendiri sebelum memeluk Islam dan mengasimilasikan penghidupan seperti kaum Melayu Sarawak. Mereka juga pada asalnya adalah beragama pagan iaitu agama nenek moyang mereka. Penempatan pertama yang mereka bina adalah sebuah rumah panjang berdekatan dengan sungai tersebut. Apabila komuniti mereka semakin membesar maka terbinalah rumah panjang kedua berhampiran dengan rumah panjang pertama. Rumah panjang ketiga pula didirikan di Pusil (Hussel) dan rumah panjang keempat dibina di tapak rumah Tuan Haji Siol sekarang.
Walaupun tiada sumber dokumentasi yang membenarkan bagaimana Kampung Bakam mendapat nama namun mengikut cerita lisan dari generasi ke generasi nama BAKAM di perolehi daripada saudagar Brunei yang datang berniaga ke penempatan-penempatan sekitar Miri. Dikatakan pada ketika itu saudagar Brunei itu mengangkut barang-barang dagangan mereka dengan menggunakan kerbau dan berjalan kaki melalui pesisiran pantai.
Apabila menyeberangi satu sungai yg tidak bernama (Kuala Bakam lama, tidak jauh dari kampung Raan) salah seekor kerbau saudagar Brunei tersebut telah di hanyutkan air sungai yg deras dan telah mati. Kerbau yang mati itu telah dikuburkan berdekatan dengan kuala sungai tersebut dan sejak itu digelar oleh saudagar Brunei sebagai "Makam". Lama-kelamaan bersesuaian dengan slanga penduduk tempatan akhirnya sebutan “Makam” menjadi “Bakam” bagi merujuk kepada kawasan yang tidak bernama itu.
Sumber ekonomi diawal pembukaan perkampungan ini adalah sebagai petani dan nelayan. Malah sehingga kini etnik Miriek masih mengamalkan beberapa teknik nelayan tradisional seperti menggunakan 'Paka' untuk menangkap bubuk dan diproses menjadi 'Belacan', mereka juga masih menggunakan suatu alat yg di namakan "gurik" utk mencari Kunau/kuno/kerang besar.
Pada masa sekarang sejajar dengan waktu dan kemodenan, ramai penduduk-penduduk Bakam yang sudah berkerja di pelbagai sektor kerajaan dan swasta seperti penjawat awam mahupun bidang pekerjaan professional yang lain seperti doktor, jurutera, peguam serta juga ramai yang sudah mempunyai perniagaan sendiri.
Pada tahun 1962 tercalit sejarah hitam apabila Kampung Bakam apabila Sungai Bakam mengalami banjir besar sehingga dikatakan hampir menengelamkan keseluruhan perkampungan. Kesan daripada banjir besar ini boleh dilihat sehingga ke hari ini apabila ianya juga telah mengubah lanskap kuala Sungai Bakam dan tapak asal rumah panjang pertama dan kedua kini berada di tengah-tengah Sungai Bakam dan membentuk kuala baru Sungai Bakam sehingga sekarang. Banjir itu juga telah menghanyutkan beberapa buah rumah yang telah dibina berhampiran dengan sungai.
10 tahun kemudian iaitu pada tahun 1972, Kampung Bakam sekali lagi mengalami musibah banjir malah dikatakan ianya lebih teruk daripada yang berlaku pada tahun 1962. Akibat daripada banjir besar itu juga telah mengakibatkan banyak kerosakan baik kepada tanam-tanaman mahupun lanskap Kampung Bakam yang kita kenali sekarang.
Tidak dapat dinafikan bahawa etnik Miriek merupakan antara etnik pribumi Sarawak yang terlebih dahulu menerima kedatangan Islam sebagai pegangan agama dan carahidup mereka. Diperkira pada penghujung tahun 1700an dan awal 1800an, Kampung Bakam sudahpun mendirikan tempat beribadah mereka sendiri iaitu satu binaan surau. Surau itu dibina berdekatan dengan rumah panjang keempat dan imam yg pertama ialah Silieu, Nayan bin Likai dan Abd Latif.
Surau kedua pula telah dinaiktaraf menjadi sebuah masjid yang dinamakan Masjid Ikhwan-Muslimin iaitu sebuah masjid yang didirikan di tepi laut. Dipercayai ianya adalah merupakan tapak dewan dan padang di Taman Ladi yang tidak lama lagi akan dibangunkan sebagai Bakam Point. Pada masa itu imamnya yang pertama adalah Tuan Haji Seran, Abdullah bin Latif dan Haji Bakir bin Samsudin. Tapak ketiga masjid adalah tapak di dalam kampung dan namanya ditukar kepada Masjid Darul Khairat Bakam iaitu nama yang telah diusulkan oleh Yang Berhormat Yusuf Sani bin Wahab. Untuk masjid ini imamnya adalah Tuan Haji bakir, Haji Mustapha, Imam Asid, Imam Denan bin Mat dan sekarang diterajui oleh Imam Morni bin Osman dan Habsen bin Abdullah.
Kampung Bakam sehingga sekarang sentiasa menampilkan generasi pemimpinnya tersendiri sejak diawal pembukaannya seperti ketua peneroka asal iaitu Pum aa'k. Kemudian diikuti oleh OK Bangun (pum Bangun), OK Ladi' (pum Ladi'), Penghulu Yusuf bin Deraman, Penghulu Haji Karim bin Enor dan sekarang diterajui oleh Penghulu Hj. Adam bin Bujang (2016).
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih-Sayangnya.
Rujukan:
1.Jejak Warisan, Program kembara Hijrah 1438h/2016m, Perkampungan setempat 14-17 Sept 2016 Masjid Darul Khairat Bakam.
2.Temubual dengan Ayahanda Penghulu Hj Adam Bin Bujang (pum Adam), Penghulu kampung Bakam serta orang-orang tua yg masih hidup di kampung Bakam.