top of page

LEGENDA 7 PUTERI AIR TERJUN GUNUNG GADING


LEGENDA 7 PUTERI AIR TERJUN GUNUNG GADING


GUNUNG Gading adalah merupakan salah satu puncak yang berada di Taman Negara Gunung Gading, Lundu, Kuching. Jaraknya kira-kira 45 minit dari ibukota Sarawak, Kuching dengan menggunakan perjalanan darat. Di Gunung Gading inilah terletaknya bunga Rafflesia yang terbesar pernah ada di Sarawak disamping kaya dengan keindahan flora dan fauna yang unik serta mengkagumkan.

Dan apabila berkata mengenai keindahan Gunung Gading ini mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di Gunung Gading ini mempunyai beberapa air terjun yang cantik dan menyegarkan sekiranya berpeluang mandi manda di sana. Bagi masyarakat tempatan yang tinggal di sekitar Gunung Gading pula amat menghormati kawasan ini kerana dipercayai ianya adalah satu tempat bagi sang bunian menyucikan diri mereka.

Malah keberadaan sang bunian di kawasan Gunung Gading ini dikatakan sering dituntut bantuannya oleh para pengamal perubatan tradisional di kalangan masyarakat tempatan Lundu itu sendiri. Kebiasaannya mereka akan menyeru semangat ghaib sang bunian iaitu susuk-susuk 7 puteri yang menjaga air terjun. Bukan itu sahaja, tidak sebegitu mudah memohon bantuan kerana dikatakan puteri-puteri bunian ini hanya bersiram atau menyucikan diri mereka di kawasan air terjun pada setiap 7 purnama iaitu di ketika bulan betul-betul berada di atas kepala.

Al-sahibul hikayat seperti yang diceritakan oleh orang tua-tua di Lundu mempercayai bahawa terdapat 7 puteri yang menjaga air terjun di Gunung Gading. 7 puteri tidaklah boleh dilihat dengan mata kasar dan dikatakan hanya mereka yang “bertuah” akan bersua dengan mereka pada waktu-waktu yang tertentu. Dan dipercayai juga bahawa setiap puteri ini mempunyai “wardiah” iaitu keistimewaan yang disimpan serta hanya diserahkan kepada mereka yang terpilih.

Air terjun pertama dijaga oleh si puteri putih yang mana berperwatakan lemah lembut dan juga merupakan puteri bongsu dari 7 puteri. Digambarkan seorang puteri yang cantik serta mempunyai susuk tubuh yang menawan. Menurut ceritanya puteri bongsu ini pernah hampir bertunang dengan seorang jejaka tempatan namun kerana perbezaan dunia nyata dan halus maka ianya tidak menjadi. Sang Raja Langit iaitu ayahanda kepada 7 puteri telah menghalang perhubungan ini sehingga puteri bongsu diperintahkan untuk pulang ke kayangan.

Air terjun kedua, ketiga dan keempat pula dijaga oleh 3 puteri. Ketiga-tiga mereka digambarkan sebagai puteri-puteri yang bersifat tegas kerana mereka bertiga adalah penjaga gunung yang mempunyai “wardiah” yang semua pengamal perubatan tradisional ingin memilikinya iaitu wardiah yang boleh menyembuhkan segala penyakit di dunia. Namun begitu kerana ketegasan puteri-puteri ini bukan senang untuk mendapatkannya.

Ketiga-tiga puteri ini memiliki selendang mayang yang berwarna-warni iaitu berwarna merah, hitam dan kuning. Selain itu setiap puteri juga turut mempunyai wardiah istimewa iaitu puteri 2 memiliki tapak sireh emas. Puteri ketiga pula mempunyai kain selendang emas dan puteri keempat pula mempunyai kain songket yang ditenun bersama kain emas. Dan hanya dengan ada memiliki kesemua wadiah inilah barulah sesuatu penyakit itu boleh disembuhkan. Dari sini sahaja kita sudah boleh mengagak bahawa bukan senang untuk memilikinya.

Untuk air terjun kelima dan keenam pula dijaga oleh 2 puteri yang digambarkan mempunyai perwatakan sederhana. Kedua-dua puteri juga menyimpan wardiah yang tersendiri yang hanya boleh didapati sekiranya betul-betul kena pada masanya. Dan air terjun terakhir iaitu yang ketujuh pula sehingga sekarang dipercayai masih lagi disimpan wadiahnya. Wadiah itu dikatakan diletakkan di satu tasik kecil yang lokasinya adalah di puncak Gunung Gading.

Buluh Pengerindu itulah wadiah yang disimpan oleh puteri ke-7. Buluh pengerindu ini dikatakan mempunyai 1001 kegunaan untuk diri sendiri, kesihatan, perubatan serta perlindungan daripada kejahatan. Oleh kerana ianya mempunyai syarat-syarat yang ketat seperti setiap yang berhajat perlu mempunyai hati yang bersih, suci dan murni maka boleh sahaja pulang dengan tangan kosong jika ingin memilikinya. Malah dikatakan juga jika sudah hajat itu ditolak maka segeralah pulang segera untuk keselamatan diri kerana ada kemudharatan yang boleh mendatang.

Inilah cerita legenda 7 puteri air terjun Gunung Gading yang mempunyai “wadiah” iaitu keistimewaan pada setiap puterinya. Wadiah-wadiah ini dijaga cukup rapi dan sehingga sekarang ada dikalangan pengamal perubatan masih lagi “memohon” bantuan di alam ghaib dari sang puteri. Dan kerana itulah juga sehingga sekarang, kawasan Gunung Gading dianggap kawasan “keras” bagi masyarakat tempatan. Dek kerana itulah sesiapa sahaja yang berpeluang berkelah di kawasan air terjun seringkali dinasihatkan untuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemarahan penghuni lain di kawasan taman Negara ini.

Jika kita menyelusuri perkaitan cerita 7 puteri air terjun Gunung Gading ini sebenarnya mempunyai banyak signifikasi dengan etnik Iban di sekitar Lundu suatu waktu dahulu. Umum mengetahui perang itu merupakan satu lumrah suatu ketika dahulu seperti perang antara suku serta perluasan wilayah. Dan pada ketika itulah dikatakan bahawa pahlawan-pahlawan Iban di Lundu telah memohon bantuan daripada 7 puteri ini juga.

Misalnya ketika berlaku Perang Batang Kayan yang mana suku Skrang telah menyerang suku Sebuyau dikatakan 7 puteri telah memberi bantuan ghaib kepada suku Sebuyau. Pada ketika itulah suku Skrang diceritakan tidak mampu melihat suku Sebuyau yang sedang bersembunyi di Batang Kayan. Batang Kayan pada ketika itu tidak kelihatan malah seolah-olah tidak wujud di kawasan Gunung Gading. Inilah penangan pertolongan daripada 7 puteri yang sakti ini yang mampu membuatkan mata kasar manusia juga mampu ditutupnya.

Selain itu cerita perang dahulukala yang pernah berlaku di Tanjung Datu juga dikatakan mempunyai faktor-faktor pertolongan daripada 7 puteri. Pada ketika itu dikatakan etnik Kayan telah mula bersedia untuk menyerang masyarakat di Tanjung Datu. Namun hajat mereka untuk memperluaskan kuasa mereka sehingga ke Tanjung Datu tidak kesampaian kerana secara tiba-tiba mereka telah mendapat musibah ketika di dalam perjalanan.

Di Batang Kayan itulah dikatakan ramai pahlawan Kayan mati lemas apabila air pasang yang deras secara tiba-tiba sehingga menenggelamkan perahu-perahu perang mereka. Semuanya kerana bantuan daripada 7 puteri yang tidak mahu ada sebarang pertumpahan darah di kawasan sekitar Gunung Gading suatu waktu dahulu.

Gunung Gading sebenarnya bukanlah hanya kaya dengan keindahan flora fauna sahaja sebaliknya juga kaya dengan sastera rakyat yang masih tidak diwar-warkan untuk generasi Sarawak kerana kurangnya pendedahan. Terpulang kepada kita sebagai generasi anak Sarawak untuk menggali ceritanya samada bertanya dengan orang tua kita mahupun rujukan buku dan sebagainya.


bottom of page