top of page

JEJAK IBAN TRACKERS - MAJA ANAK BAREK


JEJAK IBAN TRACKERS – MAJA ANAK BAREK

NAMANYA tidaklah se-gah mereka yang lain kerana tiada cerita mengenai beliau yang diwar-warkan. Namun begitu untuk melupakan jasanya tidak sekali. Penjejak Iban yang ditampilkan kali ini tidak kurang cerita kegagahannya malah 3 negara terhutang budi kepadanya iaitu Malaya, Brunei mahupun Sarawak itu sendiri. Kerana di 3 negara inilah dia menabur bakti dan beliau berkorban nyawa demi keamanan sejagat jauh sebelum Gagasan Malaysia itu dibentuk pada tahun 1963.

Maja Anak Barek, itulah nama seorang anak Iban yang dilahirkan di Kapit pada tanggal 8 Disember, 1931. Seperti ramai anak Iban pada masa itu, beliau juga turut menyahut seruan Kerajaan untuk berkhidmat sebagai Penjejak Iban atau Iban Trackers, antara penjejak dari kaum Iban yang digeruni dan tidak boleh dinafikan kegagahan mereka di mata dunia suatu waktu dahulu.

Pada tahun 1948 iaitu ketika darurat komunis melanda Malaya pada masa itu, Maja Anak Barek merupakan 48 orang penjejak Iban dari Sarawak yang pertama dihantar ke Malaya oleh Kerajaan Koloni British. Hanya berusia 17 tahun pada masa itu namun usia muda bukanlah pengukur untuk menidakkan keberanian yang beliau miliki. Jiwa dan semangat kental seorang pahlawan sememangnya sudah ada di dalam diri anak Iban dari Kapit ini.

Kali pertama dihantar jauh merantau ke negara orang dan sebelum memulakan tugas di dalam dunia peperangan, beliau menimba ilmu di pusat latihan ketenteraan di Port Dickson. 2 minggu latihan ketenteraan bagi membiasakan dirinya dengan segala peralatan kelengkapan tentera cukup menjadikan beliau lebih gagah dari biasa. Usai latihan, beliau dihantar ke satu unit tentera yang beroperasi di Keroh, Perak. Kemudian pada pertengahan tahun 1948, dipindahkan ke Kenya Regiment di Bukit Dinding, Pahang yang mana dia berkhidmat selama 7 bulan.

Di ketika berkhidmat di Perak mahupun Pahang pada masa itu sahaja bertempur dengan komunis di dalam hutan sudah menjadi lumrah di dalam dirinya. Kerana pada masa itu kekuatan dan pengaruh komunisme begitu kuat dan harus ditangani dengan berhati-hati oleh Kerajaan Malaya dan British. Dan kerana kegagahan juga menyebabkan beliau masih mampu bertahan malah belum lagi peluru musuh mampu singgah di badannya.

Pada tahun 1950 sekali lagi beliau dipindahkan namun kali ini jauh ke selatan iaitu ke C Company, Queen of London Regiment di Segamat, Johor. Kemudian di ketika Manchester Regiment mengambilalih pula, beliau ditukar unit dan terus menabur bakti demi keselamatan rakyat di Johor sehingga tahun 1953.

Pada tahun 1957 di dalam satu operasi komunis di Johor, Maja yang sudah dinaikkan pangkat sebagai Senior Dayak Trackers cedera teruk terkena tembakan musuh. Pada masa itu hampir berbulan-bulan lamanya beliau terpaksa berulang-alik ke hospital bagi mendapat rawatan. Namun masih lagi berkhidmat walaupun terpaksa menerima arahan untuk hanya melakukan tugas-tugas pentadbiran ketenteraan.

Sekitar tahun 1960, Maja nekad untuk kembali ke kampung halamannya dan memutuskan untuk berhenti sebagai Penjejak Iban pada masa itu. Namun kepulangan beliau bukan untuk berpeluk tubuh sahaja sebaliknya beliau menyertai Police Field Force sebagai seorang konstabel polis pada ketika itu di Kuching. Setahun selepas itu, beliau dipindahkan ke Kem Lanang di Sibu dan dinaikkan pangkat sebagai Lance Koperal pula.

Di ketika pemberontakan Brunei 1962 berleluasa, beliau sekali lagi dipindahkan ke kem di Miri. Disinilah beliau terlibat secara langsung untuk mengekang segala tindak-tanduk subversif pemberontakan Brunei. Beliau turut serta di dalam banyak operasi ketenteraan baik di sempadan Miri/Brunei seperti konflik di Bekenu mahupun di negara Brunei itu sendiri bersama-sama dengan tentera komanwel yang lain. Kepakaran beliau sebagai Penjejak Iban di Malaya dulu dituntut.

Sekitar tahun 1964, sekali lagi Maja dipindahkan ke Kem Lanang yang kemudiannya menjadi 15th Battalion Police Field Force. Pada kali ini beliau dinaikkan pangkat menjadi Koperal. Pada tahun 1972, beliau terlibat di dalam satu operasi komunis di Julau, Kanowit yang mana beliau mendapat kecederaan yang serius namun belum mampu meragut nyawanya. Semangat kental “agi idup agi ngelaban” sentiasa disemat di dalam hati anak iban ini.

Pada tahun 1974, Maja dinaikkan pangkat menjadi Sarjan dan akhirnya pada tahun 1975 beliau bersara awal dari dunia kepolisian. Hampir 27 tahun bergelumang dengan segala rentak peperangan dan tidak pernah beralah bukanlah satu hal yang boleh dipandang sepi sahaja. 9 tahun menabur bakti di negara orang hanya sebagai Penjejak Iban yang kontraknya diperbaharui saban 3 bulan pula sehingga sanggup meninggalkan keluarga bertahun-tahun adalah sangat luar biasa.

Maja anak Barek dan seluruh Iban Trackers adalah antara perwira yang tidak didendangkan jasa mereka. Kita semua sebagai rakyat Malaysia baik dari Malaya dan Sarawak berhutang nyawa dengan mereka kerana tanpa mereka yang menjadi barisan hadapan menentang musuh komunis sudah tentu kita tidak dapat mengecapi keamanan yang ada sekarang. Terima kasih Sarjan Maja anak Barek, jasamu akan kami kenang sepanjang zaman.


Reference:

1. Dayak Tracker Maja anak Barek – an Unsung Hero

http://pgbwarrior.blogspot.my/2009/06/dayak-tracker-maja-anak-barek-unsung.html

bottom of page