IKAN TAHAI MADE IN LAWAS
IKAN TAHAI MADE IN LAWAS
“HANYA yang makan “dadah” di Kampung Punang tidak akan ditangkap polis”.. itulah antara pernyataan penuh gurauan pada sesiapa sahaja yang berkunjung ke Kampung Punang atau Kampung Awat-awat di Lawas. Ianya sudah tentu bukan merujuk kepada “Dadah Musuh Negara” sebaliknya merujuk kepada satu menu yang popular di utara Sarawak iaitu hasil daripada produk Ikan Tahai yang dinamakan sup dadah ikan tahai.
Ikan Tahai atau juga dikenali dengan gelaran Ikan Lawas merupakan satu produk ikan salai yang terkenal namanya seantero Sarawak mahupun di Negara jiran iaitu Negara Brunei Darussalam. Ikan tahai ini sebenarnya merujuk kepada beberapa jenis ikan terpilih contohnya ikan tamban yang disalai.
Dan keistimewaannya walau dengan peredaran zaman moden sekalipun kaedah menyalainya tetap seperti dahulukala iaitu menggunakan arang kayu bakau sebagai medium pembakar ikannya. Dan bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke Kampung Punang, Lawas sudah tentu biasa dengan rumah tahai atau rumah salai iaitu satu binaan khas yang menjadi tempat untuk menyalai ikan. Oleh kerana itulah dikatakan sehingga sekarang produk Ikan Tahai dari Lawas sentiasa menjadi dambaan disebabkan kelazatannya sentiasa dijaga.
Menyelusuri sejarahnya menu dari utara Sarawak ini bermula sejak dahulu lagi iaitu dikatakan ikan tahai sengaja disalaikan untuk boleh disimpan lama. Memandang suatu waktu dahulu ramai penduduk masih menjadi nelayan sebagai pekerjaan mereka maka adakalanya apabila musim tengkujuh tidaklah ramai yang ke laut mencari rezeki. Jadi bagi mengelak daripada kekurangan sumber protein maka ada sesetengah hasil tangkapan disalaikan untuk disimpan bagi keperluan harian keluarga.
Malah oleh kerana Lawas dan Brunei itu terlalu dekat maka masyarakat Brunei juga yang sebahagiannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mereka yang di Lawas turut melakukan hal yang sama. Dan kerana itulah janganlah menghairankan jika rakyat di Brunei juga berkongsi menu yang sama apabila berbicara mengenai ikan tahai itu sendiri.
Dahulu, ikan tahai enak dimakan dengan nasi yang panas-panas namun sejajar dengan peredaran masa juga apa jua produk ikan tahai telah pelbagai. Sate ikan tahai, sambal ikan tahai, sup dadah ikan tahai adalah antara kepelbagaian menu yang berasaskan ikan tahai yang mana cukup terkenal di kalangan masyarakat utara Sarawak dan juga Brunei.
Janganlah memandang sipi keupayaan produk desa ini kerana Ikan Tahai ini sudahpun diiktiraf dan dipatenkan sebagai Harta Intelek Sarawak dibawah Petunjuk Geografi (GI). Ini bermakna tiada mana-mana Negara di dunia boleh mengatakan bahawa produk Ikan Tahai kepunyaan mereka melainkan ianya sudah menjadi Hakcipta Terpelihara kepada Sarawak amnya dan Lawas, Limbang khususnya. Ini merupakan satu usaha yang terpuji lebih-lebih lagi dengan adanya pengiktirafan sedemikan sudah tentu cukup mudah untuk membawa produk ikan tahai ke mata dunia.
Jadi, pada sesiapa yang belum pernah merasai Ikan Tahai Made In Lawas bolehlah mendapatkan produknya samada berkunjung ke Pasar Tamu di Lawas mahupun sudah ada usaha yang menjualnya secara online.