OPERATION HAMMER DAN SKIM PENEMPATAN SEMULA 1965
- Nov 11, 2016
- 5 min read

OPERATION HAMMER DAN SKIM PENEMPATAN SEMULA KAMPUNG CINA 1965
MENGIMBAU sejarah zaman komunis di Malaya mungkin ramai generasi Sarawak sudah mengetahui mengenai Rancangan Briggs yang diatur oleh Sir Henry Gurney sekitar pertengahan tahun 1950 kerana ini diperjelaskan di dalam subjek Sejarah Malaysia. Dan operasinya dikawal selia oleh seorang tentera British iaitu Sir Harold Rowdon Briggs dan rancangan Briggs juga dinamakan bersempena dengan nama beliau. Rancangan Briggs adalah merupakan satu tindakan oleh Koloni British yang menjajah Malaya pada masa itu untuk menyekat apa sahaja bekalan makanan dan ubat-ubatan daripada sampai ke tangan Parti Komunis Malaya yang bermaharajalela di Malaya pada masa itu. Dengan cara memindahkan masyarakat Cina dihimpunkan di dalam satu kawasan penempatan semula atau kampung baru ternyata ianya amat berkesan sama sekali.
Itu cerita sejarah rakan sejajar kita iaitu Malaya ketika masih menjadi jajahan Koloni British sebelum merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957. Dan mungkin ada antara kita rakyat Sarawak sendiri tidak mengetahui bahawa di Sarawak juga pernah ada hal yang sedemikian dan ianya berlaku selepas kita membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Malaya, North Borneo (Sabah) dan Singapura pada tanggal 16 September 1963. Dan peristiwa bersejarah ini berlaku 2 tahun selepas penubuhannya iaitu di ketika kegiatan gerila komunis masih lagi menggila di Sarawak.
Kita juga mengetahui di sepanjang ancaman komunisme berlangsung di Sarawak, Kerajaan Malaysia mahupun Kerajaan Koloni British dan begitu juga Kerajaan-kerajaan Negara Komanwel turut sama membantu membanteras kegiatan subversive oleh PARAKU di Sarawak pada masa itu. Namun begitu gerila komunis juga digambarkan tidak pernah mengalah malah terus memperkuatkan dogma-dogma komunisme mereka di kalangan rakyat Sarawak lebih-lebih lagi Kaum Cina Sarawak yang sering dijadikan mangsa mereka. Dan kesabaran sebuah kerajaan yang baru sahaja merdeka pada masa itu ada hadnya apabila satu tragedi serangan komunis ke atas Balai Polis Batu 18 Jalan Kuching-Serian menjadi titik tolak untuk satu skim penempatan kampung baru ala-ala Rancangan Briggs juga dilestarikan di bumi Sarawak pada waktu itu. Skim penempatan semula perkampungan Cina ini dinamakan Skim Penempatan Semula Kampung Siburan (Batu 17), Kampung Beratok (Batu 21) dan Kampung Tapah (Batu 24), Serian, Kuching, Sarawak 1965.
Tragedi Serangan Balai Polis Batu 18 Jalan Kuching Serian 1965
Tanggal 27 Jun 1965 menjadi saksi bahawa satu lagi serangan ganas komunis ke atas mana-mana tempat pasukan keselamatan di Sarawak. Pada kali ini Balai Polis Batu 18, Jalan Kuching-Serian menjadi mangsanya. Serangan komunis bermula pada sebelah malamnya dengan dikatakan satu kumpulan kecil askar dari Kalimantan Barat telah menyeberangi sempadan Kalimantan Barat/Sarawak dan seterusnya bergabung dengan satu pertubuhan tempatan Sarawak yang digelar Clandestine Communist Organisation (CCO).
Dengan adanya kolaborasi dari pertubuhan komunis di Sarawak ini menjadikan kekuatan gerila komunis ini semakin kuat. Dan sudah tentu CCO telah membekalkan segala maklumat dan taktik untuk mereka menyerang balai polis batu 18 dengan lebih berkesan. Namun begitu ternyata anggota polis yang berkawal di balai tidak pernah menjadikan jumlah anggota yang sedikit sebagai faktor untuk menyerah. Hampir 2 jam lamanya untuk gerila komunis dan anggota polis serta beberapa orang awam yang membantu mereka bertahan membalas segala serangan sebelum mereka menyerah.
Pada serangan malam itu 2 orang anggota polis gugur terkorban dan salah seorang daripadanya adalah adik bongsu kepada Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Stephen Kalong Ningkan sendiri. Turut terkorban 8 orang awam manakala 2 lagi orang awam mengalami kecederaan yang agak parah. Gerila komunis hanya mampu bermaharajalela sekejap dan mereka sempat membakar balai polis tersebut sebelum ketibaan bantuan anggota keselamatan dari balai-balai yang berdekatan tiba.
Mengetahui bahawa mereka tidak mampu melawan anggota keselamatan yang datang menghulurkan bantuan maka gerila komunis bertindak mengundurkan diri dan mereka dikatakan berundur ke sempadan dengan menggunakan Jalan Padawan. Bagi mengelak diri mereka dijejaki dengan mudah, gerila komunis turut membuat onar pada malam itu juga dengan meletupkan sebuah jambatan yang berada di Batu 24 Jalan Kuching-Serian. Ternyata taktik itu berjaya kerana akhirnya gerila komunis berjaya meloloskan diri ke sempadan dan berkubu di kawasan mereka.
Operation Hammer 1965 Dan Skim Penempatan Semula Kampung Siburan, Beratok & Tapah
Tersentak dengan tragedi serangan itu satu operasi besar-besaran dirancang oleh Kerajaan. Pada tanggal 28 Jun 1965 Operation Hammer digerakkan di bumi Sarawak iaitu ianya menggunapakai ciri-ciri seperti Rancangan Briggs 1952 di bumi Malaya suatu waktu dahulu. Tujuannya tetap sama iaitu bagi memastikan bahawa tiada bekalan makanan mahupun ubat-ubatan mampu sampai ke tangan gerila komunis.
Ini kerana pada ketika itu, kaum Cina Sarawak adalah antara mereka yang sering menjadi mangsa keadaan kepada gerila komunis yang berleluasa. Bukan semua kaum Cina yang ingin bersekongkol dengan gerakan komunis ini namun mereka terpaksa demi survival diri dan juga keluarga. Dan tidak dinafikan bahawa pada ketika itu ramai juga kaum Cina Sarawak yang mendokongi gerakan komunisme kerana terpengaruh dengan doktrinnya seperti apa yang berlaku di Negara asal mereka sebelum ini. Dan Operasi Hammer 1965 ini diasaskan bagi membendung segala kemungkinan yang berlaku dengan bertindak menghimpunkan kesemua keluarga kaum Cina yang tinggal di Batu 15, 17, 18, 19, 21 dan 24 di dalam 3 skim perkampungan baru yang dinamakan Kampung Siburan terletak di Batu 17, Kampung Beratok di Batu 21 dan Kampung Tapah di Batu 24. Pada masa itu dikatakan hampir 8,000 orang dari 1,285 keluarga kaum Cina yang terlibat di dalam pemindahan besar-besaran ini.
Menggunakan segala logistik yang ada, skim penempatan semula 3 kampung baru ini bukanlah satu perkampungan yang biasa. Sebaliknya ianya mempunyai segala ciri-ciri keselamatan yang kukuh. Pemasangan pagar dawai serta beberapa checkpoint untuk anggota keselamatan yang berkawal juga disediakan. Rumah-rumah untuk kegunaan keluarga yang dipindahkan turut disediakan di dalam satu kawasan. Malah setiap keluarga juga diberikan beberapa plot-plot tanah untuk mereka bercucuk tanam seperti aktiviti mereka sebelum ini iaitu menjadi penanam sayur, lada dan sebagainya.
Dengan segala kos ditanggung kerajaan pada masa itu akhirnya pada 6 Julai 1965, skim penempatan semula perkampungan ini mula dihuni oleh keluarga kaum cina. Segala logistic ketenteraan digunakan untuk memindahkan mereka ke perkampungan baru dan meninggalkan segala yang ada selain keperluan sahaja. Dan difahamkan bukan mereka bebas seperti dahulu sebaliknya di perkampungan baru ini mereka juga dikenakan perintah berkurung saban malam. Ini bagi memastikan bahawa tiada anasir gerila komunis boleh menular diantara mereka. Hakikatnya mereka sudahpun dihalang untuk berkomunikasi dengan dunia luar pada masa itu.
Ternyata Operation Hammer dan juga skim penempatan semula perkampungan ini sukses kerana ianya mampu melemahkan jaringan pengaruh komunisme di kawasan Serian dan juga perbatasan pada masa itu. Ini menyebabkan Kerajaan telah melanjutkan Operation Hammer ini ke atas 5 lagi bahagian yang lain di Sarawak. Bagi tujuan untuk memperkembangkan rancangan ini dikatakan Kerajaan membelanjakan kos hampir $167,000,000 bagi menempatkan 16,526 keluarga kaum Cina di 57 projek skim penempatan semula perkampungan baru di seluruh Sarawak pada tahun 1965.
Inilah satu sejarah perkampungan penempatan semula yang dikenali sebagai Kampung Siburan, Kampung Beratok dan Kampung Tapah yang berada di sepanjang Jalan Kuching-Serian. 3 perkampungan ini diwujudkan pada awalnya untuk menghalang kegiatan subversif komunisme daripada terus menular. Kemudian kejayaannya diperkembangkan ke seluruh Sarawak hanya untuk tujuan yang sama. Sudah tentu ramai yang tidak mengetahui sejarah ini kerana ianya tidak diwar-warkan buat pengetahuan kita semua. Penghuni-penghuni 3 kampung dari generasi tua mereka sudah tentu mengetahui sejarahnya tetapi tidak kita sebagai generasi Sarawak yang sudah hidup senang di dalam segala keamanan yang ada sekarang.
Belajarlah dari sejarah kerana sejarah itu cukup dengan tauladan dan juga sempadannya.
Rujukan:
1. Orang Cina dan Gerakan Komunis di Sarawak, 1927-1974 Dr. Ho Hui Ling Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya 2. Vernon L. Porritt. Operation Hammer: Enforced Resettlement in Sarawak in 1965.


Comments