FROM MUARA TUANG WITH LOVE
FROM MUARA TUANG WITH LOVE
SUATU waktu dahulu untuk ke Muara Tuang hanya bersandarkan pengangkutan air dengan menyelusuri Sungai Sarawak dan seterusnya memasuki Batang Samarahan. Dan jika berkata mengenai pengangkutan air contohnya “Pak Penambang” yang kita kenali berkayuh memberikan perkhidmatan perahu tambang dari seberang Sungai Sarawak ke perkampungan Seberang rata-ratanya berasal dari perkampungan di Muara Tuang. Sungguh jauh mereka mencari rezeki tetapi itulah lumrah penghidupan demi mencari rezeki yang halal buat penghidupan kaum keluarga.
Itu cerita “Pak Penambang” dari Muara Tuang yang mencari rezeki di Kuching. Dan daerah yang dimaksudkan kali ini adalah Muara Tuang yang lokasinya hanya 30 minit jika melalui rangkaian jalanraya dari ibukota Kuching, Sarawak. Terletak di bawah konstitusi Bahagian Samarahan iaitu bahagian ke-8 pada tahun tahun 1987 sebenarnya berasal sebuah perkampungan yang terpencil yang dinamakan Daerah Kecil Muara Tuang. Ditukar nama sebagai Daerah Samarahan sekitar tahun 1983 bagi melancarkan lagi pentadbirannya.
Dan sekali lagi pada tanggal 11 November 2016 melakar satu lagi sejarah apabila Majlis Daerah Kota Samarahan telah dinaiktaraf menjadi Majlis Perbandaran Kota Samarahan yang menjadikan ianya sebagai antara Bandar baru yang pesat membangun di Sarawak Bumi Kenyalang. Dari kawasan yang dahulunya hanya menjadikan laut dan pertanian sebagai sumber ekonomi, sekarang sudah menjadi antara pusat berhimpunnya pusat pendidikan tinggi di Sarawak seperti kewujudan Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA, Institut Pendidikan Samarahan serta banyak lagi.
Bila berbicara mengenai bagaimana Muara Tuang itu mendapat nama, setakat ini tidak ada lagi mana-mana dokumentasi yang jitu boleh dijadikan sandaran. Apa yang ada hanyalah merujuk kepada cerita oral dari orang tua-tua yang tinggal di perkampungan sekitar Muara Tuang. Dan perlulah diketahui apabila ianya bersandarkan cerita oral sudah tentu banyak versi dan apa yang ditampilkan ini mungkin salah satu daripada versi ceritanya.
Dikatakan bahawa Muara Tuang itu mendapat nama dari dua perkataan yang berbeza. Tidak dinafikan selain daripada menjadi petani, masyarakat yang mendiami Muara Tuang juga berkerja sebagai nelayan. Dan dikatakan hasil perikanan di kawasan Batang Samarahan memang banyak. Dan perkataan “Muara” sering digunakan oleh masyarakatnya bagi menyatakan kuala sungai.
Dan satu lagi perkataan adalah “Tuang” yang mana merujuk kepada limpahan air yang mengalir seolah-olah dituang memasuki anak-anak sungai di sepanjang Batang Samarahan apabila air pasang. Lama-kelamaan akhirnya suatu tempat yang tidak bernama dan terletak di tepi Batang Samarahan dengan penempatan masyarakat Melayu rata-ratanya dikenali dengan nama Muara Tuang iaitu hasil gabungan 2 perkataan “Muara” dan “Tuang” itulah yang kita kenali sekarang.
Menyelusuri sejarah purba Muara Tuang pula boleh dikatakan ianya bersangkutan secara langsung dengan sebuah kerajaan yang hilang di bumi Sarawak yang dikenali sebagai Kerajaan Negeri Samarahan. Ianya diperkira wujud usai sahaja Kerajaan Negeri Santubong menghilang di dalam lanskap politi Sarawak purba. Ada pendapat mengatakan berlaku peperangan saudara di Santubong yang mengakibat seluruh pemimpin kerajaannya melarikan diri sehingga ke kawasan Samarahan dan membuka satu lagi peradaban kuno sekitar kurun ke-14 masihi.
Datu Merpati Jepang yang sinonim dengan Kerajaan Negeri Santubong dikatakan melarikan diri sehingga ke Samarahan pada waktu itu. Sejarah ini dapat dipastikan dengan wujudnya sebuah tugu di Kampung Mawang Taup, Samarahan yang dinamakan dengan Batu Datu Merpati. Disinilah bermulanya perpindahan masyarakat dari Santubong ke daerah-daerah seperti Gedong dan Sadong selain daripada daerah Lidah Tanah sehingga mengwujudkan legasi Melayu Datu-datu golongan bangsawan yang menggunakan marga nama keluarga Abang dan Dayang.
Sumber penggalian arkeologi oleh Muzium Sarawak membuktikan kewujudan Kerajaan Negeri Samarahan tidak boleh ditidakkan. Di Gedong misalnya telah dijumpai 79,754 pecahan tembikar dan beratus-ratus artifak lain seperti manik, duit siling dan emas. Di Bukit Sandong pula telah dijumpai 30,000 serpihan tembikar yang mempunyai asal dan ketuaan seperti yang terdapat di Santubong dan Gedong. Ketulan emas yang dijumpai oleh orang awam di kawasan Gumpey pada tahun 2008 juga adalah satu lagi bukti bahawa Samarahan merupakan satu kawasan yang penting di zaman dahulu kala.
Dan mana mungkin kita boleh melupakan perkaitan Muara Tuang dengan sejarah pemerintahan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam di bumi Sarawak. Nama Samarahan tertera di dalam satu manuskrip kuno Negara Brunei Darussalam yang menjadi salah satu manuskrip paling berharga di dalam memperkatakan ketahtaan kerajaannya. Di dalam manuskrip kuno yang ditulis di dalam huruf jawi di dalam bahasa Melayu Brunei yang berjudul Alamat Zaman Ketakhtaan Negeri Baruni ada menyatakan:
“ …… Dan pada masa itu Melaka di atas Kerajaan Negeri Juhur, Awang Alah Betatar beristeri ke Juhur lalu digalar Awang Alak Betatar. Adapun Seri Sultan Muhamad dan saudaranya patih berbai jadi Bendahara Seri Maharaja permaisuri digalar dan pengiringnya yang lain itu digalar Damang/Temenggung Da Patih Damong. Bermacam-macam nama pengawa dianugerahi oleh baginda di Johor. Empat menteri dan askar dengan beberapa dayang-dayangnya dianugerahi nobat nagaragenta alamat serta sakalian alat-alat kerajaan yang berbagai-berbagai dan dianugerahi…buah nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sadong dan Samarahan dan Sarawak karana di pulau…Johor pun memarintah juga ialah….”
Bertitik tolak betapa pentingnya Samarahan kepada kesultanan Brunei pada masa itu, maka ramai masyarakat Melayu Brunei yang telah berpindah ke kerajaan negeri Saramarahan termasuklah golongan bangsawan Brunei yang antaranya Pengiran Kasuma Yuda Pengiran Sharifuddin yang mangkat pada tahun 1832. Pengiran Kasuma Yuda adalah ayahanda kepada Pengiran Indera Mahkota Muhamad Salleh iaitu wakil Sultan Brunei yang telah membuka Kuching suatu waktu dahulu. Jejak warisan keturunan golongan bangsawan ini dapat dibuktikan apabila terdapatnya sebuah Makam Pengiran Anak Sabtu di Muara Tuang, Samarahan yang masih kekal hingga ke hari ini.
Dan Muara Tuang juga seperti wilayah-wilayah Sarawak yang lain juga tidak boleh lari dengan cerita sejarahnya di dalam pemerintahan 100 tahun Dinasti Keluarga Brooke di Sarawak. Atas kejayaan James Brooke yang membantu Pengiran Bendahara Muda Hashim memerangi Pengiran Indera Mahkota pada tahun 1840 akhirnya beliau diangkat menjadi Gabenor Sarawak dan diberikan jajahan dari Tanjung Datu sehingga ke Kuala Sungai Samarahan pada tahun 1946. Dikatakan pada ketika itu James Brooke harus membayar pampasan tahunan sebanyak $1,500 sebagai galang ganti kehilangan cukai dan ufti kepada Sultan Omar Ali Saifuddin.
Kemudian satu perjanjian bagi mengesahkannya berlaku pada tahun 1855 yang menjadikan Brooke memiliki Samarahan mahupun Sadong secara total. Kemudian sekitar tahun 1901, Daerah Sadong telah dibentuk merangkumi Lower Sadong (Simunjan) dan Upper Sadong (Serian). Samarahan dan Sadong diletakkan dibawah pengurusan Bahagian Pertama iaitu Bahagian Kuching.
Apabila Sarawak diserahkan oleh Rajah Kedua iaitu Rajah Charles Vyner Brooke pula telah menjadikan Sarawak Kingdom menjadi tanah jajahan kepada Kerajaan Koloni British Borneo pada tahun 1946. Malah di ketika api gerakan “anti-cessionist” berkobar-kobar di seluruh pelusuk Sarawak, rakyat di Muara Tuang khususnya turut ada di dalam gerakan tersebut. Akibat daripada halangan daripada Koloni British, sistem persekolahan di seluruh Sarawak termasuk di Muara Tuang juga terbantut kerana sekolah kerajaan ditutup. Namun begitu seperti juga di seluruh Sarawak banyak sekolah-sekolah rakyat muncul termasuklah di Muara Tuang pada masa itu.
Dari segi politik Sarawak Bumi Kenyalang sekarang, bukan calang-calang yang pernah mewakili suara rakyat Muara Tuang di Dewan Undangan Negeri Sarawak. Ini kerana sejak di tahun 1969 lagi, DUN Muara Tuang telah menampilkan nama-nama besar pemimpin Sarawak. Tuan Gabenor Sarawak iaitu Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud yang juga merupakan mantan Ketua Menteri Sarawak pernah mewakili Parlimen Samarahan pada tahun 1970. Malah Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Adenan bin Haji Satem juga pernah menjadi ADUN Muara Tuang dari tahun 1979 sehingga 2006.
Demi memekarkan lagi DUN Muara Tuang legasi kepimpinannya kemudiannya dipegang oleh Datuk Ali Mahmud yang kemudiannya apabila pembesaran wilayah DUN menang bergaya di DUN Stakan pada PRN ke-11 tahun ini. Dan sekarang DUN N16 Muara Tuang yang semakin luas dibawah pentadbiran seorang lagi ADUN baru iaitu Dato’ Haji Idris bin Buang. Dahulu DUN Muara Tuang cukup kecil iaitu meliputi hanya beberapa kawasan tetapi sekarang DUN N16 Muara Tuang antara kerusi DUN yang besar dengan wilayahnya merangkumi Empila, Tanju, Batu Blat, Tuang, Semaran, Ladang Samarahan sehingga ke Melaban.
Apa yang ditampilkan hanya sedikit sahaja ceritera sejarah satu tempat yang bernama Muara Tuang di Bahagian Samarahan, Sarawak. Dari sebuah perkampungan kecil menjadi antara Bandar Bistari yang kita kenali sekarang.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.