top of page

SUB-ETNIK DAN DIALEK KAUM CINA


SUB-ETNIK DAN DIALEK KAUM CINA


MUNGKIN yang kita biasa dengar Kaum Cina berbahasa Cina atau ramai yang berkomunikasi di dalam bahasa Mandarin. Hakikatnya Kaum Cina yang menjadi sebahagian pembentuk masyarakat majmuk di Malaysia juga mempunyai dialek-dialek mereka yang tersendiri. Dan dialek-dialek ini mempunyai signifikasi dengan sub-sub etnik mereka yang juga pelbagai malah asal usul nenek moyang mereka juga sebenarnya berlainan wilayah di Negara Tembok Besar China.


Walaupun sekarang akibat daripada perkahwinan campur dan juga pertembungan bahasa dengan masyarakat yang lain, kebanyakan daripada generasi muda kaum Cina banyak bertutur di dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Mandarin juga bahasa Melayu sebagai medium perantaraan mereka. Sebutan seperti “Hokkien lang” atau “Kwong Dong Yan” adalah antara sebutan yang bagi memberi penjelasan bahawa dialek itu juga merujuk kepada sub-etniknya iaitu Hokkien ataupun Kantonis.


Di Malaysia amnya, majoriti dialek yang dominan adalah Hokkien dan Kantonis namun hakikatnya kaum Cina mempunyai 9 sub-etnik yang juga memperjelaskan dialek-dialeknya tersendiri.



1. Hokkien


Hokkien merupakan etnik Kaum Cina yang paling terbesar di Malaysia. Dan bahaa mereka juga dinamakan dialek Hokkien. Suatu waktu dahulu nenek moyang orang Hokkien Kaum Cina Malaysia berasal dari wilayah Selatan Fujian iaitu dari Bandar-bandar seperti Quanzhou, Amoy (sekarang Xiamen) dan Zhangzhou.


Menurut dokumentasi sejarah menyatakan bahawa orang Hokkien dari Zhangzhou ramai menetap di negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Trengganu. Manakala untuk Hokkien dari Quanzhou pula ramai menetap di Melaka, Johor dan juga beberapa Bandar besar di Sarawak.


Dahulu pekerjaan utama mereka ketika berhijrah adalah bagi mengisi peluang-peluang pekerjaan di sektor perladangan getah dan tidak terkecuali orang Hokkien juga merupakan antara kaum cina yang terdahulu terlibat di dalam perniagaan iaitu mengusaha perniagaan import dan eksport mahupun perniagaan runcit. Oleh kerana itulah dikatakan akibat daripada mereka memegang ekonomi pada masa itu maka dialek Hokkien menjadi lingua franca di dalam urusan perniagaan dahulukala.


Oleh kerana orang Hokkien merupakan pendominasi kaum Cina Malaysia maka dialeknya juga begitu dominan. Namun begitu difahamkan bahawa dialek Hokkien yang kita kenali sekarang tidaklah sama seperti di Negara China kerana sejajar dengan waktu, dialeknya juga berasimilasi dengan bahasa Melayu. Antaranya adalah dialek Hokkien Pulau Pinang tidak begitu sama dengan dialek Hokkien yang dipertuturkan di Klang, Melaka, Johor mahupun Kuching.



2. Kantonis


Kantonis merupakan etnik Cina kedua terbesar di Malaysia. Dialeknya juga dinamakan Kantonis atau di dalam bahasa Mandarin digelar “guang dong ren”. Dahulunya nenek moyang orang Kantonis berasal dari wilayah Guangdong, China seperti dari Guangzhou dan Guangxi.


Penghijrahan orang Kantonis dari China suatu hari dahulu adalah semata-mata untuk merancakkan lagi industri pelombongan bijih timah. Di Malaya misalnya, kedatangan orang Kantonis telah menjadikan Bandar-bandar perlombongan berkembang seperti Kuala Lumpur, Ipoh di Perak dan Sungai Ujong (Seremban sekarang) di Negeri Sembilan. Begitu juga untuk Sandakan di Sabah juga mempunyai signifikasi yang sama. Bolehlah dikatakan bahawa orang Cina Kantonis suatu waktu dahulu adalah mereka yang terlibat secara langsung dengan dunia perlombongan.


Buat masa sekarang, orang Kantonis adalah antara kaum Cina yang ramai mendiami Bandar-bandar besar di seluruh Malaysia. Dikatakan hampir 80% daripada mereka mendiami kotaraya besar dan kerana itulah dialek Kantonis banyak dipertuturkan di Bandar-bandar besar seperti kawasan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sandakan, Sabah.



3. Hakka


Hakka atau turut digelar Kheh merupakan sub-etnik kaum Cina yang ketiga terbesar di Malaysia. Di Sarawak pula mereka merupakan etnik Kaum Cina yang terbesar. Sejarah penghijrahan mereka jika di Malaya kebanyakannya berasal dari bahagian selatan China seperti dari Guangdong, Fujian, Guangxi dan Hainan. Namun untuk di Sarawak pula kebanyakan Hakka adalah mereka yang telahpun lama menetap di kawasan Sambas yang kemudiannya menyeberang sempadan untuk ke Sarawak.


Pada awal kedatangan mereka ramai menetap di kawasan perlombongan bijih timah dan juga emas seperti di Selangor, Perak (khususnya Taiping dan Ipoh), Sungai Ujong (Seremban, Negeri Sembilan sekarang) serta di Sabah mahupun Sarawak (Kawasan Bau). Namun selepas kemerosotan harga bijih timah, kebanyakan Hakka di Malaya sudah mula menukar pencarian mereka menjadi pekerja di sektor perladangan getah seperti di Kedah mahupun di Kulai serta Kluang di Johor.


Tidak terkecuali kemerosotan industri perlombongan di Sabah dan Sarawak menjadikan orang Hakka bertukar kepada sektor pertanian seperti menanam lada hitam dan sebagainya. Tidak kurang juga yang membuka kedai perubatan tradisional Cina mahupun menjadi antara tukang jahit yang tersohor sehingga sekarang.


Dikatakan dialek Hakka di Malaya sekarang tidak begitu dilestarikan di kalangan generasi mudanya tetapi untuk di Sarawak dan Sabah ianya masih lagi dipertuturkan dengan agak meluas.



4. Teochew


Teochew merupakan sub-etnik kaum Cina yang ke-4 terbesar di Malaysia. Dialek mereka juga dinamakan dialek Teochew. Dan orang Teochew dahulukala dikatakan berhijrah dari wilayah bernama Chaoshan iaitu di timur Guangdong atau untuk lebih spesifik dari Bandar bernama Shantou.


Penghijrahan orang Teochew ke Malaya sudahpun bermula sejak di abad ke 18 masihi yang mana mereka telah awal-awal lagi menetap di daerah Wellesley (Seberang Prai sekarang) di Pulau Pinang. Juga turut mendiami kawasan Kuala Muda, Kedah pada awalnya. Pada ketika ini dikatakan kebanyakan orang Teochew ramai terlibat secara langsung di dalam sektor perikanan.


Dikatakan hanya pada kurun ke-19, barulah orang Teochew mula berhijrah ke Johor bagi bersama-sama merancakkan pembukaan Bandar-bandar baru yang mengkhusus di dalam perladangan lada hitam. Merekalah antara peladang lada hitam di Johor untuk sekian lamanya. Dan kerana itulah juga dikatakan suatu waktu dahulu dialek Teochew menjadi lingua franca dikalangan petani-petani dan yang berurusan dengan mereka di Johor.


Buat masa sekarang, komuniti Teochew ramai mendiami Bandar-bandar di Johor seperti di Pontian, Muar dan Batu Pahat. Komuniti ini juga ramai tinggal di utara Perak dan Kedah selain di Melaka serta Selangor lebih-lebih lagi di kawasan Sabak Bernam yang banyak mengusahakan sektor perikanan disana.


Seperti juga dialek Hakka, dialek Teochew juga dikatakan menerima nasib yang sama iaitu ianya jarang dipertuturkan di kalangan generasi mudanya kerana lebih memilih untuk berkomunikasi di dalam dialek Kantonis mahupun bahasa Mandarin itu sendiri.



5. Hokchiu dan Hokchia


Turut terkenal dengan gelaran Foochow kerana dialeknya yang dikatakan mempunyai persamaan dengan bahasa Korea dan Jepun. Namun ramai yang mengatakan bahawa perkataan Foochow itu merujuk kepada wilayah mereka berasal iaitu Fuzhou. Namun begitu orang Hokchiu pula berasal dari Fuzhou di Wilayah Fujian manakala Hokchia pula berasal dari Fuqing iaitu satu wilayah yang berada diantara sempadan Fuzhou.


Jika diikutkan dari segi sejarah, orang Foochow merupakan antara sub-etnik Kaum Cina yang paling terakhir berhijrah ke Malaysia iaitu pada awal abad ke 20. Kumpulan pertama orang Foochow adalah mereka yang berhijrah ke Sitiawan, Perak dan juga Sibu, Sarawak.


Dan signifikasi penghijrahan mereka adalah untuk menjadi petani dengan membuka tanah baru untuk diusahakan. Pada awal kedatangan mereka adalah orang Foochow yang terkenal dengan sifat berkerja keras dan tidak memperdulikan apa yang berlaku asalkan mereka mampu bercucuk tanam dan membina penghidupan yang lebih baik buat keluarga mereka.


Oleh kerana itulah, orang Foochow tiba di Sarawak apabila pada masa itu Kerajaan Brooke memberikan banyak faedah kepada mereka. Di kawasan seperti Sungai Rajang dan Sibu, Sarawak misalnya sehingga sekarang masih menjadi tumpuan untuk penempatan Orang Foochow. Di Malaya pula, orang Foochow masih lagi menggungguli kawasan seperti Sitiawan, Perak dan mula menebar sehingga ke Yong Peng, Johor dan Sepang, Selangor.


Dan orang Foochow cukup bangga dengan dialeknya dan sehingga sekarang generasi mudanya masih lagi memlestarikan dialek mereka walaupun arif berbahasa Mandarin dan sebagainya.



6. Hainan


Antara komuniti yang kecil di kalangan kaum Cina Malaysia. Orang Hainan dikatakan berasal dari sebuah pulau tidak jauh dari Guangdong yang dinamakan Pulau Hainan. Pada awal kedatangan mereka di Malaya ramai tertumpu di negeri-negeri Selat seperti di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Dan untuk di Borneo Utara (Sabah) pula berlaku pada awal abad ke 20.


Jika diikutkan orang Hainan yang dahulunya mula-mula berhijrah terpaksa bekerja dengan lebih keras daripada mana-mana imigran yang datang ke Malaya mahupun Sabah. Ini kerana banyak pekerjaan sudahpun dimonopoli oleh etnik-etnik kaum Cina yang lebih dahulu tiba. Akibat daripada itu dikatakan ramai antara mereka menjadi tukang masak kepada keluarga kaum cina yang kaya-raya di negeri-negeri selat pada ketika itu. Dan lama-kelamaan apabila sudah beroleh sedikit simpanan, mereka akhirnya kembali kepada kepakaran mereka dengan membuka kedai kopi kerana itulah sebenarnya pekerjaan azali mereka di Negara mereka.


Dialek Hainan juga masih dipertuturkan sehingga kini oleh generasi muda mereka walaupun ianya tidak seasli dialek Hainan dari Pulau Hainan, China lagi. Dan sekarang, orang Hainan ramai mendiami negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Melaka malah sehingga ke Kemaman, Trengganu. Begitu juga di Sabah mahupun Sarawak itu sendiri.



7. Henghua


Henghua pula mempunyai penghijrahan yang berbeza kerana orang Henghua sebenarnya berasal daripada Henan sebelum mula membuat penghijrahan ke Putian iaitu salah satu daripada wilayah di Fujian akibat daripada desakan Perang Dingin yang berlaku di China. Dan kerana itulah dialeknya dinamakan Puxian.


Daripada Putian itulah barulah mereka mula berhijrah ke Malaya dan menerima nasib yang sama seperti Hainan yang mana kebanyakan peluang pekerjaan utama sudah didominasi oleh etnik yang lain. Jadi bagi survival orang Henghua pada ketika itu menceburi bidang yang lain iaitu pengangkutan.


Oleh kerana itulah orang Henghua suatu waktu dahulu dominan di dalam industri pengangkutan seperti pembawa beca iaitu samada ditarik dengan menggunakan tenaga manusia mahupun berbasikal. Sejajar dengan waktu juga akhirnya orang Henghua mendominasi dunia pengangkutan dengan berkembang kepada menjadi pemandu teksi mahupun mengusahakan perusahaan bas dan teksi. Begitu juga ramai antara mereka turut menjadikan rantaian industri pengangkutan sebagai ekonomi mereka seperti membuka kedai alat ganti kereta dan bas serta menjadi mekanik di dalam industri otomobil sehingga sekarang.


Dialek Puxian juga sebenarnya menerima nasib yang sama seperti dialek Teochew kerana ramai generasi mudanya lebih memilih untuk bertutur di dalam bahasa Kantonis mahupun Mandarin.



8. Wu dan Mandarin


Turut dikenali dengan nama etnik San Jiang walaupun mempunyai asal yang berlainan. Orang Wu dikatakan berasal dari Zhejiang, Jiangsu dan Shanghai manakala orang Mandarin pula berasal dari Hebei iaitu kawaan Selatan Beijing dan Shandong. Namun nama San Jiang digunapakai kerana penempatan mereka adalah dipersisiran sungai-sungai besar di China seperti Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Sungai Amur.


Orang San Jiang ini merupakan komuniti kaum Cina yang kecil dan populasi kecil mereka ramai terdapat di Sabah dan juga Pulau Pinang. Kewujudan Persatuan San Kiang Pulau Pinang yang ditubuhkan sejak tahun 1897 menjadi saksi komuniti ini wujud di negeri itu sehingga sekarang.



9. Kwongsai


Komuniti kaum cina yang paling sedikit di Malaysia adalah Orang Kwongsai. Dialeknya dikenali dengan nama Pinghua. Dikatakan berasal dari wilayah Guangxi dan mereka juga disebut sebagai antara komuniti kaum Cina yang terakhir membuat penghijrahan ke Malaysia.


Orang Kwongsai juga tidak merata-rata di Malaysia dan komuniti kecil ini sehingga sekarang mendiami negeri Pahang sahaja seperti di Bentong, Mentakab dan Raub. Dialek mereka masih lagi dilestarikan walaupun sudah mula diasimilasikan dengan beberapa bahasa tempatan tidak seperti dialek Pinghua yang asalnya.



Informasi yang secubit ini adalah bagi memberi kita sedikit kefahaman mengenai sub-sub etnik Kaum Cina di Malaysia serta dialek-dialek malah juga sumber ekonomi mereka sejak mula membuat penghijrahan di segenap ceruk rantau Semenanjung Tanah Melayu, Sabah mahupun Sarawak. Seperti etnik-etnik pribumi di Sabah dan Sarawak juga ada sesetengah dialek-dialek mereka ada yang hilang mahupun sudah diasimilasikan akibat pertembungan bahasa dengan masyarakat lain.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!


Rujukan:

1. Author: Lee Kam Hing and Tan Chee-Beng Title: The Chinese In Malaysia. Journal of the Malaysia Branch of the Royal Asiatic Society Vol. 76, No. 1 (284) (2003), pp. 121-123

2. The Origins Of The Hokkien, Cantonese, And Other Chinese Dialect Groups In Malaysia

http://says.com/my/lifestyle/history-ancestral-origin-spoken-dialect-of-chinese-people-in-malaysia

3. Overseas Chinese in Malaysia

http://www.chinatownology.com/overseas_chinese_malaysia.html

bottom of page