top of page

MAKAM SELARONG BERNISAN TIGA


MAKAM SELARONG BERNISAN TIGA

BUKAN sultan sebarang sultan kerana sultan ini merupakan antara sultan yang terkuat di dalam sejarah berdirinya Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Sultan yang terkenal dengan jolokan sebagai penakluk kerana di zaman pemerintahannya jugalah Brunei mencapai zaman kegemilangannya. Jajahan takluknya bertebaran di mana-mana dan usah ditanya di Kepulauan Borneo pada ketika itu kerana ¾ Borneo sudah menjadi wilayah Brunei. Dan ianya juga turut menebar sehingga ke Filipina iaitu di Sulu, Balayan, Mindoro, Bonbon, Balabak, Balambangan, Bangi, Mantani, Palawan malah juga Saludang (Luzon sekarang).

“Makam Selarong Bernisan Tiga” itulah nama lain untuk sebuah makam yang lokasinya terletak di Perkuburan Islam di Kota Batu, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam ini adalah tempat bersemadinya sultan Brunei yang ke-5 iaitu Sultan Abdul Salam Bolkiah atau juga Sultan Salam yang memerintah di antara tahun 1485-1524 Masihi. Mungkin ramai yang tidak mengenali nama tersebut kerana sultan ini sebenarnya terkenal dengan jolokan nama lain iaitu Nakhoda Ragam. Kerana kegagahannya juga di dalam Hikayat Hang Tuah nama baginda turut disebut sebagai Adipati Sulok kerana perkaitannya dengan Kerajaan Sulu suatu waktu dahulu.

Kehebatan Sultan Bolkiah dikenali dengan nama Nakhoda Ragam kerana bagindalah juga seorang nakhoda kapal yang gagah perkasa, berlayar dari satu Negara ke Negara yang lain samada untuk tujuan diplomatik mahupun meluaskan kuasa. Tiada tara kepakarannya kerana baginda mengemudi bahteranya sendiri dan ini membuktikan bahawa baginda amat arif apabila berkata tentang selok belok alam laut di seluruh Nusantara suatu waktu dahulu.

Dikatakan sudah menjadi lumrah untuk baginda di dalam setiap pelayaran bahteranya akan membawa bersama beberapa peralatan seperti Nobat dan Gendang Diraja sebagai tanda keberangkatan rombongannya. Pelbagai ragam muzik dimainkan di sepanjang pelayaran dan kerana itulah dinamakan Nakhoda Ragam atau di dalam bahasa Inggeris “The singing captain” jika kita menggodek jurnal tulisan pihak barat.

Dan makamnya diberikan nama sebegitu rupa kerana walau hanya 2 jasad iaitu Almarhum Sultan Bolkiah dan permaisuri baginda yang disayangi oleh Almarhumah Puteri Lela Manchanai yang dikebumikan tetapi ada 3 batu nisan turut berada di satu tempat yang sama. Bukan makam yang biasa kerana binaan makamnya diperbuat daripada batu iaitu sebagai lambang kekuatan dan keutuhan Sultan Bolkiah sebagai penakluk.

Selain daripada itu simbolik kepada keagungannya juga, “makam Selarong Bernisan Tiga” ini turut dihiasi dengan ukiran yang sangat halus dan indah iaitu bercirikan seni ukir Melayu dan juga pengaruh seni ukir Cina. Sebagai tambahan juga turut terdapat ukiran bebentuk kalam Allah iaitu ayat-ayat dari kitab suci Al-Quran. Difahamkan oleh kerana ianya makam bersemadinya sultan yang perkasa maka pengukir-pengukirnya juga terdiri daripada pengukir-pengukir terkenal dari Tanah Jawa yang didatangkan khas oleh Sultan Abdul Kahar iaitu pemerintah Brunei selepas baginda.

Pada batu nisan Sultan Bolkiah tertera tarikh kemangkatan baginda pada tanggal 9 Ramadhan 930 Hijrah atau bersamaan dengan 11hb Julai 1524 Masihi. Walaupun baginda seorang penakluk namun sehingga sekarang dikatakan kemangkatan baginda masih tiada titik hujung penyebabnya. Ini kerana Sultan Bolkiah mangkat diketika baginda sedang di dalam pelayaran dengan isteri barunya iaitu Puteri Lela Manchanai iaitu dikatakan seorang puteri dari Kerajaan Sulu. Namun apabila berkata mengenai Puteri Lela Manchanai itu sendiri juga menurut legenda turut menghiasi cerita legenda dari Tanah Jawa iaitu Puteri Djunjong Buieh atau Puteri Junjung Buih.

Bagi menggambarkan mengenai cerita kemangkatan Sultan Bolkiah di dalam pelayaran ini terdapat satu lagu yang bercerita mengenainya oleh karyawan Brunei iaitu Shukri Zain pada tanggal 10 Mac 1968. Antara lirik lagu “Puteri Laila Mencanai” adalah:

Serumpun kumpai di tengah lautan Dalamnya terkandung buih nan indah Darinya menjelma puteri rupawan Dijadikan isteri Sultan Bolkiah

Puteri jelita Laila Mencanai Didapat baginda dalam pelayaran Kasih baginda tiada ternilai Hajat isterinya dapat ditunaikan

Dalam pelayaran isterinya menjahit Jarum emas penyulam-nyulam Baginda perhatikan begitu asyik Sehingga tertidur dalam pangkuan

Puteri pun terharu sulaman tak tentu Jarum tercucuk ke tangan baginda Bisanya jarum tawar tak selulu Mangkatlah baginda di tangan jelita

Laila Mencanai berdukacita Akhirnya puteri menikam dirinya Meninggalkan wasiat bermakam sama Makam selarong bernisan tiga

Jelas sekali di dalam cerita legenda penuh epik ini digambarkan bahawa Sultan Bolkiah mangkat di pangkuan permaisurinya sendiri dek kerana tercucuk tanpa sengaja jarum emas iaitu jarum sulaman permaisurinya. Namun ada ramai sejarahwan berkata bahawa kemangkatan Sultan Bolkiah itu sebenarnya disengajakan kerana dikatakan bahawa “pembunuhnya” adalah permaisurinya sendiri iaitu Puteri Lela Menchanai.

Difahamkan diketika pelayaran itu timbul satu bau busuk di dalam bahtera dan dikatakan Puteri Lela Menchanai memberi alasan bahawa bau busuk itu adalah bau bangkai tikus yang mati. Namun tiada alasan untuk Puteri itu cuba berahsia dan mahu tidak mahu perkhabaran kemangkatan Sultan Bolkiah akhirnya diperjelaskan kepada keluarga diraja Brunei sendiri iaitu Pengiran Muda Tengah Abdul Kahar iaitu anakanda Sultan Bolkiah yang akan memangku tugas-tugas pemerintah Brunei disepanjang ketiadaannya.

Namun usai sahaja ketibaan mereka belum lagi sempat bersua dengan anakanda Pengiran Muda Tengah Abdul Kahar, Puteri Lela Menchanai menikam dirinya sendiri dan akhirnya disemadikan di satu tempat yang sama yang kita kenali sebagai makam salorang bernisan tiga.

Terlalu banyak hipotesis mengenai kebarangkalian penyebab kemangkatan Sultan Bolkiah, pemerintah yang gagah perkasa Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam ini. Ada sejarahwan dari Belanda menyatakan bahawa kemangkatan baginda ada kait mengait dengan perebutan kuasa di dalam pelayaran. Baginda dikhabarkan dibunuh oleh sahabat pelayaran baginda kenali. Namun sehingga sekarang masih tiada bukti kukuh apabila berkata mengenai konspirasi ini.

Selain itu ada juga mengaitkan bahawa kemangkatan Sultan Bolkiah adalah kerana sumpahan. Menurut seorang sejarahwan Brunei iaitu Pengiran Haji Tengah bin Pengiran Muhammad pula berkata bahawa kemangkatan baginda Sultan Bolkiah adalah kerana mengahwini seorang puteri yang berasal dari Pulau Daratan Bini. Diceritakan bahawa mana-mana lelaki yang memperisterikan wanita daripada pulau itu harus menetap di pulau itu. Dan apabila berhajat untuk membawa keluar isterinya maka keesokan harinya akan menemui ajal. Namun kerana kegagahan serta sikap penakluk Sultan Bolkiah itu juga menidakkan imuniti sumpahan itu ke atasnya di pulau tersebut.

Diceritakan kerana kedatangan baginda ke Pulau Daratan Bini berjaya mengalahkan Raja Daratan Bini itu sendiri. Malah kekalahan Raja Daratan Bini keatas Sultan Bolkiah berjaya menyebabkan baginda dihadiahkan dengan sebatang besi yang merupakan asas besi untuk menjadi “Keris Si Naga” iaitu antara lambang kekuasaan Brunei dari dahulu sehingga sekarang.

Walau apapun hipotesis ini masih lagi hanya menjadi cerita sahaja kerana keberadaan Pulau Daratan Bini sehingga sekarang hanya menjadi pemuat cerita legenda terkenal bagi masyarakat-masyarakat di sebelah bekas tanah jajahan Brunei iaitu di Sulu dan sebagainya.

Makam Selarong Bernisan Tiga ini antara pemakaman yang terkenal sehingga mampu menjadi daya penarik kepada pencinta-pencinta sejarah di dunia. Kemangkatan Sultan Bolkiah yang disemadikan bersama isteri tercinta Puteri Lela Menchanai tetap menjadi misteri sehingga sekarang.

-HB-


Rujukan:

1. Kesultanan Brunei Darussalam http://www.kerajaannusantara.com/id/brunei-darussalam/makam-sultan-bolkiah 2. The Mouseleum Of Sultan Bolkiah http://melayuonline.com/eng/history/dig/427/the-mausoleum-of-sultan-bolkiah 3. Lawatan Ke Makam Al-Marhum Sultan Bolkiah http://tengkusyah.blogspot.my/2013/12/lawatan-ke-makam-al-marhum-sultan.html

bottom of page