ROHINGYA .. KE MANAKAH HARUS KU BAWA DIRI?
ROHINGYA.. KE MANAKAH HARUS KU BAWA DIRI?
APA yang disajikan pada kali ini adalah diluar daripada kebiasaan penulisan daripada Borneo Oracle. Bukan satu penulisan bersifat rasis namun ianya dibuat atas kesedaran sebagai seorang manusia yang diberikan Allah nyawa untuk menumpang di bumi Allah yang luas ini. Ya, kekejaman itu ada dimana-mana sekarang cuma bezanya masyarakat Rohingya di bumi Myammar sekarang seperti dilupakan oleh kita semua tentang hal kekejaman ke atas mereka. Pelbagai andaian daripada media massa ada yang berkata ini adalah penyebab kepada ketidakpuasan politik dan tidak kurang juga yang berkata agama majoriti sedang membunuh secara terang-terangan penganut agama minoriti. Hakikatnya setiap satu daripada kita yang beragama tidak kira majoriti mahupun minoriti sudah tentu punya satu pegangan bahawa setiap agama yang dianuti oleh manusia di dunia tetap mengajar penganutnya dengan ajaran yang baik-baik.
Bumi Arakan atau Rakhine disitulah berhimpunnya masyarakat Islam Rohingya yang sudah beberapa tahun ini bergejolak dengan penghapusan etnik sehingga perkampungan dimusnahkan, masyarakatnya dibunuh, dibakar, diseksa tidak kira tua atau muda malah bayi sekalipun menerima nasib yang sama. Sesiapa yang cintakan keamanan sudah tentu tercalar hatinya apabila melihat satu demi satu gambar yang disajikan di media sosial, media massa mahupun langsung dari youtube.
Terasing dibumi sendiri dengan ditidakkan kewarganegaraan serta didiskriminasi juga menjadi sasaran kekerasan sekelompok mereka yang berselindung disebalik agama yang seolah-olah “kebal” undang-undang sehingga kita yang menggelar diri kita masyarakat ASEAN hanya diam seribu bahasa tanpa membuat apa-apa. Inilah nasib masyarakat Rohingya di bumi Myammar yang kita sebenarnya “butakan mata, bisukan suara dan pekakkan telinga” tentang azab yang menimpa mereka.
Kerajaan Kuno Orang Rohingya Di Bumi Myammar
Rohingya itu asalnya dari pendatang baru dari Bangladesh? Itulah antara yang sering disajikan kepada kita mengenai keberadaan etnik minoriti ini. Hakikatnya sesiapa yang mengatakan sedemikian adalah mereka yang dangkal sejarah. Jika kita mengimbau sejarah Rohingya itu sebenarnya sudahpun ada di bumi Myammar sejak Myammar belum disatukan dan menjadi sebuah Negara lagi. Orang Rohingya yang kita kenali sekarang sebenarnya adalah mereka yang mana nenek moyangnya adalah campuran Arab, Turki, Parsi, India dan Monggolia. Dan kewujudan mereka di bumi Myammar bermula sejak di kurun ke 11 Masihi lagi iaitu sejajar dengan perkembangan Islam di Myammar. Pada masa perkembangan agama Islam, saudagar dan juga mubaligh Arab, India, Parsi dan sebagainya telah pertama kalinya menjejak kaki mereka di lembah Sungai Ayevarwady, Semenangjung Tanitharyi dan Arakan yang terletak di sebelah barat Myammar sekarang.
Mereka memperkembangkan sinar Islam di sana dan akhirnya berasimilasi dengan penduduk tempatan iaitu etnik Arakan mahupun juga turut membawa keluarga mereka bersama-sama berhijrah mendiami wilayah tersebut. Dan di bumi Myammar yang majoritinya beragama Buddha juga mempunyai etnik pribumi mereka yang dikenali sebagai etnik Shan yang majoritinya memeluk agama Islam hasil daripada penyebaran agama Islam ke Myanmar itu sendiri. Dan mana mungkin kita boleh menidakkan tentang sejarah pada tahun 1406 bagaimana Raja Arakan berperang dengan Raja Myammar. Pada masa itu Gunung Arakan menjadi pemisah antara penganut agama Islam dan Buddha di Myammar. Raja Arakan walaupun tidak Islam pada masa itu namun tetap melestarikan kebebasan beragama di negaranya. Raja Arakan yang dimaksudkan adalah Raja Naramekhla atau Min Saw Mon telah memohon suaka perlindungan ke Kerajaan Bengal (Bangladesh sekarang) setelah kerajaannya diserang oleh Raja Myanmar.
Di ketika di dalam buangan, Sultan Jalaluddin Khan yang merupakan pemerintah Kerajaan Bengal telah mengislamkan sendiri Raja Naramekhla dan menukar namanya menjadi Raja Suleiman Shah. Bahkan dikatakan bukan sahaja Raja Suleiman yang turut memohon suaka di Kerajaan Bengal pada ketika itu sebaliknya rakyatnya juga yang beragama Islam turut sama-sama berpindah ke Bengal kerana tidak mahu melalui kekejaman pemerintahan Raja Myanmar yang beragama Buddha. |
Namun kerana kuatnya Kerajaan Bengal pada masa itu membantu Raja Suleiman akhirnya beliau mampu kembali ke Negaranya dengan berjaya mengusir keluar Raja Myammar pada masa itu. Sekitar tahun 1420an akhirnya wilayah Kerajaan Arakan diistiharkan sebagai kerajaan Islam merdeka oleh Raja Suleiman Shah. Menurut sejarah juga menyajikan kita bahawa Islam itu berdiri teguh di Arakan selama lebih kurang 350 tahun. Malah diketika zaman kehancuran Kerajaan Bengal juga kerajaan itu turut diserap ke dalam Kesultanan Mughal dan Kerajaan Arakan Mrauk-U iaitu kerajaan kuno orang Rohingya.
Pada tahun 1784, Arakan kembali dikuasai oleh Raja Myammar yang akhirnya menjadikan ianya menjadi kerajaan islam sebelumnya diistiharkan menjadi sebuah kerajaan beragama Buddha oleh pemerintahnya. Dan diceritakan nama orang Rohingya yang kita kenali sekarang juga sebenarnya berlaku selepas itu apabila Raja Myammar mengubah mereka yang dikenali sebagai rakyat “Mrohaung” menjadi Rohang atau Rohangya atau Rohingya.
Perang Inggeris-Burma (1823, 1853 & 1885)
Di dalam sejarah perang Burma (Myammar sekarang) menyaksikan ada 3 rentetan sejarah perangnya yang menyaksikan akhirnya Burma menjadi jajahan Koloni British. Perang yang pertama juga bermula disebabkan oleh tindak tanduk pemerintahan Myanmar dahulu iaitu Raja Badyidau terus-terusan menindas masyarakat Rohingya di Arakan. Mereka dipaksa seperti hamba abdi tanpa ada upah asalkan berkhidmat untuk raja mereka.
Hal ini ditentang oleh rakyat Rohingya di Arakan yang akhirnya menyebabkan mereka melarikan diri ke sempadan India dibawah koloni British. Akhirnya berlaku salah faham antara Myanmar dengan Inggeris dek kerana tuduhan bahawa Inggeris memberi perlindungan politik kepada orang Rohingya pada ketika itu. Dan kerana itulah akhirnya tercetus perang antara mereka pada tahun 1823 sehingga 1826.
Akibat kalah akhirnya Myammar terpaksa menerima perjanjian dengan Inggeris yang dikenali sebagai Perjanjian Yandabo 1826. Maka bermulalah episode Myanmar sedikit demi sedikit menjadi jajahan koloni British yang bermula di Arakan itu sendiri. Kemudian keangkuhan pemerintah Myammar akhirnya siri-siri perang Burma-Inggeris kedua iaitu pada tahun 1853 dan seterusnya perang Burma-Inggeris ketiga pada tahun 1885 menjadikan Myammar menjadi jajahan koloni British secara total akhirnya. Dan Koloni British akhirnya memerdekakan Myanmar pada tanggal 4 Januari 1948.
Rohingya sebagai rakyat Myanmar semasa Koloni British
Apa yang berlaku sekarang sebenarnya langsung tidak ada di ketika pemerintahan Koloni British di Myanmar suatu waktu dahulu. Rohingya yang menjadi majority di bumi Arakan sebenarnya mendapat pengiktirafan daripada Koloni British. Jika mengimbau sejarahnya di ketika Koloni British memerintah masyarakat Rohingya telah diberikan beberapa kemudahan seperti juga rakyat Myanmar yang lain.
Ada dokumen-dokumen rasmi yang menyatakan bahawa masyarakat Rohingya diberikan slot rancangan radionya yang tersendiri yang menggunakan bahasa rohingya sebagai bahasa pengantarnya. Ini sebenarnya memudahkan Koloni British menyampaikan segala tujuan kerajaan British kepada masyarakat di Arakan pada masa itu.
Malah jika kita mengimbau pasca-kemerdekaan Myanmar daripada Koloni British itu telah menyebut bahawa pemimpin-pemimpin Rohingya sendiri telah membantah kemasukan Arakan sebaliknya memohon untuk diselitkan sebagai Negara berautonomi dibawah Myanmar namun ianya tidak menjadi kenyataan. Dikatakan pemimpin Rohingya amat takut peristiwa lama berulang kembali yang mana Arakan pada masa itu majoritinya penganut agama Islam akan menjadi “kambing hitam” kepada majoriti penduduk beragama Buddha seperti sejarah lama mereka.
Mengimbau sejarah lama masyarakat Rohingya yang beragama Islam ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa mereka sebenarnya BUKAN ORANG ASING di dalam penghidupan orang Myanmar itu sendiri malah mereka juga adalah rakyat kepada Myanmar dan ditidakkan segalanya. Dari sejarahnya juga seperti kita mengetahui bahawa tindak tanduk sekarang adalah kerana seumpama “balas dendam” kepada apa yang terjadi dahulu. Adilkah untuk berbuat demikian kerana sejarah tetap sejarah malah seluruh dunia mempunyai sejarah hitamnya.
Ke manakah harus mereka pergi kerana mereka pada abad sekarang adalah rakyat pesona nan-granta. Perlukah mereka melarikan diri seperti sejarah lama mereka ke dunia ketiga yang rata-ratanya tidak mahu menerima mereka kerana kekangan ekonomi dan mengelak masalah sosial nanti. Apa yang berlaku sekarang adalah permainan sekelompok mereka yang berselindung di sebalik agama bagi membenarkan kebatilan yang berlaku. Sedangkan hakikatnya ianya tidak langsung diajar di dalam norma-norma ajaran agama Buddha di seluruh dunia yang kita ketahui.
Hendak diusir KE MANA? Myanmar itu juga tanah tumpah nenek moyang mereka.
Diseksa, dihapuskan serta dibunuh dengan kejam..MENGAPA? Mereka juga adalah manusia yang punya nyawa yang berhak hidup di bumi Tuhan yang fana ini. Kita sebagai rakyat Malaysia harus bersama-sama mendokong usaha dunia dan Kerajaan Malaysia untuk menekan Myanmar agar jangan bersikap berat sebelah. Kita ketepikan perbezaan fahaman politik, agama dan bangsa. Bersolidaritilah kita semua sebagai seorang manusia yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat.
Jika kita membenci apa yang dilakukan di bumi Palestin MENGAPA TIDAK UNTUK MASYARAKAT ROHINGYA DI MYANMAR juga!
Rohingya.. Ke manakah harus ku bawa diri?