top of page

LEVOU PUAU


LEVOU PUAU

[if !supportLists]- Wira Misteri Etnik Kejaman

WIRA yang dimaksudkan ini bukanlah wira yang gagah perkasa menghunus parang dan tombaknya di medan peperangan sebaliknya satu ikon wira yang banyak berjasa kepada masyarakat Kejaman suatu waktu dahulu. Dan yang lebih uniknya, dikatakan sehingga ke hari ini dia masih wujud Cuma penampakkannya tidak disedari oleh orang ramai. Itulah kepercayaan komuniti etnik Kejaman apabila berbicara mengenai Levou Puau, ikon wira misteri etnik Kejaman.

Adalah dipercayai bahawa wira bernama Levou Puau ini begitu tinggi kesaktiannya dan beliau hidup antara alam ghaib dan dunia nyata. Tempat tinggalnya pula sehingga ke hari ini masih ada iaitu di satu perkampungan yang berada dekat dengan hutan di seberang sungai di Pekan Belaga sekarang. Oleh kerana hidup di alam ghaib dan nyata maka dikatakan juga bahawa Levou Puau adalah separuh manusia dan separuh bunian. Bukan selalu beliau menampilkan dirinya sebaliknya hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja dan kebiasaannya kehadirannya tidak disedari oleh orangramai.

Antara hobi Levou Puau adalah mengembara sambil-sambil beramah mesra dengan masyarakat di Belaga. Dan dikatakan juga seringkali beliau mengembara dengan menggunakan jalan darat mahupun sungai. Dan oleh kerana itulah beliau dikatakan amat gagah serta pandai di dalam serba serbi lebih-lebih lagi mengenai selok belok dunia hutan di daerah Belaga.

Pernah suatu waktu dahulu menurut orang tua-tua etnik Kejaman, Levou Puau ingin mengembara ke hulu Belaga. Dan pada ketika itu, Levou Puau tiada pilihan selain hanya bersandarkan sebuah perahu untuk melalui kawasan hulu Sungai Baloi. Dan umum mengetahui untuk melalui kawasan itu sudah tentu terdapat jeram-jeram yang merbahaya namun semuanya langsung tidak ditakuti oleh Levou Puau.

Di ketika di dalam perjalanan itulah dikatakan ada sebongkah batu besar menganggu kayuhannya. Batu besar itu dipanggil sebagai batu angin kerana lokasinya yang melintang di tengah-tengah sungai sehingga menyukarkan sesiapa untuk melaluinya. Levou Puau mencuba sedaya upaya untuk membelah mahupun menghancurkan batu tersebut dengan apa jua peralatan yang beliau bawa namun tiada satupun berhasil.

Lelah atas cubaan demi cubaan bagi membelah batu angin tersebut akhirnya Levou Puau didatangi oleh seekor burung. Burung Kujit itulah sejenis spesis burung yang banyak terdapat di Belaga dan menurut ceritanya kerana kesaktian Levou Puau, beliau dikatakan boleh memahami apa yang disuruh oleh burung kujit tersebut. Burung kujit itu memberikan saranan kepada Levou Puau untuk mencari satu kayu lembut yang dipanggil “gelak” oleh masyarakat tempatan. Dan dengan menggunakan kayu gelak itulah Levou Puau boleh berbuat sesuatu ke atas batu angin yang melintang di tengah-tengah Sungai Balui.

Tanpa berfikir panjang, Levou Puau telah mengikat perahunya ke tepian dan seterusnya mencari kayu gelak yang dimaksudkan. Dan setelah mendapatkannya dengan kayu tersebutlah beliau menolak batu angin. Ternyata apa yang diajar oleh Burung Kujit sememangnya betul dan batu angin tersebut ditolak ke dalam sungai sehingga ianya pecah berderai sehingga hanyut dibawa arus deras sehingga ke hilir Sungai Balui.

Dan kerana itulah masyarakat Kejaman mempercayai jeram-jeram yang semakin banyak di hilir Sungai Balui itu adalah kerana pecahan batu angin yang ditolak oleh Levou Puau suatu waktu dahulu. Jika tidak kerana Levou Puau berbuat demikian sudah tentu sehingga sekarang sesiapa sahaja yang ingin menggunakan Sungai Balui terpaksa berhadapan dengan batu angin yang melintang di tengah-tengah sungai yang sudah tentu akan menyusahkan orangramai.

Itu ceritanya Levou Puau di Sungai Balui, kemudian ada juga cerita ketokohannya ketika mengembara ke Lubuk Mejawah. Usai sampai dengan perjalanan darat, beliau sampai ke sebuah perkampungan di kawasan tersebut. Cuma pada ketika itu Levou Puau dapat merasakan satu keganjilan kerana perkampungan tersebut seperti di dalam kesedihan dan sunyi sepi. Tidak seperti kebiasaan beliau mengembara kerana Kaum Orang Ulu adalah antara masyarakat yang sentiasa mengalu-alukan tetamu.

Seperti biasa mengikut adab Kaum Orang Ulu, rumah panjang Ketua Kampung atau Penghulu akan menjadi rumah untuk bersinggah. Dari perbualan mereka barulah Levou Puau mengetahui bahawa segala kesedihan penduduk kampung adalah kerana serangan sekumpulan tebuan yang bersaiz luar biasa. Menurut penduduk kampung dikatakan tebuan itu boleh sebesar ayam jantan dan akan apabila menyerang perkampungan akan membunuh binatang ternakan mereka malah nyawa penduduk kampung juga boleh melayang apabila disengatnya. Sudah puas mereka mencuba untuk melawan serangan tebuan tersebut namun tiada satupun yang berhasil malah kumpulan tebuan itu semakin mengganas pula.

Mendengar cerita perihal bala yang membuatkan penduduk kampung bermuram durja itu menyebabkan Levou Puau menawarkan diri untuk membanteras kumpulan tebuan tersebut. Pada mulanya penduduk kampung tidak punya keyakinan kerana mana mungkin hanya beliau seorang yang hendak mengalahkan sekumpulan tebuan itu namun akhirnya kerana kesungguhan Levou Puau, mereka bersetuju untuk membantu beliau serta menyediakan apa sahaja yang diminta oleh Levou Puau.

Permintaan Levou Puau agar disediakan dawai tembaga yang banyak yang kemudian diikat menjadi jala yang besar adalah sesuatu yang pelik bagi penduduk kampung. Namun oleh kerana mereka telah berjanji maka segalanya diadakan walaupun bukan senang untuk mendapatkannya. Penduduk kampung bergotong royong dengan Levou Puau untuk menyiapkan jala dari dawai tembaga itu dan akhirnya selepas satu ketika maka siaplah jala seperti yang diingini oleh Levou Puau. Dikatakan di sepanjang menunggu jalanya siap, Levou Puau sendiri sentiasa memerhati segala aksi dan tindak tanduk sekumpulan tebuan itu dari jauh. Melalui pemerhatian itulah Levou Puau mengetahui dimanakah lubuk sarang sekumpulan tebuan itu.

Setelah siaga segalanya dan pada hari yang sesuai, Levou Puau berhadapan sendirian dengan sekumpulan tebuan itu dan beliau sendiri memohon agar penduduk jangan ikut campur. Kecekapan Levou Puau tiada bandingannya kerana diketika tebuan tersebut hendak lari dari serangan colok api Levou Puau pada ketika itulah sekumpulan tebuan telah terheret dan terperangkap di dalam jala besar yang diperbuat daripada dawai tembaga. Bila melihat tebuan sudah terperangkap pada masa itulah juga Levou Puau menyalakan api di jala pula dan ianya seolah-olah kelihatan seperti memanggang sekumpulan tebuan tersebut sehingga mati dan menjadi arang.

Inilah wira Levou Puau yang keperwiraannya disanjung bukan kerana beliau hebat bertingkah di perang-perang etnik sebaliknya kerana beliau banyak membantu masyarakat di Belaga suatu waktu dahulu. Budinya sentiasa diingati sehingga ke hari ini sehinggakan masyarakat Kejaman mempercayai masih ada Levou Puau di antara mereka. Dan mungkin juga Levou Puau ini boleh jadi sesiapa asalkan dirinya membuat kebajikan untuk kesenangan masyarakat di dalam komunitinya.

Ianya sesuai dengan kata bidalan lama… berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sesekali. Dan mungkin juga perumpamaan lama ini juga membuktikan cerita Levou Puau, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sungguh indah kiasan orang dulu-dulu mengajar kita maksud yang tersirat disebalik yang tersurat. Contohnya cerita misteri wira misteri etnik Kejaman bernama Levou Puau membuktikannya.


bottom of page