top of page

KAUM IRANUN, SABAH, BORNEO


KAUM IRANUN, SABAH, BORNEO


DIKENALI dengan nama kaum Iranun di Sabah dan jika menurut rujukan ethnologi dunia pula turut mempunyai nama lain iaitu Ilanun atau Illanoan atau Illanoon atau Illanun atau Iranum. Inilah satu kaum yang mewarnai kepelbagaian kaum dan budaya di Sabah. Mereka merupakan minoriti dan diiktiraf sebagai kaum bumiputera di Sabah sejak dahulu lagi.


Populasi mereka banyak tertumpu di daerah Kota Belud seperti di Kampung Pantai Emas, Kota Peladok, Tamau serta banyak lagi. Juga tidak ketinggalan di Lahad Datu (Kampung Tunku), Kudat (Kampung Indrason), Tuaran (Kampung Mangkabong) serta di Likas, Kota Kinabalu. Secara relatifnya jumlah populasi Kaum Iranun yang berselerak di Sabah walaupun minoriti tetapi lebih kurang antara 25,000 ke 30,000 orang kesemuanya.



Bagaimana “Iranun” Mendapat Nama


Menurut apa yang diketengahkan oleh sejarahwan, nama “Iranun” diambil dari perkataan orang Iranun sendiri yang bermaksud berkasih-kasihan atau sayang-menyayangi. Nama ini dicetuskan berikutan betapa kuatnya hubungan persaudaraan bagi kaum ini. Dikatakan setiap apa jua perkara yang mewarnai penghidupan mereka sentiasa dimuafakatkan dengan adanya gotong-royong dan sebagainya dek kerana kasih-kasihan yang tinggi antara mereka.



Asal-Usul Keturunan Kaum Iranun


Terdapat banyak teori dari mana asalnya Kaum Iranun ini kerana ada yang mempunyai teori mengatakan mereka berasal dari Filipina dan tidak kurang juga yang berkata mereka adalah dari Borneo itu sendiri sebelum berhijrah ke Filipina.



Teori 1: Asal Dari Filipina


Menurut kenyataan lisan yang dipetik dari perbualan dengan seorang tokoh sejarahwan yang juga mempunyai pertalian dengan Sultan Kudarat iaitu Datu Michael O. Mastura dari Mangadanao menyatakan bahawa pada asalnya Kaum Iranun adalah “orang darat” iaitu mereka mula-mula mendiami dan membuka penempatan awal mereka di kaki Gunung Matuaring seperti di wilayah Butiq dan Lanao. Pada masa itu mereka menjadikan pertanian dan juga menangkap ikan sebagai mata pencarian.


Dan saat perpindahan mereka dari satu tempat ke tempat yang lain adalah apabila Gunung Matuaring yang merupakan antara gunung berapi yang aktif di Filipina meletuskan lavanya sekitar kurun ke-17 masihi. Pada ketika itu demi survival, kaum Iranun telah menyelamatkan diri dan seterusnya mula berpindah ke Cotabato. Dan ada juga yang telah langsung berpindah ke pedalaman Tasik Lano De Sur.


Pada asalnya adalah “orang darat” namun tiada siapa boleh menidakkan bahawa Kaum Iranun juga di dalam sejarah terkenal sebagai pelayar yang hebat. Di dalam cerita-cerita sejarah lama nama kaum Iranun sering menghiasi dunia maritime di Nusantara. Sebenarnya penghijrahan mereka yang ketiga menjadikan mereka menjadi pelayar yang hebat di dunia maritime.


Menurut ceritanya kerana ingin mengelak daripada terus menjadi mangsa peperangan perluasan wilayah antara orang asal di Tasik Lano yang juga dikenali sebagai Lano, kaum Iranun memilih membelah samudera sebagai tempat mereka. Sejak itu kawasan persisiran pantai mahupun muara-muara sungai menjadi pilihan penempatan mereka. Kerana itulah dikatakan bahawa rumah atau binaan tempat tinggal mereka adalah berada di atas air yang dikenali sebagai Lotaou.


Suatu ketika dahulu di ketika Kerajaan Kesultanan Brunei turut menebar empayarnya ke selatan Filipina, dikatakan Kaum Iranun merupakan antara tentera upahan kepada mana-mana kerajaan kuno yang menjadi jajahan Brunei pada masa itu. Jadi adalah tidak menghairankan jika mereka pakar di dalam dunia maritime kerana lautan itu adalah padang permainan bagi mereka. Dan jika mereka menetap di Sabah juga tidak menghairankan kerana Sabah begitu dekat dengan tanahair mereka iaitu selatan Filipina.


Selain itu dikatakan juga Kaum Iranun adalah antara kaum yang pertama memeluk Islam dan mereka merupakan penyokong kepada Sharif Kabungsuwan. Dan kehadiran mereka di Sabah adalah ketika bersama-sama dengan Sharif Kabungsuwan untuk menyebarkan agama Islam dan akhirnya ada rombongan ekspedisi ini turut menjadi Sabah sebagai penempatan kekal mereka sehinggalah sekarang lalu membentuk Kaum Iranun, Sabah yang berbeza sedikit tradisi, budaya mahupun dialeknya dengan mereka yang di Filipina.



Teori 2: Asal dari Borneo


Bagi kaum Iranun yang berada di Sabah sekarang, mereka banyak bersandarkan kepada cerita-cerita rakyat bagi mengukuhkan bahawa mereka sebenarnya asal dari Borneo itu sendiri. Ini kerana jika kita merujuk kepada Legenda 10 Datu dari Borneo sebenarnya banyak memihak kepada teori ini.


Malah dikatakan cerita rakyat yang turut dikongsikan di Filipina ini sebenarnya lebih banyak mendefinisikan datu-datu dari Borneo sememangnya antara individu yang meneroka Filipina lebih awal daripada masyarakat yang lain. Jadi sekiranya ada pertembungan kaum Lano di Tasik Lano itu sebenarnya merujuk kepada kedatuan asal Borneo yang diceritakan di dalam cerita legenda tersebut.


10 datu dari Borneo yang dimaksudkan adalah Datu Puti, Datu Sumakwel, Datu Bangkaya, Datu Paiborong, Datu Padhuhinogan, Datu Dumangsol, Datu Libay, Datu Dumangsil, Datu Domalogdog dan Datu Balensuela. Ketibaan 10 datu dari Borneo ini telah menjadi ketakutan kepada penduduk pribumi dibawah ketuanya Marikudo.


Akhirnya kerana sifat diplomasi ketibaan mereka dialu-alukan yang seterusnya menjadikan mereka sebahagian daripada masyarakat pribumi di Filipina melalui perkahwinan dengan puteri-puteri pemimpin tempatan di Filipina seperti Piangpangan (Isteri Datu Puti), Kapinangan (isteri Datu Sumakwel), Katurong (Isteri Datu Bangkaya), Pabilaan (Isteri Datu Paiborong) dan Tibongsapay (Isteri Datu Padhuhinogan).

Dikatakan satu masyarakat yang mendiami Mindanao dikenali sebagai Lano atau Illanun ini sebenarnya merupakan adalah keturunan daripada asalnya nenek moyang mereka dari Borneo iaitu di kalangan 10 Datu-datu dari Borneo dan juga rombongannya. Dan sekiranya ada persamaan antara Iranun, Sabah dan juga Iranun di Filipina adalah kerana mereka adalah dari garis keturunan yang sama iaitu mereka asal Borneo.


Walaupun banyak kegoyahannya jika berdasarkan kepada cerita legenda kuno ini namun begitu setakat ini dikhabarkan ianya masih lagi di dalam proses penyelidikan oleh pihak sejarahwan kedua-dua Negara bagi membenarkannya.



Bahasa


Seperti kaum yang lain, Kaum Iranun di Sabah juga turut mempunyai bahasanya yang dipanggil “Basa Iranun”. Bahasa mereka dikelaskan sebagai bahasa Austronesia, Malayo-Polinesia, Phillipine, Greater Central Phillippine, Danao, Maranao-Iranon. Namun begitu biarpun dikelaskan sebagai bahasa yang sama seperti di Filipina tetapi dialek-dialek kaum Iranun di Sabah tidak sama sekali sama dengan dialek Iranun di Filipina mahupun di daerah-daerah di Sabah itu sendiri.


Seperti penemuan yang dilakukan oleh seorang sejarahwan kaum Iranun di Sabah iaitu Datu Bandira Datu Alang (1992:73-4) ada menyatakan bahawa dialek Iranun yang dipertuturkan di Tungku, Lahad Datu (pantai timur, Sabah) langsung tidak sama dengan dialek yang dipetuturkan kaum Iranun yang menetap di pantai barat Sabah itu sendiri. Walau ada perbezaan antara mereka ianya juga tidak bermakna mereka tidak boleh berkomunikasi diantara sama lain kerana pada asasnya kaum Iranun juga mempunyai basa Iranun baku iaitu merujuk kepada bahasa Iranun Marampayan yang digunapakai keseluruhannya oleh Kaum Iranun di Sabah selain berbahasa Melayu.



Inilah serba sedikit mengenai satu kaum bumiputera Sabah yang jarang-jarang diketahui oleh kita semua tentang cerita mereka iaitu Kaum Iranun. Sebenarnya ada banyak penceritaan sejarah kuno mengenai mereka di dalam rentetan sejarah kuno di Sarawak contohnya perang 100 tahun etnik Vaie Segaan atau Orang Bintulu di Sarawak dengan kaum ini. Kerana kehebatan mereka membelah dunia maritime juga menyaksikan mereka cuba bertapak di Bintulu khasnya namun mampu diperangi sendiri oleh Orang Bintulu tanpa bantuan Brooke pada waktu itu.




Rujukan:

1. Masyarakat Iranun di Sabah, 1780an hingga 1994. Tesis Tulisan Milus Bin Alu @ Abdul Wahab, (2009)

2, Asal-Usul Kaum Iranun Di Sabah

http://depu-depu.blogspot.my/2011/11/asal-usul-kaum-irranun-iranun-illanun.html

3, Irranun Sabah Ethnologue

https://www.ethnologue.com/language/ilm

bottom of page