KAIN PELIKAT
KAIN PELIKAT
“WHEN the British colonized Malaya, a British officer saw some of the malay boys wears kain sarung after they’re circumsized. So after that, it is called “pelir cut”! ….. Ini merupakan antara status yang dimuatnaik di laman media sosial baru-baru ini. Tidaklah diketahui samada ianya bertujuan untuk “troll” atau sebaliknya. Namun hakikatnya kenyataan seperti ini jauh dari sejarah sebenar mengenai satu busana yang dinamakan kain pelikat.
Sarung atau kain sarung atau sarung pelikat merupakan nama lain apabila berbicara mengenai kain pelikat iaitu satu busana yang sinonim dipakai oleh kaum lelaki. Dahulu ianya popular di kalangan masyarakat Melayu namun sejajar dengan waktu pemakaian kain pelikat telah melangkaui sempadannya apabila kaum-kaum yang lain juga gemar memakainya lebih-lebih lagi ketika hendak masuk tidur atau bersantai-santai di rumah.
Bagaimana Kain Pelikat Mendapat Nama
Sebenarnya pemakaian kain pelikat di seluruh nusantara bermula di ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka lagi. Dan pada ketika itu kita sendiri maklum bahawa ramainya saudagar dari seluruh dunia datang menjual hasil barangan mereka ke Melaka.
Menurut catatan daripada seorang pengembara berbangsa Portugis yang pernah tinggal di Melaka dari tahun 1528 hingga 1538 iaitu yang bernama Castanheda menyatakan di dalam tulisannya bahawa saudagar dari daerah Palaiyakat, Thondai Mandalam iaitu timur laut Tamil Nadu, India telah datang ke Melaka dengan membawa kain sarung, kain putih dan beberapa produk dari Palaiyakat.
Ternyata hasil jualan mereka sungguh laris dan menjadi kegilaan masyarakat di Melaka pada masa itu lebih-lebih lagi produk sarungnya. Dan nama kain pelikat yang kita kenali sekarang sebenarnya merujuk kepada kain yang dijual oleh saudagar dari Palaiyakat yang akhirnya mengikut lidah penutur dinamakan kain pelikat.
Jadi dari situlah bagaimana kain pelikat mendapat nama dan sudah tentu bukan sama sekali dinamakan oleh orang British dengan panggilan “pelir cut”. Pemakaian kain pelikat itu sudah sinonim di dunia nusantara jauh sebelum British menjajah Malaya malah telahpun ada di ketika keagungan Kesultanan Melaka lagi iaitu pada kurun ke 16 Masihi.
Kain Pelikat Di Dalam Sejarah Masyarakat Dunia
Sebenarnya kain pelikat yang kita di Malaysia kenali sekarang bukanlah hanya satu pemakaian untuk rakyat Malaysia sahaja. Sebaliknya juga popular di Indonesia, Brunei, Myanmar serta banyak lagi. Cuma mungkin gahnya pemakaian kain pelikat itu di Malaysia misalnya bermula sewaktu kewujudan Melaka.
Sebaliknya jika kita menyelusuri sejarah kain pelikat di dalam masyarakat dunia berasal usul dari Yaman. Namun begitu di Yaman ianya dikenali dengan nama “futah”. Malah pemakaian “futah” sudahpun ada di ketika sejarah Yaman kuno lagi iaitu futah yang dipakai oleh kaum Badwinya. Dan sehingga ke hari ini “futah” merupakan pakaian tradisi masyarakat Yaman.
Perkembangan “futah” dari Yaman berkembang sehingga ke semenanjung Arab kerana adanya kemajuan di dalam industri tekstil di Yaman. Penjualan produk tekstil di Yaman juga mencakupi sehingga ke Oman dan Negara sekitarnya. Tetapi di Negara seperti Oman ianya dikenali sebagai “wazaar” atau “ma’awis”. Di Arab Saudi juga ada kain pelikat tetapi digelar “izaar”.
Sarung juga bukanlah satu yang asing bagi nelayan-nelayan Arab di Teluk Parsi. Mereka yang mencari rezeki di Lautan Hindi dan Laut Merah sejak azalinya sudah menggunakan sarung untuk lilitan kepala mahupun kain untuk bekerja di laut. Di Turki pula sudah jadi kebiasaan bagi masyarakat Turki mengenakan kain sarung untuk pakain tidur mereka.
Jika di India, pemakaian sarung atau kain pelikat sememangnya sudah lama dipraktikkan malah antara pakaian tradisi mereka. Cuma bezanya ianya tidak bercorak-corak sebaliknya berwarna putih. Untuk Negara Bangladesh, kain pelikat digelar “lungi” dan cara pemakaiannya hampir sama dengan rakyat di Malaysia. Tidak kurang di Myammar, kain pelikat menjadi salah satu tradisi pemakaian rakyatnya dan dikenali dengan nama “longyi”.
Negara Gajah Putih iaitu Thailand, kain pelikat disebut sebagai “pakhawma” dan sudah sebati di dalam tradisi mereka sejak dari dahulu lagi. Ianya bukan sahaja dipakai oleh rakyat biasa malah juga bangsawan Thailand. Bagi Indonesia, Singapura mahupun Brunei bukanlah satu yang asing pemakaian kain pelikat di dalam penghidupan seharian mahupun di dalam adat istiadat mereka.
Jadi inilah sedikit informasi mengenai kain pelikat yang kita di Borneo turut memakai tanpa mengira agama dan kaum. Asalnya antara produk dagangan dibawa oleh saudagar India dari Palaiyakat, Tamil Nadu lalu dinamakan kain pelikat mengikut lidah penutur. Pemakaiannya sudah cukup lama di dalam sejarah masyarakat dunia. Malah pemakaian kain pelikat atau sarong bukan terhad kepada dunia lelaki juga turut menghiasi dunia fesyen para wanita di dunia.
Rujukan:
1. Tracing The Origin Of Kain Pelikat – Brunei Times
2. Futah Clothing – Britannica.Com
3. Fashionably Evergreen Sarong – The Star 10 October 2010