FORT BURDETT, MUKAH, SARAWAK
FORT BURDETT, MUKAH, SARAWAK
DI dalam rentetan sejarah Sarawak dibawah dinasti Keluarga Brooke ada banyak kubu-kubu yang didirikan di seluruh wilayah Sarawak suatu waktu dahulu. Tujuannya adalah untuk menjadi mercu tanda bahawa pentadbiran Brooke sudah ada di wilayah tersebut. Namun banyak juga kubu-kubu ini tidak dijaga malah ditinggalkan hanya digunakan buat seketika. Natijahnya banyak kubu-kubu ini tidak diketahui kewujudannya melainkan hanya diselitkan di dalam dokumen sejarah lama sahaja.
Mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa di Mukah juga mempunyai kubu tinggalan Brooke yang dikenali dengan nama Kubu Burnett atau Fort Burnett. Ianya sebenarnya mempunyai perkaitan apabila Brooke mula campurtangan di dalam industri sagu yang menjadi antara komuditi paling bernilai di pasaran suatu waktu dahulu.
Akibat daripada perang saudara yang berlaku di Mukah maka beliau telah mengambil kesempatan untuk mula mencampuri urusan di seluruh kawasan tersebut pada waktu itu. Setelah berjaya meredakan perang saudara tersebut maka pada tahun 1861, James Brooke telah berjaya memujuk Sultan Brunei wilayah ini dengan imbuhan setiap tahun sebanyak $4,500. Imbuhan yang telah dinantikan oleh Sultan Brunei kerana dikatakan sepanjang perang berlaku, beliau Sultan Brunei tidak menerima satu sen pun dari wilayah ini. (Rawlins, 1965).
Bagi menyatakan bahawa Brooke sudahpun memiliki Mukah maka pada tahun itu iaitu 1861, beliau turut mendirikan Fort Burdett namun ianya tidaklah berbentuk struktur binaan yang sempurna. Hanya pada waktu yang singkat sahaja ianya digunakan dan ditinggalkan begitu sahaja sehinggalah pada tahun 1911 Fort Burdett II didirikan. Hanya pada tahun 1911 barulah satu struktur yang utuh didirikan dengan mempunyai pegawai Sarawak Kingdomnya tersendiri yang bernama Henry Herbert Kortright.
Kebiasaannya nama-nama kubu-kubu Brooke yang berselerakan selalunya dinamakan dengan nama individu keluarga mahupun teman rapat atau penjawat awam Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Namun untuk cerita Fort Burdett pula sebenarnya diambil bersempena dengan nama seorang wanita jelita bangsa British yang cukup ternama di Britain suatu waktu dahulu.
Wanita Inggeris yang juga dari kalangan bangsawan Inggeris ini bernama Angela Georgina Burdett-Couts iaitu anak kepada 5th Baronet Sir Francis Burdett dengan isterinya Sophia Coutts. Ibunya adalah anak kepada seorang ahli perbankan terkemuka di England iaitu Thomas Coutts. Dan kekayaan keluarganya telah beliau warisi sejumlah wang yang banyak serta mewarisi pusaka Baron of England dan kerana itulah beliau turut digelar 1st Baroness Angela Burdett-Coutts.
Dan menurut cerita dikatakan Sir James Brooke mempunyai hubungan yang istimewa dengan beliau dan kerana ingin mengabadikan namanya maka kubu pertama di Mukah itu dinamakan dengan Fort Burdett. Selain itu, suatu waktu dahulu dikatakan wanita istimewa ini juga dikatakan banyak menghulurkan derma untuk kebajikan wanita mahupun anak-anak kecil di Sarawak. Dan di ketika ianya didirikan dengan bentuk binaan yang kukuh juga ianya tetap dinamakan sebagai Fort Burdett II oleh Kerajaan Sarawak Kingdom pada masa itu.
Sarawak pada tahun 1945 juga antara Negara yang terbabit di dalam Perang Dunia Kedua dan Mukah juga antara wilayah Sarawak yang mendapat kesannya. Fort Burdett II dikatakan musnah teruk akibat pengeboman tentera Jepun pada masa itu sehingga memungkinkan ianya tidak lagi wujud. Hanya pada tahun 1954, sekali lagi Fort Burdett II didirikan namun ianya tidak pada lokasi yang sama lagi.
Pembinaan Fort Burdett yang baru ini adalah atas usaha Kerajaan Koloni British Borneo yang sudahpun menjadikan Sarawak sebagai salah satu tanah jajahannya di Borneo pada masa itu. Dan namanya kekal digunakan bagi memberikan signifikasinya sebagai pusat pentadbiran di Mukah iaitu sejak di bawah era Brooke seterusnya era Koloni British Borneo.
Kemudian apabila Sarawak membentuk Gagasan Malaysia pada tahun 1963, Fort Burdett masih lagi menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak iaitu menjadi pejabat pentadbiran bagi Pejabat Daerah Mukah sehingga tahun 2003.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenal kubu-kubu Brooke di seluruh Sarawak. Tidaklah diketahui apakah yang berlaku pada Fort Burdett sekarang kerana banyak kubu-kubu Brooke terbiar tidak dipulihara kerana kekangan kos pihak Kerajaan. Mungkin generasi Sarawak yang tinggal di Mukah boleh berkongsi cerita terbaru mengenai Fort Burdett.