FROM GOEBILT WITH LOVE
FROM GOEBILT WITH LOVE
LOKASINYA terletak di penghujung muara Sungai Sarawak iaitu satu sungai yang menjadi nadi kepada penduduk-penduduk di Kuching, Sarawak. Jika dahulu harus menghilir sungai untuk ke tempatnya namun sekarang dengan jalinan jalan darat, Kampung Goebilt begitu mudah untuk dihubungi. Terkenal dengan hasil lautnya yang segar bugar dan kerana itulah ramai penduduk Kuching lebih gemar untuk ke perkampungan Melayu tradisional jika berkeinginan untuk mendapatkan hasil ikan segar buat santapan keluarga.
Mengimbau sejarah lama perkampungan ini sebenarnya suatu waktu dahulu dikenali sebagai Kampung Tanjung Batu yang mana sebuah perkampungan nelayan di persisiran Sungai Sarawak. Pada masa itu dikatakan ianya hanya mempunyai 25 buah rumah tradisional Melayu Sarawak. Dan dikatakan Kampung Tanjung Batu ketika itu dibuka untuk penempatan sekitar tahun 1890an.
Bagaimana Goebilt Mendapat Namanya
Nama perkampungan ini ditukar menjadi Kampung Goebilt atau Kampung Gobel bagi kebanyakan rakyat di Kuching berlaku pada tahun 1916. Pada tahun 1906 Rajah Charles Brooke iaitu rajah ke-2 Sarawak Kingdom mempunyai satu polisi yang membenarkan mana-mana pelabur dari luar Negara untuk memajukan Sarawak pada masa itu. Maka disinilah bermulanya hartawan daripada Amerika Syarikat iaitu Goelets dan Vanderbilts diberikan geran untuk memajukan tanah seluas 200 ekar di kawasan itu.
Pada ketika itu perniagaan Goelets dan Vanderbilt amat terkenal dengan penanaman pokok jelutong iaitu spesis pokok yang ditoreh batangnya untuk mengeluarkan getah serta juga untuk tujuan pembalakan. Getah-getah ini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dunia sekitar tahun 1900an kerana ianya antara bahan untuk membuat gula-gula getah atau “chewing gum”, racun untuk sumpitan serta pengganti getah asli.
Kedua-duanya telah membawa segala teknologi dan cara penanaman konvensional pokok jelutong yang berasal dari Malaya untuk ditanam di Sarawak pada masa itu. Dan disinilah bermulanya nama perkampungan itu menjadi Goebilts yang mana ianya menggabungkan 2 nama pemilik estet getah iaitu “Goe” bagi Goelets dan “Bilt” bagi Vanderbilt.
Pada masa ladang ini dibuka juga menyaksikan penduduk perkampungan yang rata-ratanya adalah nelayan konvensional pada masa itu turut menukar pekerjaan mereka menjadi pekerja di ladang samada secara sepenuh masa atau separuh masa. Ini kerana adakalanya nelayan-nelayan tidak ke laut, mereka mempunyai kerja sampingan untuk menambah rezeki keluarga pada masa itu.
Goebilt Di Dalam Sejarah Sarawak
Jika kita menjejaki sejarah Sarawak itu sendiri sebenarnya banyak peristiwa yang berlaku di Goebilt yang tidak diketahui kita semua. Malah apabila berbicara mengenai estet getah itu sendiri sebenarnya mempunyai rentetan ceritanya yang tersendiri. Pelabur dari Amerika Syarikat iaitu Goelets dan Vanderbilts sendiri mempunyai satu syarikat perladangan yang dinamakan dengan nama “Malaysian Private Limited”. Dan nama ini digunakan jauh sebelum Gagasan Malaysia itu ditubuhkan lagi. Pada tanggal 2hb Julai 1915, konsesi tanah pertanian melalui syarikat “Malaysian Private Limited” itu telah ditamatkan oleh Kerajaan Sarawak Kingdom dan ianya berlaku di Kampung Goebilt. Dan bagi mengenang penglibatan pelopornya maka sebab itulah namanya dikekalkan apabila merujuk kepada nama perkampungan ini.
Walaupun nama kampung Goebilt tidak begitu sensasi pada masa sekarang namun sebenarnya di ketika era Brooke memerintah, panorama Kampung Goebilt sebenarnya pernah menghiasi dunia poskad di Sarawak Kingdom. Pada masa itu tertera bagaimana Rajah Charles Brooke begitu menyayangi keindahan perkampungan nelayan di penghujung muara Sungai Sarawak. Poskad ini menjadi poskad rasmi ketika beliau berurusan dengan rakan-rakannya di luar Negara. Contoh poskad bertarikh 1913 ini seperti di dalam teaser artikel yang tertera ditulis Kampung Tanjung Batu dan Muara Tebas menjadi saksi bahawa kampung Goebilt bukanlah satu perkampungan nelayan yang biasa-biasa suatu waktu dahulu.
Apabila Sarawak membentuk Gagasan Malaysia pada tahun 1963 dan berlakukannya darurat komunis juga menyaksikan Kampung Goebilt dan kawasan Muara Tebas tidak dapat lari daripada ancaman komunis. Sekitar Mac 1971 menyaksikan Kampung Goebilt sendiri menjadi saksi bagaimana “Ops Hentam” melakukan operasi memerangi komunis besar-besaran. Di dalam kegelapan malam bunyi deruan peluru membingitkan suasana malam perkampungan ini.
Pasukan 1st Batalion Renjer telah berjaya membunuh 13 orang dan menangkap beberapa orang gerila komunis yang lain. Komunis-komunis ini dikatakan di dalam pelarian setelah digempur oleh anggota tentera dari “Ops Raja Jala” dari kawasan Asajaya beberapa hari sebelum itu.
Goebilt Terkini
Jika dahulu perkampungan ini didiami oleh keluarga nelayan yang mewarisi pekerjaan nenek moyang mereka dilambung ombak di laut serta menjadi pekerja ladang namun sekarang sejajar dengan waktu, ramai generasi kampung Goebilt telah memenuhi jawatan ekskutif di sektor perkhidmatan awam mahupun juga swasta.
Dan jika dahulu perkampungan ini hanya ada rumah-rumah beratapkan nipah dan binaan buluh namun sekarang rumah-rumah yang selesa dengan binaan yang tegap serta besar baik daripada kayu mahupun konkrit telah memenuhi setiap tanah di perkampungan ini. Dan bukan itu sahaja sistem pendidikan seperti sekolah juga ada malah di kawasan sekitar Muara Tebas juga sudah mempunyai beberapa bangunan Kerajaan mahupun sekolah-sekolah yang baik untuk rakyat Sarawak.
Tanpa ramai menyedari sebenarnya industri desa berasaskan produk perikanan di Kampung Goebilt ini telah menembusi pasaran dunia. Dengan limpahan rezeki dari laut menyaksikan nama Kampung Goebilt tercatit sebagai pengeluar dan pengeksport kulit ikan pari ke Jepun, Hong Kong mahupun Negara Eropah seperti Itali. Disana produk kulit ikan pari dari Kampung Goebilt adalah antara asas kepada pembuatan tas tangan kulit ikan pari berjenama mahal yang dijual mencecah ribuan ringgit harganya.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenali satu lagi perkampungan tradisional yang mempunyai keunikan sejarahnya dahulu serta apa yang istimewa mengenainya yang tidak diketahui oleh masyarakat di luar sana. Sebenarnya ada banyak lagi sejarah Goebilt yang tidak ditulis di dalam artikel ini kerana keterbatasan ruangan. Semoga ianya menjadi pembuka bicara untuk generasi Sarawak terutama sekali “Urang Kampung Goebilt” untuk mendalami sejarah perkampungan mereka.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.