top of page

HARUK ADANG USUNG TINGANG


HARUK ADANG USUNG TINGANG

- Perahu Tradisional Kaum Orang Ulu


JIKA kita berbicara mengenai perahu tradisi untuk kaum-kaum di Sarawak tidak kurang dengan kehebatan perahu atau bot tradisi yang menghiasi ceritera sejarah. Ini kerana setiap perahu tradisi ini mempunyai signifikasi samada untuk kegunaan perang mahupun untuk pengangkutan mereka dari satu tempat ke tempat yang lain.


Kaum Orang Ulu Sarawak juga tidak ketinggalan kerana perahu tradisional mereka mempunyai keunikan yang tersendiri. Dengan sekali pandang sahaja kita sudah mengetahui ianya milik kaum yang mana di Sarawak. Terkenal dengan kemahiran mereka di dalam seni mengukir menyebabkan perahu tradisi Kaum Orang Ulu juga cantik dan terserlah kehebatannya. Setiap ukiran pula melambangkan cerita legenda mereka kerana dipercayai apabila mereka berperang, aura seni ukiran itu juga memungkinkan semangat mereka turut memuncak sama.


“Haruk Adang Usung Tingang” itulah nama perahu tradisi masyarakat Orang Ulu Sarawak yang bermaksud “bot terbang dengan panah burung kenyalang”. Nama yang cukup gah dan ianya dinamakan sedemikian rupa berdasarkan kepada cerita legenda kaum Orang Ulu Sarawak. Menurut legenda adalah dipercayai bahawa suatu waktu dahulu di ketika perang kayau masih diamalkan setiap roh nenek moyang yang terkorban dari Kaum Orang Ulu akan menyerap masuk ke badan setiap pahlawan Orang Ulu yang turun berperang.


Kerana keajaiban dan semangat yang berkobar-kobar itu adakalanya ada sesetengah pahlawan terpilih akan kelihatan seolah-olah ada api yang membakar di dada mereka jika dilihat dari jauh. Dan kerana itulah dikatakan apabila pahlawan itu berada di barisan hadapan perahu tradisi ini seolah-olah bentuk api di bahagian haluannya umpama burung kenyalang yang terbang laju di atas air. Itulah signifikasi nama perahu tradisi ini yang sebenarnya telah terbukti kehebatannya di sungai-sungai di Sarawak suatu waktu dahulu.


Tiada siapa yang boleh menidakkan bagaimana di dalam sejarah juga, perahu tradisi Orang Ulu ini pernah mendominasi Sungai Baram iaitu ketika Perjanjian Damai Baram 1899 dimeterai antara kaum-kaum yang bertelingkah di Baram suatu waktu dahulu. Bagi merayakannya maka diadakan pertandingan lumpa perahu yang dinamakan Regatta Baram. Pada regatta yang pertama itulah juga menyaksikan perahu tradisional Kaum Orang Ulu ini menjadi “raja” di Sungai Baram apabila memenanginya buat kali pertamanya. Regatta ini berjaya menghentikan seketika pertelingkahan antara mereka dan menjadikan bumi Baram lebih aman.


Selain itu, perahu tradisi ini juga cukup lasak dan bersiaga segalanya untuk mengharungi perjalanan yang jauh lebih-lebih lagi bukan senang untuk membelah kederasan air di sungai-sungai suatu waktu dahulu dengan adanya jeram-jeram dan sebagainya. Perahu tradisi Kaum Orang Ulu sudah pernah membuat perjalanan jauh apabila dikatakan saban tahun akan sentiasa digunakan oleh rombongan Orang Ulu dari Bakun ke Kuching, Sarawak. Di ketika pemerintahan Brooke dikatakan pemimpin Kaum Orang Ulu lebih gemar menghantar sendiri penghasilan cukai langsung kepada Rajah Brooke di Astana Kuching dan perahu tradisi inilah menjadi nadi pengangkutan mereka.


Sesuai dengan penempatan Kaum Orang Ulu yang rata-ratanya tinggal dikelilingi hutan belantara yang kaya raya dengan jenis pokok yang tahan lama dan lasak maka begitulah juga pembuatan perahu tradisi. Jenis-jenis kayu seperti kayu arau dan kayu merang atau engkabang sering digunakan untuk pembuatannya. Dan perahu tradisi ini dibuat agak panjang kerana kadang-kadang ada sesetengah perahu boleh memuatkan sehingga 40 orang pengayuh. Selain itu cirri-ciri istimewa turut diserlahkan dengan seni ukiran Kaum Orang Ulu dan yang lebih unik lagi ianya diukirkan dengan kepala burung kenyalang di bahagian haluannya bagi menunjukkan keperkasaan perahu tradisi ini.


Inilah sekelumit informasi buat perkongsian semua di dalam kita cuba mengenali satu jenis perahu tradisi dari Kaum Orang Ulu Sarawak yang digelar Haruk Adang Usung Tingang. Dahulu menghiasi pengangkutan untuk pergi berperang dan sekarang masih lagi unggul menjadi “Raja di Sungai” apabila menyertai pertandingan lumba perahu di sungai-sungai di Sarawak terutama sekali Regatta Baram.


Sesungguhnya Sarawak mempunyai kekayaan yang luar biasa yang ramai orang luar disana tidak mengetahuinya. Ini termasuklah kekayaan seni pertukangan dan pembuatannya dan antaranya adalah pembuatan perahu tradisi yang mempunyai “trademark” nya yang tersendiri.




Rujukan:


1. Sarawak Regatta: Types of race boats

2. Perjanjian Damai Baram 1899 – Borneo Oracle

3. Borneo Trilogy Sarawak, Volume 2 Page 138 – Frans Welman


bottom of page